KUALA LUMPUR : Kerajaan tidak perlu tergesa-gesa untuk mengswastakan Institut Jantung Negara (IJN) kerana ianya bukan keperluan yang mendesak, tegas Naib Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Md. Nasir Ghani.Katanya, kerajaan sepatutnya lebih mengutamakan kepada keperluan rakyat dalam mendapatkan rawatan jantung dan bukannya cenderung untuk menerima cadangan pengambilalihan daripada pihak swasta.
“Kita berpendapat bukan keperluan yang begitu mendesak kepada pihak kerajaan sehingga terpaksa IJN diswastakan, sepatutnya diperhalusi daripada banyak aspek terutamanya membabitkan kepentingan orang ramai,” tegasnya.
Menurut Md. Nasir, kerajaan juga seharusnya mengambil contoh bagaimana langkah penswastaan sebelum ini seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang ternyata sedikit sebanyak telah menimbulkan bebanan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Malah beberapa projek penswataan sebelum ini dilihat lebih menjuruskan kepada usaha untuk mengaut keuntungan semaksima mungkin tanpa memikirkan kepada komitmen dan tanggungjawab sosial,” tegasnya.
Katanya lagi, walaupun pihak yang bakal mengambilalih IJN lebih bertanggungjawab, tetapi kemungkinan caj rawatan yang bakal dikenakan kelak akan jauh berbeza dengan kadar yang sedia ada.
Semalam Datuk Seri Abdullah Haji Ahamd Badawi menjelaskan bahawa kerajaan mahukan jaminan daripada Sime Darby untuk meneruskan khidmat kepada golongan berpendapatan rendah jika syarikat itu mengambilalih kepentingan dalam IJN Sd. Bhd.
Perdana Menteri berkata, pengambilalihan itu jika berlaku bukan bermakna kerajaan tidak mampu menanggung kos operasi IJN, tetapi mahu melihat hospital yang khusus dalam rawatan jantung itu dapat diperbesar dan dipertingkatkan lagi kecemerlangnya.
Menurut Md. Nasir lagi, walaupun Sime Darby merupakan syarikat milik kerajaan (GLC), tetapi kewajaran untuk mengswastakan perkhidmatan IJN memerlukan kajian mendalam terutama dalam soal kebajikan rakyat terutamanya golongan miskin.
“Sehubungan itu, kita berharap kerajaan akan mengkaji semula hasrat tersebut supaya tidak dibuat secara tergesa-gesa yang boleh menimbulkan pelbagai andaian orang ramai terhadap kepentingan IJN,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan