PEMILIHAN calon-calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di peringkat Parlimen dibuat dengan mengambilkira pelbagai faktor yang boleh menyumbangkan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, komponen BN termasuk UMNO perlu akur dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan dan sewajarnya bekerja keras untuk meraih kemenangan.
"Pemilihan calon di kalangan anggota komponen BN diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN dan semua pihak perlu berlapang dada dan berkerja untuk kemenangan BN secara keseluruhannya," jelas beliau.
Beliau mengingatkan, mengambil tindakan bertentangan dengan semangat kepartian dan melakukan sebotaj jika tidak terpilih sebagai calon merupakan perbuatan yang hanya akan mencemarkan maruah parti dan membuka ruang kepada pihak pembangkang.
Katanya, UMNO peringkat negeri hanya mengemukakan senarai nama-nama calon untuk dipertimbangkankan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti khususnya Najib selaku Presiden UMNO .
."
"Di Wilayah Persekutuan contohnya, kita faham, kita fokus dan sedar kehendak ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi yang selama ini bekerja keras, mereka mahu calon pilihan mereka dengan mengambilkira persekitaran setempat," katanya.
"Kita buat kerja, kita hantar nama calon-calon kepada pemimpin atasan parti, tetapi apa juga keputusan kita akan terima dengan hati terbuka, pendirian kita jelas, kita bekerja untuk parti.
"UMNO negeri sememangnya memahami kehendak mereka dan kita juga ada hasrat supaya parti mendapat lebih peluang, sebab itu kita 'fight' supaya kita dapat apa yang kita kehendaki, tetapi jika Presiden parti memutuskan sebaliknya, maka kita kena terima dengan hati terbuka, redha dan tidak melakukan tindakan bertentangan dengan peraturan parti.
Katanya, apa juga keputusan pucuk pimpinan perlu dipatuhi dan sebagai ahli-ahli parti, maka kita perlu bekerja kuat untuk kemenangan, bukannya menyimpan rasa marah dan kecewa.
Kata Syed Ali, mana-mana pemimpin UMNO sekiranya tidak terpilih sebagai calon PRU-14 perlu bersependapat dengan Perdana Menteri bahawa kita mengutamakan agenda parti dan mendokong inspirasi BN untuik memberi perkhidmatan kepada rakyat.
Mengakui kemungkinan ada pihak yang berasa kecewa kerana tidak terpilih sebagai calon, beliau berkata pihak berkenaan perlu bersikap positif dengan keputusan tersebut.
"Mungkin ada yang kecewa termasuk penyokong mereka, tetapi kita perlu mengutamakan kepentingan parti, bukannya kerana individu atau kumpulan tertentu, kita mahu kemenangan pada PRU-14," katanya.
Tambah beliau, memang ada yang akan kecewa kerana kemungkinan tidak tersenarai sebagai calon dengan alasan selama ini telah bekerja keras melakukan persiapan dan gerakkerja kepartian..
Menurut Syed Ali, pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu melihat kepada keutamaan parti melebihi kepentingan peribadi dan bukannya mengambil tindakan balas yang boleh menjejaskan kekuatan parti
"Oleh sebab itu, jangan meletakkan pengharapan yang terlalu tinggi untuk dipilih sebagai calon pada PRU kali ini, kerana jika tidak dapat apa yang dihajati, pasti akan kecewa," katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras mengingatkan mereka yang berasa kecewa kerana tidak terpilih sebagai calon supaya berpegang kepada qada dan qadar Allah S.W.T.
Menurut beliau, Perdana Menteri mempunyai kriteria dan kewajaran tertentu dalam soal pemilihan calon-calon terutama membabitkan calon daripada UMNO pada PRU kali ini.
"Saya menyeru kepada seluruh ahli-ahli UMNO dan komponen BN di Wilayah Persekutuan supaya memberi tumpuan dan bersatu untuk berdepan dengan pembangkang dalam usaha mengekalkan kemenangan BN pada PRU ke-14 tidak lama lagi," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan