Halaman

Isnin, 23 April 2018

Gandingan calon BN Wilayah Persekutuan yang terbaik : Syed Ali

BARISAN Nasional (BN) Wilayah Persekutuan mempertaruhkan gandingan muka lama dan baru untuk meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kata Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri itu, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Menurutnya, adunan calon tersebut yang turut menyenaraikan tokoh muda dan enam daripada kalangan wanita mampu memberi saingan sengit kepada blok pembangkang.

Beliau juga yakin keputusan Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan nama calon-calon tersebut menepati kehendak pengundi setempat.

"Najib yang juga Presiden UMNO telah membuat keputusan saksama dengan mengambilkira kepentingan parti dan penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Keputusan tersebut juga kata beliau, diterima baik rakan-rakan komponen BN di mana beberapa kerusi diperuntukkan kepada mereka.

Katanya, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang diletakkan bertanding di Parlimen Lembah Pantai dilihat berpeluang cerah untuk merampas semula kawasan tersebut yang dimenangi PKR pada PRU-13.

"Saya percaya Raja Nong Chik, bekas Wakil Rakyat Lembah Pantai yang mendapat sokongan padu akar umbi  akan mengembalikan semula kerusi tersebut kepada UMNO," tegasnya.

Syed Ali juga menarik perhatian dengan pencalonan peguam muda, Adnan Abu Seman (UMNO) bertanding di Bandar Tun Razak akan memberi kesan kepada keupayaan pembangkang.

Kerusi Bandar Tun Razak kini dipegang oleh Tan Seri Khalid Ibrahim, bekas Menteri Besar Selangor daripada PKR.

Mengenai kerusi Parlimen Titiwangsa, beliau yakin penyandang, Datuk Seri Johari Abdul Ghani lebih berpeluang untuk mengalahkan calon pembangkang walaupun difahamkan akan berlaku pertandingan tiga penjuru membabitkan UMNO, Pakatan Harapan dan PAS.

"Rekod cemerlang Johari yang juga Menteri Kewangan-2 tidak dinafikan malah beliau mendapat sokongan padu daripada pengundi Titiwangsa khususnya diperingkat akar umbi," katanya.

Menurut beliau, UMNO juga tidak mempunyai masalah besar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya yang kini disandang oleh Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor. 

"Di Putrajaya kita yakin menang, tidak ada halangan besar kerana kecemerlangan khidmat Ku Nan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan," tegasnya.

Antara nama-nama calon yang diumumkan secara rasmi Ahad lalu oleh Tengku Adnan selaku Pengerusi BN Negeri ialah Tan Seri Zulhasnan Rafique di Parlimen Setiawangsa, Datuk Rosman Isli (Labuan),dan Datuk Yew Tiong Look (Wangsa Maju).

Ong Siang Yang (Kepong), Datuk Dr Dominic Lau Choe Hai (Batu), Datuk Loga Balan Mohan (Segambut), Tan Ean Ean (Bukit Bintang), Datin Agnes Heng Sinn Yee (Cheras) dan Chan Quin Er (Seputeh).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan