Halaman

Isnin, 23 April 2018

CALON PRU-14 : DIMANA WALA' KEPADA PEMIMPIN, JUJUR KEPADA PARTI ?


Oleh SYED ALI ALHABSHEE

SAYA terpanggil untuk melontarkan sedikit pandangan berikutan beberapa siri pengumuman calon-calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) -14 tidak lama lagi, terutama membabitkan komponen Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

Sehari dua ini, ramai orang sedang bercakap mengenai isu nama-nama  calon daripada BN dan ada juga yang meluahkan rasa kecewa serta  marah menerusi platform laman-laman sosial seperti FB dan aplikasi Wssap kerana ada calon-calon 'kesukaan' mereka digugur atau tidak tersenarai.

Mereka membuat pelbagai andaian dan telahan kenapa nama si polan naik, mengapa si polan kena gugur dan mengapa pula si polan yang tidak sepatutnya dicalonkan, diberikan semula peluang untuk bertanding.

Itu semua perkara lazim yang berlaku ketika demam PRU, akan memeriahkan lagi suasana berkempen biarpun adakalanya keluhan, kekecewaan dan kemarahan itu akan turut memberi tempias kepada UMNO.

Sebenarnya, pemilihan akhir calon-calon UMNO mewakili BN tentunya diputuskan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri dengan beberapa faktor diperhalusi setelah mendapat cadangan daripada Perhubungan UMNO di peringkat negeri.

Oleh sebab itu, sebagai pendokong setia kepada perjuangan UMNO, mahu tidak mahu apa juga keputusan Presiden parti perlu dihormati, diterima secara berlapang dada dan akur dengan berpegang kepada prinsip wala' atau setia kepada pemimpin.

Saya selalu berkata bahawa pemilihan calon-calon UMNO dibuat berasaskan kepada kemampuan calon tersebut untuk memenangi kawasan yang mereka wakili.

Malah Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO lebih memikirkan keupayaan dan kemampuan calon-calon berkenaan untuk mengalahkan pihak lawan terutama daripada Pakatan Harapan, bukannya membuat keputusan yang boleh memudharatkan kekuatan parti.

Mana mungkin untuk memuaskan nafsu politik peribadi, UMNO yang perlu dan terpaksa dikorbankan pada PRU akan datang. Ini perbuatan yang melanggar fitrah perjuangan !

Sebelum nama-nama calon diumumkan secara rasmi oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri atau Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, ramai yang memasang angan-angan dan impian agar nama  mereka terpilih menjadi calon.

Tidak dapat dinafikan dan perlu sejujurnya diakui bahawa ramai di kalangan pemimpin UMNO termasuk bekas-bekas Wakil Rakyat seerta mereka yang pernah kecundang masih menggantung harapan yang tinggi supaya kali ini nama mereka akan terpilih.

Sememangnya juga ramai pemimpin UMNO seperti diperingkat bahagian telah lama bekerja  dan bertunggkus-lumus untuk parti disamping menyantumi permasalahan rakyat setempat.

UMNO menghargai khidmat cemerlang mereka kerana begitulah sikap dan tanggungjawab pemimpin UMNO yang perlu ada, yang sentiasa berkhidmat kepada parti dan komuniti setempat.

Bagaimanapun, saya berasa begitu kesal kerana sebaik sahaja nama-nama calon mewakili UMNO dan BN  diumumkan secara rasmi, ada yang begitu kecewa, berputus asa malah ada yang mengambil sikap diluar daripada semangat kesetiaan kepada parti.

Ada yang halakan rasa kecewa dan marah kepada pemimpin tertinggi parti dengan alasan kerusi itu hak milik mereka dan mereka sepatutnya dicalonkan, bukannya orang lain.

Mereka yang tidak terpilih sebagai calon pada PRU-14 ternyata begitu kecewa, hampa dan ada juga barangkali yang marah kepada Najib; mengapa mereka tidak terpilih.

Alasannya, mereka sudah bertahun-tahun 'buat kerja' di kawasan masing-masing dan tidak sewajarnnya nama mereka tercicir atau digugurkan. Ironisnya, ada juga yang mendakwa kononnya mereka mendapat sokongan 'akar umbi'.

Pada hemat saya, kepimpinan tertinggi parti yang diketuai oleh Najiib telah mengambil dan melihat pelbagai asas dan perkiraan sebelum seseorang itu dinamakan sebagai calon. Mana mungkin Najib akan membuat perkiraan yang boleh memusnahkan kemenangan parti dan memberi ruang kepada pihak lawan.

Selaku Ketua UMNO Bahagian Cheras, sesungguhnya saya amat memahami getaran kekecewaan mereka, amukkan kehampaaan mereka. Oleh sebab itu, pada saya tidak salah untuk mereka berasa kecewa dan bersedih.

Tetapi, secara jujurnya ingin saya tegaskan, apabila kita kecewa, putus asa, marah kerana tidak terpilih sebagai calon, sebenarnya ia menguji dimana tahap kesabaran dan kesetiaan atau wala' kepada parti dan pemimpin ?

Di sinilah sebenarnya ujian terhadap sikap setia dan taat kita kepada parti dan pemimpin. Selama ini kita bercakap soal semangat perpaduan, jadi kenapa tiba-tiba air muka kita menjadi kelat hanya kerana tidak tersenarai calon PRU.

Salahnya juga apabila meletakkan harapan yang terlalu tinggi melangit, seolah-olah sudah tidak ada kuasa lain yang boleh menghalang harapan tersebut. Oleh kerana itu, apabila tidak terpilih, kecewanya terlalu amat pedih.

Selama ini kita lantang bercakap soal kesetiaan, wala, ikhlas dan bertanggungjawab mempertahankan UMNO dan pemimpinnnya, tetapi kenapa nadanya secara tiba-tiba betukar sumbang setelah nama tidak tersenarai sebagai calon PRU-14.

Di mana wala kita, kemana hilangnya semangat setia kepada pemimpin dan kenapa begitu mudah lenyapnya rasa tanggungjawab dan pengorbanan kepada UMNO.

Apakah kerana tidak terpilih sebagai calon, maka kita merajuk, hilang kesetiaan dalam sekelip mata, apakah perbuatan sedemikian menyerlahkan kepada ahli-ahli parti bahawa kita sebenarnya sudah 'berbohong' kepada semangat kesetiaan yang kita laungkan sebelum ini ?

Dalam keresahan dan kekecewaan sedemikian, saya ingin mengimbas sedikti senario dalam UMNO Bahagian Cheras yang pernah tercetus sedikit masa dulu sehingga menjadi faktor perubahan lanskap politik negara.

Sewaktu Tan Seri Muhyiddin Yassin (bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO) merasmikan Persidangan Perhimpunan Agung UMNO Bahagian Cheras, beliau bercakap isu 1MDB secara terbuka.

Kelantangan Muhyiddin menyentuh isu 1MDB dan mengkritik secara terbuka pentadbiran Najib di Bahagian Cheras telah menggegarkan politik negara dan  menjadi salah satu punca beliau akhirnya terkeluar daripada UMNO.

Tempiasnya adalah UMNO Bahagian Cheras dan saya selaku Ketua UMNO Bahagian, saya mula dipandang serong oleh kalangan tertentu sama ada dari dalam dan luar parti dengan tuduhan dan fitnah jahat kononya saya membelakangkan Najib.

Kedudukan saya seolah-olah perlu dicantas kerana kononnya memihak kepada Muhyiddin. Ini kerja mereka yang sememagnya 'menangguk di air keruh' dan cuba memutuskan hubungan baik dan kesetiaan saya terhadap Najib.

Tetapi saya berdiri atas jalan kebenaran. Saya tidak pernah kecewa dan tidak pernah gentar kerana saya yakin berada dipihak yang benar. Akhirnya, ahli dan pemimpin UMNO mengetahui situasi sebenar dan sejauhmana teguhnya saya dibelakang kepimpinan  Najib.

Lagipun perjuangan saya bersama UMNO sudah mendarah daging sejak saya masih kecil, sebab itu setia saya kepada UMNO sedikitpun tidak pernah luntur. Saya tidak khuatir dan saya tidak takur 'dilambung ombak'.

Keluarga saya adalah keluarga UMNO sejak berpuluh tahun dan saya dididik supaya setia kepada pemimpin dan jujur kepada perjuangan UMNO yang menjadi teras kekuatan orang Melayu.

Pendirian saya tidak pernah goyah untuk sentiasa setia dan taat kepada Najib selaku Presiden UMNO. Itu lah semangat perjuangan saya.

Saya juga selalu berpegang kepada prinsip untuk berkhidmat kepada rakyat tidak semestinya mempunyai jawatan mahupun kedudukan. Inilah yang perlu ada di dalam jiwa pemimpin-pemimpin UMNO.

Di mana-mana pun kita boleh menyalurkan khidmat bakti kepada orang ramai jika kita sebenarnya ikhlas terhadap UMNO dan wala' kepada pemimpin. Jadi, kenapa masih ada yang begitu kemaruk mengejar jawatan termasuk ingin dinamakan sebagai calon PRU ?

Sepatutnya, kita menyertai UMNO kerana kita ingin berjuang secara berjemaah untuk membela nasib orang Melayu, agama Islam dan tanahair, bukannya menyertai UMNO kerana kita ada agenda tertentu. termasuk mahu menjadi calon PRU.

Oleh sebab itu, kesetiaan dan taat kepada UMNO dan pemimpinnya harus ada dalam diri supaya parti kita menjadi contoh teladan. Kesetiaan itu perlu diterjemahkan secara konsisten dan jujur, bukannya merajuk dan mengambil jalan singkat meninggalkan parti,.

Sehubungan itu, saya amat berharap kepada yang begitu kecewa kerana nama mereka tidak terpilih sebagai calon supaya kembali bermuhasabah diri dan ambillah sedikit masa untuk merenung dan bertanya ; apakah ini jalan yang betul kita telah lakukan kepada UMNO?.

Sesungguhnya, saya akan berasa kecewa dan kesal jika ada di kalangan mereka yang merajuk, letak jawatan, 'berehat' untuk tidak membantu jentera parti berdepan pihak lawan sepanjang kempen PRU-14 atau bertindak keluar parti sebagai tanda protes kerana tidak terpilih sebagai calon.

Ikhlaskanlah diri kita untuk kita bertanya, kenapakah kita begitu kemaruk untuk bertanding PRU dermi untuk kepentingan rakyat atau sekadar untuk memenuhi agenda peribadi ?

Ingatlah, selama ini kita berdegar-degar bercakap dilapangan supaya ahli-ahli UMNO bersatu dan taat kepada pemimpin, tetapi hanya kerana tidak terpilih sebagai calon; kita pula yang bertindak  sebaliknya kerana kita dirasuk rasa kecewa.

Hanya kerana tidak terpilih sebagai calon, kita memusuhi prinsip dan maruah diri. Betulkah perbuatan kita itu kerana kepentingan parti ?

Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar!
Jangan marahkan jarum, benang dileraikan ! 

_______________________________________________________

*Datuk Seri Syed Ali Alhabshee adalah Ketua UMNO Bahagian Cheras merangkap Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan