Halaman

Khamis, 1 Mac 2018

Syed Ali : Isu kalangan BN tidak sepatutnya dipolemik secara terbuka.

APA juga isu membabitkan kepentingan komponen Barisan Nasional (BN) tidak sewajarnya dipolemik secara terbuka terutama menerusi media sosial, kata Ketua UMNO Bahagian Chears, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

"Apabila diperkatakan di media sosial, pasti akan ada satu pihak yang akan mengambil kesempatan memanipulasikan keadaan," katanya.

Sebaliknya jelas beliau, jika ada sebarang permasalahan berbangkit dikalangan anggota BN perlu diselesaikan mengikut saluran sedia ada dengan berpegang teguh kepada semangat setiakawan.

Beliau bimbang, pertikaian sesuatu isu yang turut menyentuh kepentingan BN jika diperdebatkan secara terbuka boleh memberi kesan pada Pilihan Raya Umum, (PRU) akan datang.

"Seperti parti-parti politik sedia ada, mana mungkin tidak akan bergelora, begitu juga BN, tetapi kemetangan dan kesepakatan BN selama ini perlu dijadikan paduan untuk menjernihkan keadaan," tegasnya.

Beliau juga mengingatkan, keresahan yang berlaku dikhuatiri akan dipergunakan oleh pihak berkepentingan untuk menangguk di air keruh.

Fokus BN tambah beliau, berusaha mendakati rakyat dan memberi pemahaman yang jelas berhubung sesuatu dasar atau isu bagi memastikan kemenangan akan terus kekal pada PRU kelak.

Ini kerana kata Syed Ali, blok pembangkang hanya menunggu kesempatan untuk memutarbelitkan sesuatu isu bertujuan meraih sokongan pengundi.

Katanya, BN terutama UMNO perlu fokus untuk memenangi PRU-14 dengan majoriti yang lebih besar berbanding PRU ke-13.

"Jika kita bergeser sesama sendiri, sedikit-sebanyak akan merencatkan kekuatan sedia ada," katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan memberitahu, apabila kalangan komponen BN bertelagah sesama sendiri ia seperti tidak menghormati kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN.

"Waima apa juga isu atau masalah berbangkit di kalangan anggota BN, tidak perlu mana-mana pihak untuk bertindak selaku juara," ujarnya.

Sebaliknya kata Syed Ali, kesetiaan harus diberikan kepada Najib selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO untuk menanganinya seara bijaksana.

Beliau percaya sikap keterbukaan kepimpinan Najib banyak membantu kekuatan BN dan anggota parti.

Syed Ali juga memngingatkan isu pengundi Cina atau tsunami Melayu tidak wajar digembar-gemburkan menjelang PRU akan datang.

"Mengapa dekat PRU, isu pengundi Cina dan Melayu dibangkitkan, ia seperti ada agenda tertentu, ini boleh menjadi isu perkauman," katanya.

Tambah beliau, isu perkauman seperti itu sepatutnya sudah tidak berbangkti lagi kerana yang mengundi kelak adalah rakyat Malaysia.

"Kita sepatutnya bercakap mengenai rakyat Malaysia, bagaimana untuk membina sebuah negara bangsa yang kuat, dihormati dan dijadikan contoh," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan