DATUK Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan pemimpin politik agar tidak sengaja mencari kesalahan dan mengaibkan sesama mereka untuk meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Politik yang sihat adalah pemimpin dan pendokongnya berjiwa bersih, bertanggungjawab dan berpegang teguh kepada etika kesusilaan moral," tegasnya.
Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berkata, perbuatan membuka aib seseorang hanya mendatangkan kemarahan dan ketidakpuashatian sesetengah pihak dan sekaligus mencemar prinsip demokrasi.
"Keadaan akan menjadi lebih rumit apabila membabitkan kecaman berbau perkauman, ini boleh mengundang keretakan dalam masyarakat majmuk di negara ini," tegasnya.
Pemimpin politik ujar beliau, sepatutnya menunjukkan teladan dan budi pekerti yang baik supaya dicontohi oleh generasi muda.
"Pemimpin adalah seumpama seorang bapa, buruk tingkah laku dan tutur kata mereka, nescaya sedikit sebanyak akan mempengaruhi pemikiran anak muda," katanya.
Menjelang PRU ke-14 tidak lama lagi kata beliau, sepatutnya pemimpin politik melontarkan pandangan dan kritikan membina kearah membangunkan negara bangsa.
Justeru, beliau mengingatkan pemimpin politik khusus blok pembangkang supaya lebih berhemah dan tidak sengaja mereka cerita hanya untuk memburukkan imej kerajaan.
"Walapun matlamat untuk memenangi pilihan raya, tetapi tidak bermakna apa sahaja kaedah berpolitik termasuk serangan fitnah boleh dihalalkan," tegasnya.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan memberi peringatan, pemimpin yang mempunyai pemahaman negatif hanya akan dicemuh oleh rakyat terutama golongan muda.
Katanya, pemimpin dan pendokong politik sepatutnya berlaku jujur kepada diri sendiri dan bertanggungjawab melunaskan amanah yang digalas demi kepentingan rakyat dan negara.
Menurut Syed Ali lagi, tanggungjawab membina dan mempertahankan peradaban negara bangsa terpikul di atas bahu pemimpin politik sama ada daripada parti pemerintah atau pembangkang.
"Ini yang ada yang tak faham, membina negara bangsa serta rakyat menjadi kewajipan semua pihak, apatah lagi mereka yang memikul amanah menerusi sistem politik," tegasnya.
Beliau kesal sesetengah pemimpin politik menjadi gelabah hanya disebabkan oleh serangan isu tertentu yang kesahihan faktanya masih boleh diragui.
Syed Ali tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu memperalatkan pemimpin politik dengan mencetuskan sesuatu isu untuk mencapai agenda atau kepentingan peribadi mereka.
"Kita kerapkali terperangkap dengan penyebaran fakta yang tidak ada asas kebenarannya, barangkali sekadar auta atau tuduhan palsu untuk memburukkan pemimpin tertentu.
Kata beliau lagi, perbuatan menyelongkar isu peribadi pemimpin tertentu bertujuan mengaib dan mencemarkan maruah mereka bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Malah beliau percaya, mana-mana ajaran agama yang dianuti masyarakat pelbagai kaum di negara ini juga tidak menggemari perbuatan sedemikian.
Katanya lagi, rakyat hanya menghormati seseorang pemimpin politik yang jujur, berhemah dan memahami tanggungjawab yang diamanahkan.
"Mengapa apabila menjelangnya PRU, isu-isu peribadi pemimpin tertentu diselongkar dan didedahkan secara meluas terutama menerusi media-media sosial,? soal beliau.
Syed Ali menjelaskan, perbuatan melondehkan keburukan pemimpin tertentu bukan pendorong untuk pengundi memberi kemenangan kepada mereka pada PRU akan datang.
"Pengundi sudah bijak dan berpengalaman, mereka tidak akan mempercayai pemimpin yang suka cari kesilapan orang lain, mereka mahu pemimpin yang bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau mahu pemimpin UMNO khususnya supaya memerangi dakyah pembangkang secara relatif dan tidak bersangka dengan unsur fitnah.
"Jangan sesekali kita menjadikan medium media sosial utuk menabur fitnah sepetrtimana dilakukan blok pembangkang," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan