Halaman

Isnin, 5 Mac 2018

PRU-14 ; Walaupun diserang persepsi negatif, Syed Ali yakin Najib kekal PM

BIARPUN pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak diserang hebat dengan persepsi negatif, tetapi Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee tetap yakin Barsian Nasional (BN) mampu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

"BN akan kekal di Putrajaya dan saya sentiasa yakin bahawa Najib juga akan kekal sebagai Perdana Menteri atas sokongan dan pilihan rakyat," tegasnya.

Katanya, keyakinan beliau itu kerana gabungan parti politik pembangkang sehingga kini tidak mencapai kesepakatan yang jitu sesama mereka.


"Adakah terlalu terdesak untuk rakyat memilih pembangkang yang masih bercakaran sesama mereka, bergabung tetapi caca marbar, bergasak berebut kerusi pilihan raya,? soal beliau.

Syed Ali menyebut contoh kehadiran parti BERSATU yang dipimpin oleh bekas pemimpin UMNO tidak menjadi ancaman besar kepada kerajaan BN.

Menurut beliau, pakatan pembangkang ternyata tidak memiliki kekuatan suara orang Melayu dan pendokong parti serpihannya sekadar menjadi perkakas DAP.

"Hakikatnya pakatan pembangkang tidak sekuat mana, oleh sebab itu mereka lancarkan gerakan menyerang Najib secara lebih terancang dengan pelbagai tuduhan, andaian dan provokasi," tegasnya. 

Katanya, serangan dan kecaman bertali arus pembangkang terhadap kepimpinan Najib tidak melunturkan kekuatan dan kesepaduan UMNO dan BN untuk mempertahankan Putrajaya.

Menurut beliau, 'pembunuhan' imej Perdana Menteri dilakukan pembangkang dan pihak berkepentingan juga tidak akan  menghakis keyakinan serta sokongan rakyat terhadap kerajaan BN.

"Hari ini, pentadbiran Najib diserang daripada segenap sudut, sama ada di dalam dan di luar negeri, tetapi itu tidak bermakna kerajaan pimpinan beliau semakin goyah," tegasnya.

Dalam hal ini, Syed Ali mahu seluruh komponen BN supaya meningkatkan kerjasama yang lebih mantap untuk berdepan ancaman pembangkang menjelang PRU tidak lama lagi.

Tambah beliau, rakyat terutama orang Melayu masih yakin hanya UMNO satu-satunya parti politik yang berupaya membela dan mempertahankan masa depan mereka.

UMNO tegasnya, tetap konsisten dan tidak lari daripada landasan asal perjuangan untuk membela nasib dan masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

"Memang tidak dinafikan kemungkinan ada sedikit penurunan sokongan berikutan serangan persespsi itu, tetapi saya yakin dan percaya BN akan memenangi PRU ke-14," ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan pemimpin UMNO supaya lebih berhati-hati dengan perangkap dipasang pembangkang terutama membabitkan isu-isu kontroversi.

Syed Ali berkata, sikap cepat melatah dan menjawab isu dibangkitkan pembangkang secara tergesa-gesa boleh mengundang tafsiran yang kurang baik terhadap parti dan kerajaan.

Ini kerana kata beliau, rakyat terutama generasi muda lebih berfikiran kritis dan mudah mendapat segala informasi menerusi aplikasi media sosial.

"Jangan kita memandang mudah perkara ini, UMNO sentiasa menjadi perhatian dan penilaian rakyat, kita (UMNO) perlu lebih berhemah menangani sesuatu isu," katanya.

"Sewajarnya UMNO perlu menepis sangkaan atau tuduhan liar pembangkang, tetapi perlu lebih berhati-hati, cermat dan tidak menampakkan kita terburu-buru.

Malah kata Syed Ali, serangan balas yang dilakukan UMNO perlu lebih berkesan dan boleh memberi keyakinan serta menanam kepercayaan rakyat terhadap ketelusan kerajaan.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut menyangkal tuduhan pembangkang kononnya berlaku pergeseran di kalangan BN negeri itu berhubung pengagihan kerusi Parlimen.

"Tuduhan dilemparkan pembangkang kononnya sesama pemimpin UMNO dan BN di Wilayah Persekutuan berebut kerusi Parlimen hanyalah propaganda murahan pembangkang," tegasnya.

Menurut beliau, soal pemilihan calon bakal diputuskan oleh Najib selaku Pengerusi BN setelah mendapat pandangan daripada kepimpinan BN dan UMNO peringkat negeri.

Beliau berkata, UMNO khususnya sentiasa akur apa juga keputusan Perdana Menteri dan Tengku Adnan Tengku Mansor selaku Pengerusi UMNO/BN Wilayah Persekutuan.

"Agenda kita untuk menang dengan majoriti lebih besar pada PRU -14 dan berusaha merampas semula beberapa kerusi Parlimen yang dikuasai pembangkang," tegasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan