KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee bimbang kesatuan dan perpaduan orang Melayu akan pecah akibat pertelagahan parti-parti politik yang mewakili kaum tersebut.
Beliau berkata, orang Melayu di negara ini dikhuatiri hanya menjadi alat kepada pihak berkepentingan untuk menguasai negara.
"Inilah yang UMNO bimbang, orang Melayu akan pecah, sesama umat Islam pula berselisih haluan akibat pergeseran politik yang keterlaluan," tegasnya.
Beliau turut menyelar sesetengah pihak memperalatkan agama untuk agenda politik.
"Sedihnya, hanya orang Islam yang menjadikan agama sebagai modal untuk berpolitik, berbading dengan kaum lain," tegasnya.
Memperalatkan agama untuk agenda politik katanya, akan melebarkan lagi jurang perpecahan di kalangan umat.
Menurutnya, keadaan akan menjadi semakin teruk apabila ada segelintir parti politik Melayu tergamak menjadi alat kepada pihak lain.
Beliau tidak menolak kemungkinan itu kerana kemunculan parti politik pembangkang yang terlalu samar matlamatnya sebernarnya penubuhannya.
Syed Ali yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, kemunculan parti politik serpihan bertopengkan agenda Melayu amat meragukan.
Tambah beliau lagi, apabila orang Melayu berpecah masa depan generasi muda negara ini sukar untuk untuk diramalkan.
Katanya, orang Melayu tidak lagi menjadi sebuah kesatuan Melayu yang kuat apabila berpecah kepada beberapa kumpulan.
Beliau menegaskan, apabila orang Melayu berpecah ianya turut melibatkan perpecahan umat Islam.
"Inilah yang kita khuatir, apabila perpaduan umat Islam menjadi longgar, akan memberi ruang kepada musuh Islam," tegasnya.
Katanya lagi, perpecahan orang Melayu itu berlaku juga kerana ada di kalangana mereka (pembangkang) terlalu gilakan kuasa.
Justeru kata Syed Ali, kedudukan dan masa depan orang Melayu dan kekuatan umat Islam hanya akan terbela selagi UMNO berkuasa.
"Agenda UMNO amat jelas, mempertahankan Melayu, Islam dan negara ini," katanya sambil menegaskan UMNO bagaimanapun tidak sesekali meminggirkan kaum lain.
UMNO tegas beliau, telah terbukti sebagai sebuah parti politik berteraskan agenda perjuangan Melayu, mempertahankan institusi kesultanan Melayu dan menjunjung syariat Islam.
Oleh sebab itu katanya, UMNO akan menentang mana-mana pihak yang cuba mencabuli teras perjuangan tersebut.
Katanya lagi, pendekatan sederhana dalam perjuangan UMNO telah membolehkan parti itu kekal berkuasa sehingga sekarang.
Syed Ali mengingatkan, pihak berkepentingan sememangnya mahu melihat UMNO runtuh bagi menjayakan agenda mereka.
"Inilah bahana yang berlaku sekarang ini, wujud parti-parti politik serpihan kononnya berjuang untuk orang Melayu tetapi sebenarnya meruntuhkan perpaduan orang Melayu," tegasnya.
Katanya, menjadi tanggungjawab ahli-ahli UMNO mempertahankan kekuatan perpaduan di kalangan orang Melayu.
"Jika UMNO runtuh dan hilang kuasa, orang Melayu tidak lagi memiliki sebarang kekuatan untuk masda depan anak cucu mereka.
Syed Ali mengakui orang Melayu sekarang ini hanya memiliki kekuatan politik menerusi UMNO dan kekuatan itu perlu dipertahankan.
"Dengan kekuatan politik, UMNO mampu mempertahankan masa depan negara kita," tegasnya lagi.
Beliau turut membidas pemimpin parti pembangkang yang memperalatkan rakyat untuk kepentingan politik mereka.
Rakyat katanya, disogok dengan maklumat tidak benar yang berbau fitnah dan provokasi serta pembohongan fakta.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali menyifatkan kesediaan PAS bertanding di 130 kerusi Parlimen pada PRU akan datang sebagai gimik politik.
Katanya, PAS boleh berkata apa sahaja sepertimana dilaungkan pembangkang lain menjelang PRU-14 tidak lama lagi.
"Saya ada dengar, PAS nak letak kesemua calonnya di peringkat Parlimen kononnya mereka akan menang dan memerintah Malaysia secara bersendirian," katanya.
Menegnai kemugnkinan berlaku kerjasama PAS - UMNO disaat akhir, beliau menjelaskan kemungkinan itu sukar diramalkan.
Mengenai dakwaan bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bakal menjadi Perdana Menteri, Syed Ali menjelaskan khabar angin itu perkara biasa.
"Sebelum ini, Pakatan Harapan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bakal Perdana Menteri, sekarang Haji Hadi pula, esok barangkali Mat Sabu atau Wan Azizah pula.
Perkembangan itu kata beliau, membuktikan parti politik pembangkang di Malaysia tidak mempunyai pemimpin yang berkarisma dan diterima rakyat.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan