DATUK Seri Syed Ali Alhabshee berkata, UMNO tidak perlu sibuk melayan drama politik Pakatan Harapan biarpun pembangkang ghairah menjenamakan semula Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bakal Perdana Menteri.
Malah tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras itu, ahli-ahli parti juga tidak perlu berada dalam keadaan panik kerana gendang yang dipalu oleh pakatan pembangkang sekadar tong kosong.
Katanya, melayan bunyi tong kosong dipalu pembangkang tidak memberi sebarang manfaat sebaliknya hanya akan menyakitkan telinga.
Dalam nada sinis, Syed Ali berkata tong kosong Pakatan Harapan akhirnya akan pecah berderai kerana ramai di kalangan mereka berebut jawatan bagi memenuhi agenda peribadi.
"Jadi, tak perlu untuk kita berasa panik, tak perlu berasa gundah kerana rakyat lebih arif untuk menilai yang mana kebenaran dan yang mana pendustaan," tegasnya.
Beliau memberitahu, walaupun Pakatan Harapan menonjolkan bekas pemimpin UMNO tetapi gabungan tersebut didominasi DAP, parti rasis yang selama ini cuak terhadap orang Melayu.
"Pakatan Harapan hanya tong kosong, kuat berdentum manakala DAP jadi tuan besar," tegasnya.
Pakatan Harapan kata beliau lagi, tidak sepenuhnya mendapat perhatian rakyat kerana rakyat sudah meluat dengan kerenah politik mereka.
"Apapun jenama atau promosi Pakatan Harapan, DAP adalah segala-galanya," kata beliau sambil menjelaskan pakatan itu akan berkubur sepertimana Pakatan Rakyat sebelum ini.
Beliau menegaskan, untuk menarik simpati dan meraih sokongan rakyat pakatan pembangkang hanya memainkan isu kitar semula sepertimana mereka menjenamakan semula bekas-bekas pemimpin UMNO.
"Pembangkang sudah kehabisan modal politik untuk dijaja, mahu tak mahu mereka terpaksa kitar semula isu yang sudah basi dan tidak lagi relevan," ujarnya.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan menambah, untuk menjadikan isu kitar semula sebagai bahan terkini mereka sanggup melakukan fitnah dan pembohongan.
Untuk itu katanya, pembangkang menggunakan media sosial menyuburkan budaya fitnah terutama membabitkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO.
Bagaimanapun jelas Syed Ali, rakyat sudah bosan dengan budaya politik fitnah dan memburuk-burukkan pemimpin.
Malah pemimpin UMNO katanya, tidak ada masa untuk melayan kerenah pembangkang yang hanya hidup dengan cerita karut dan isu fitnah.
"Pemimpin UMNO utamakan kerja untuk rakyat, utamakan kepentingan negara, bukannya berterusan bermain politik untuk agenda peribadi," tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali berkata desas-desus kononnya PAS akan bekerjasama dengan UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sebagai khabar angin.
Katanya, ada pihak membuat spekulasi kononnya PAS dan UMNO akan menjalin kerjasama politik berdepan dengan Pakatan Harapan terutama di beberapa negeri di Pantai Timur.
"Itu pada saya sekadar spekulasi politik menjelang PRU-14, hanya khabar angin, tetapi sesuatu yang kita rasa mustahil, mungkin boleh jadi akan berlaku," jelasnya.
Bagaimanapun jelas beliau, segala-galanya dalam pengetahuan pucuk pimpinan parti dan jika ianya membawa jalan kebaikan untuk orang Melayu sewajarnya diberikan sokongan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan