PERPECAHAN Pakatan Harapan berikutan cadangan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sememangnya sudah dijangka, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
"Kita (UMNO) sudah menjangkakan perkara itu akan berlaku, sesama mereka masih menyimpan perasaan dendam terhadap Dr Mahathir," katanya.
Oleh sebab itu katanya, Dr Mahathir hanya ditawarkan jawatan Perdana Menteri untuk tempoh terhad kerana jawatan itu dikhususkan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sebaik sahaja nama bakal Perdana Menteri daripada Pakatan diumumkan dengan kaedah tertentu, kalangan mereka (pembangkang) mula menyuarakan penolakan cadangan tersebut," katanya.
Malah tegas beliau, di kalangan ahli-ahli parti BERSATU yang mana Dr Mahathir selaku Pengerusinya juga dilaporkan tidak sekata dengan pemilihan mantan Presiden UMNO itu dilantik sekali lagi sebagai Perdana Menteri.
"Pemimpin muda DAP juga dikatakan menolak nama Dr Mahathir sebagai bakal Perdana Menteri," ujarnya.
Menurut beliau, parti pembangkang dalam Pakatan juga tidak kesemuanya bersetuju dengan kehadiran semula Dr Mahathir yang mereka sifatkan hanya akan menyukarkan peluang mereka memenangi PRu-14.
Kata Syed Ali lagi, kedaan semakin parah apabila kalangan pembangkang juga tidak sebulat suara dengan cara pengagihan kerusi Parlimen menjelang PRU akan datang yang didakwa sebagai tidak berlaku adil.
"Ada dakwaan mengatakan cara pembahagian kerusi berkenaan memberi banyak manfaat kepada PKR dan DAP," katanya sambil menjelaskan kecelaruan itu akan terus berlaku menjelang PRU akan datang.
Berikutan itu katanya, beberapa pemimpin kanan parti gabungan Pakatan dilaporkan meletakan jawatan sebagai tanda protes terhadap kepimpinan tertinggi gabungan tersebut.
"Perebutan kerusi Parlimen dan menolak kehadiran Dr Mahathir sebagai bakal Perdana Menteri di kalangan pembangkang membutikan gabungan mereka bercelaru dan tidak mempunyai matlamat," katanya.
"Walaupun masalah itu masalah rumah tangga mereka (Pakatan), tetapi terbukti senario tersebut memberi peluang kepada rakyat melihat gelagat pembangkang yang tidak pernah sekata sesama mereka.
Kata Syed Ali lagi, jika kaedah pembahagian kerusi PRU sudah awal-awal lagi berlaku kekecohan dan sebahagian mereka tidak menyukai Dr Mahathir bermakna Pakatan tidak berkemampuan untuk mentadbir negara.
"Jika Pakatan diberikan peluang memerintah, pada hemat saya, bukan setakat sesama mereka akan terus bercakaran malah nasib rakyat akan terus terabai dan negara boleh lingkup," tegasnya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak memandang ringan senario yang berlaku dalam Pakatan mutakhir ini kerana berkemungkinan hanya 'sandiwara' atau strategi politik pembangkang.
"Mereka (Pakatan) bergaduh sesama sendiri pasal berebut kawasan Parlimen itu masalah dan penyakit mereka, kita (UMNO bagaimanapun tidak boleh berpeluk tubuh dan berada dalam zon selesa," tegasnya.
Justeru katanya, ahli-ahli UMNO disetiap peringkat harus meningkatkan keupayaan menangkis serangan pihak lawan terutama dalam kaedah perperangan siber.
"UMNO perlu lebih aggresif, perlu menyantumi rakyat dan seharusnya sentiasa turun padang menyelami permasalahan mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan