Halaman

Isnin, 8 Januari 2018

Dulu caci, hina Mahathir, sekarang jilat balik ludah mereka : Syed Ali

SETELAH sekian lama menjadi bahan maki hamun dan cacian pembangkang, akhirnya Tun Dr Mahathir Mohamad dinamakan semula oleh Pakatan Harapan sebagai calon Perdana Menteri jika mereka memenangi PRU-14.

Tindakan terdesak itu kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menampakkan blok pembangkang sanggup menjilat balik ludah mereka kerana agenda politik peribadi.

Malah katanya, tindakan tersebut juga membuktikan Pakatan Harapan tidak yakin dengan kemampuan mereka menarik sokongan rakyat dan menyingkirkan UMNO daripada tampuk kuasa.

Dengan sinis beliau berkata, jika Pakatan Harapan mempunyai kekuatan dan sokongan rakyat sepertimana didakwa, mereka sepatutnya menamakan tokoh lain sebagai Perdana Menteri, seperti Mohamad Sabu atau Datuk Seri Azmin Ali.

"Sekarang, mereka mula mempromosikan nama Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri untuk menarik sokongan rakyat kononnya percaya kepada aura politik bekas Presiden UMNO itu," tegasnya.

Syed Ali bagaimanapun sukar untuk mempercayai bagaimana seorang bekas negarawan seperti Dr Mahathir sanggup menerima keadaan sedemikian, setelah sekain lama berjuang bersama UMNO.

Katanya, menamakan Dr Mahathir sebagai bakal Perdana Menteri dalam keadaan usia yang semakin lanjut jelas memperlihatkan blok  pembangkang tidak mempunyai pemimpin berkelibar.

"Secara peribadi, saya kasihan kepada Dr Mahathir yang dijadikan alat oleh pembangkang," tegasnya.

Tidak menafikan sumbangan dan jasa Dr Mahathir terhadap negara sebelum ini, Syed Ali bagaimanapun menjelaskan Malaysia memerlukann pemimpin dinamik yang mampu membawa era perubahan sejajar dengan peredaran zaman.

Beliau menegaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan Perdana Menteri yang sesuai dengan perubahan global dan tidak perlu diganti hanya kerana dendam peribadi.

"Dari sudut politik, orang boleh bercakap dengan pelbagai persepsi, termasuk menjenamakan semula Dr Mahathir oleh blok pembangkang, tetapi realitinya negara memerlukan pemimpin yang relevan dengan perubahan masa.

Katanya, Najib dilantik sebagai Perdana Menteri ketika zaman memerlukan seorang pemimpin yang tahan lasak, beriltizam dan bertanggungjawab untuk kepentingan rakyat.

Pembangkang kata Syed Ali lagi, melakukan pelbagai serangan fitnah dan tohmohan liar hanya untuk merosakkan kredibiliti Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Menurut beliau, rakyat juga melihat tindakan pembangkang menamakan Dr Mahathir sebagai bakal Perdana Menteri sebagai tidak relevan ketika prestasi dan ketokohan Najib sebagai Perdana Menteri berada di tahap terbaik.

"Bagaimanapun, kita mengucapkan tahniah dan syabas kepada Dr Mahathir kerana masih lagi mendapat kepercayaan blok pembangkang untuk memimpin negara ini," ujarnya.

Beliau menambah, Dr Mahathir hanya akan dilantik sebagai Perdana Menteri untuk tempoh sementara bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini djipenjara di Sungai Buluh.

Pakatan Harapan awal-awal lagi sudah membuat keputusan dalam konvensyen mereka di Shah Alam Sabtu lalu, bahawa Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri sebaik sahaja dibebaskan.

Berpendapat sebagai satu babak sandiwara politik, Syed Ali melahirkan rasa simpati terhadap Dr Mahathir kerana sanggup menjadi 'jambatan' kepada bekas musuh politik untuk kembali berkuasa.

"Jika mengambil kira ketetapan itu, bermakna agenda Pakatan Harapan adalah untuk memuaskan nafsu politik Anwar, bukannya kerana kepentingtan rakyat dan negara," tegasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menambah, perkembangan itu turut mensahihkan dakwaan banyak pihak sebelum ini bahawa perjuangan blok pembangkang hanya untuk membebaskan Anwar.

"Untuk menarik sokongan dan keyakinan rakyat, mereka namakan Dr Mahathir sebagai bakal Perdana Menteri dan selepas itu diganti pula oleh Anwar untuk tempoh tertentu," katanya.

Tambah Syed Ali lagi, rakyat sedang menyaksikan drama politik dimainkan pembangkang dengan cuba memperalatkan Dr Mahathir sebagai watak utama.

"Inilah drama politik yang kemungkinan diarahkan oleh Anwar bagi membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri, jawatan yang begitu lama beliau idamkannya.

Beliau bagaimanapun tetap berkeyakinan rakyat tidak mudah terpadaya dengan propaganda pembangkang sebaliknya akan memberi kemenangan lebih besar kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya, melihat kepada perkembangan terbaru dalam Pakatan Harapan, peluang UMNO dan BN khususnya untuk memenangi melebihi 2/3 majoriti di Dewan Rakyat pada PRU-14 semakin terbuka.

"Faktor pentabiran Najib yang fleksibel dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat antara penyumbang besar kearah kemenangan lebih cemerlang BN pada PRu-14 akan datang," ujarnya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan