KETUA UMNO Bahagian
Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee
mengingatkan orang Melayu agar tidak terjebak dengan percanggahan pendapat yang
boleh menjerumuskan kepada perbalahan berpanjangan.
Beliau bimbang, akibat
sengketa dan percanggahan pendapat sesama orang Melayu akan meruntuhkan
institusi berkenaan.
Akhirnya kata beliau, kuasa
politik yang dimiliki orang Melayu akan terhakis dan institusi keagungan Melayu
dengan sendirinya terhapus.
“Apabila ini berlaku,
ketuanan Melayu termasuk institusi raja-raja Melayu tidak lagi dihormati,” tegasnya.
Sebaliknya kata beliau,
orang Melayu perlu bersatu dengan mengetepikan sentimen kepentingan peribadi
atau kumpulan tertentu.
Tambah beliau lagi, menjadi
tanggungjawab orang Melayu mempertahankan kedudukan institusi beraja dan kedaulatan
agama Islam di negara ini.
Untuk mempertahankannya
kata beliau, memerlukan kepada kesepakatan, perpaduan dan saling hormat-menghormati
antara satu sama lain.
“Tidak kira apa
idealogi politik atau siasahnya, kelompok Melayu perlu bersatu jika mereka mahu
kekal relevan di tanah air sendiri,” tegasnya.
Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan melahirkan rasa
bimbang terhadap perpecahan Melayu sejak mutakhir ini yang dilihat sebagai amat
meruncing.
Tambah beliau, pihak
berkepentingan sememangnya menugngu masa sesuai untuk merampas kuasa politik
yang sedang digenggam oleh orang Melayu.
Oleh sebab itu katanya,
soal remeh-tremeh atau percanggahan pandangan atau persespi sesama pemimpin
Melayu seharusnya diselesaikan secara musyawarah.
Beliau juga kesal
kerana ada pihak tertentu sengaja mencari kelemahan kerajaan untuk mengajak
rakyat membenci kerajaan yang dipilih secara demokarsi.
Justeru jelas Syed Ali,
untuk menghukum kerajaan yang didakwa tidak cekap boleh dilakukan menerusi Pilihan
Raya Umum (PRU) yang diadakan lima tahun sekali.
“Tunggu musimnya (PRU),
tak perlu kita lakukan serangan berbentuk peribadi sehingga masyarakat turut
terikut-ikut, ini tidak memberi manfaat kepada orang Melayu,” tegasnya.
Dari segi perlembagaan
ujar beliau, rakyat bebas menentukan parti mana yang mereka pilih untuk
diberikan kuasa memerintah.
Menurut beliau, rakyat
mempunyai kuasa untuk menaik dan menjatuhkan sesebuah kerajaan menerusi PRU.
“Ianya disahkan oleh
undang-undang, terpakai dalam perlembagaan,” ujarnya lagi sambil menegaskan
adalah tidak molek memburukkan kerajaan dan sesama pemimpin Melayu secara
terbuka.
“Kita sedar kerajaan
tidak mampu memberi kepuasan secara
mutlak kepada sesetengah pihak, tetapi kita kena bersetuju bahawa kerajaan
tidak akan menzalimi rakyat,” tegasnya.
Syed Ali tidak
menafikan jurang perbezaan ideologi politik menjadi penyumbang utama kepada perpecahan
di kalangan orang Melayu sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata,
pergeseran orang Melayu lazimnya akan dieksploitasikan oleh pihak lain untuk
meluaskan pengaruh dan kuasa politik mereka.
Menurut beliau,
kelompok Melayu yang berpecah kerana dorongan politik seeloknya kembali bersatu
atau mencari jalan permuafakatan.
Beliau menyebut
kelompok Melayu terbesar dipayung oleh UMNO dan tidak ketinggalan PAS sebagai sebuah
parti alternatif.
Tetapi katanya, melihat
kepada keretakan hubungan politk Melayu, adalah lebih bijak jika PAS menyambut
salam perpaduan daripada UMNO.
“Orang Melayu tidak
akan rugi jika PAS bersatu dengan UMNO, tetapi jika PAS memikirkan mereka tidak
mendapat untung daripada kerjasama itu, ianya akan melebarkan lagi jurang perpecahan,”
katanya.
Katanya, selama
ini UMNO telah berjaya mengukuhkan kedudukan orang Melayu menerusi penguasaan
politik.
“Kita tidak bercakap
atas (isu) ekonomi kerana pegangan orang Melayu masih jauh, bagaimanapun kita
yakin dengan kuasa politik, kita boleh lakukannya walaupun mengambil masa agak
lama,” ujarnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan