Halaman

Selasa, 9 Jun 2015

Syed Ali : Azmin jangan angkuh,PAS tentukan nasib Menteri Besar Selangor

TIMBALAN Presiden PKR,  Azmin Ali diingatkan jangan angkuh kerana kedudukan beliau selaku Menteri Besar Selangor boleh tergugat jika PAS berkeras memutuskan kerjasama dengan DAP, sekutu politik pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PR).


Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat, PAS kini memiliki kuasa penentu untuk mencorakkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor jika keputusan parti itu untuk memutuskan hubungan DAP kekal.

“Sekarang nasib Azmin di tangan PAS, sama ada beliau jatuh atau sebaliknya. Oleh sebab itu saya ingatkan beliau supaya jangan angkuh dan mendabik dada,” katanya.

Malah dalam nada sinis beliau berkata, jika PAS bergabung dengan UMNO khususnya di Selangor Azmin tidak lagi menjadi Menteri Besar.

“Jangkaan ini tidak mustahil,mungkin boleh berlaku bila-bila masa, tetapi pada hemat saya PAS sepatutnya segera menginggalkan PR,” tegasnya.

Azmin dilaporkan sebagai berkata PAS dan DAP akan menentukan masa depan PR terutama di Sekangor.

Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara Sungai Buluh hari ini juga turut melahirkan kebimbangan jika sengketa PAS-DAP berlarutan, PR akan hancur khususnya di Selangor.

Syed Ali bagaimanapun menjelaskan kini terpulang kepada PAS untuk menentukan nasib Azmin sama ada terus kekal sebagai Menteri Besar atau sebaliknya.


Pemimpin DAP, Tony Pua juga melahirkan rasa bimbang akan masa depan PR berikutan konflik PAS dengan parti tersebut.

Mengenai ada usaha PKR dan DAP yang dilaporkan cuba memujuk PAS supaya tidak memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP, Syed Ali berkata usaha itu terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan masa depan PR.

PR bagaimanapun kata beliau,tidak lagi mempunyai masa depan manakala PAS pula harus membuktikan kepada rakyat bahawa parti itu masih bermaruah dan memiliki harga diri.

“Sebelum ini saya dah sebut, demi maruah kepimpinan baru PAS perlu memutuskan hubungan dengan DAP, yang secara jelas menentang cadangan pelaksanaan hukum hudud,”tegasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan