Halaman

Khamis, 2 April 2015

Wan Azizah perlu terima ketentuan Allah S.W.T, hormati keputusan Lembaga Pengampunan : Syed Ali


DATUK Seri Syed Ali Alhabshee menasihatkan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati keputusan Lembaga Pengampunan yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dimohon oleh Ketua Pembangkang itu pada 16 Mac lalu.

"Terimalah takdir Allah S.W.T, jangan nak salahkan orang lain, semuanya ketentuan Illahi, saya harap Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dan keluarganya menerima keputusan itu dengan berlapang dada," katanya.

"Itulah hakikatnya, tidak kesemua yang kita mahu itu pasti akan dapat," ujarnya lagi sambil menegaskan Penjara Sungai Buloh bakal menjadi garis penamat kerjaya politik Anwar.

Wan Aziziah katanya, tidak perlu memberitahu dunia bahawa keputusan itu sebagai tidak adil kerana Anwar telah diberikan peluang untuk merayu.

"Apabila kita mengharapkan sesuatu, tetapi tidak dapat, maka itu adalah diluar kemampuan kita sebagai manusia, terimalah ketentuan Allah S.W.T., jangan nak salahkan orang lain" tegasnya.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menegaskan, keputusan tersebut dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan tidak berlaku campur tangan atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Menurut beliau, keluarga Anwar telah mengemukakan rayuan tetapi tidak bermakna rayuan itu menjanjikan keputusan yang diharapkan.

"Itu hak Yang Di-Pertuan  Agong (buat keputusan), maka keluarga Anwar kena pasrah dan reda dengan keputusan tersebut," tegasnya lagi.
'
Berikutan penolakan petisyen itu, Anwar secara otomatik hilang kelayakannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) terpaksa diadakan. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah menerima surat memaklumkan keputusan petisyen pengampunan diraja semalam.

Petisyen pengampunan bagi Anwar diputuskan dalam mesyarat lembaga itu pada 16 Mac lalu bahawa hukuman penjara bagi tempoh lima tahun dikenakan terhadap Anwar atas kesalahan meliwat hendaklah diteruskan.

"Dengan keputusan itu, makanya Yang Berhormat Permatang Pauh telah hilang kelayakannya sebagai Ahli Parlimen pada 16 Mac 2015 iaitu sebaik sahaja petisyen bagi suatu pengampunan itu diputuskan," Pandikar Amin dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataannya semalam.

Keputusan penolakan petisyen tersebut telah diumumkan semalam oleh Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh.

Mahkamah sebelum ini menjatuhklan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Mengulas lanjut, Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, Anwar diingatkan tidak menunding jari kepada pihak lain berhubung keputusan tersebut.

"Anwar kena akur kerana ruang keadilan sudah pun diberikan kepada beliau untuk kemukakan petisyen pengampunan," ujarnya.

"Apabila kita merayu kerana kita tahu kita bersalah, tidak bermakna rayuan itu akan mendatangkan keputusan yang menyenangkan hati kita.

Sehubungan itu katanya, Presiden PKR, Dr. Wan Aziziah tidak sewajarnya memberikan kenyataan yang seolah-olah mempertikaikan keputusan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Apabila mempertikaikan keputusan tersebut, secara tidak langsung ianya satu penderhakaan yang nyata kepada Yang di-Pertuan Agong," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjangkakan pergolakan dalam Pakatan Rakyat (PR) akan semakin panas berikutan kekosongan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen yang disandang Anwar sebelum ini.

Sebelum ini, hubungan PAS-DAP semakin retak berikutan cadangan pelaksanan hukum hudud, yang ditentang keras oleh parti rasis itu.

"Saya jangkakan akan berlaku perebutan terutama membabitkan wakil daripada PAS kerana PKR awal-awal lagi telah mencadangkan Nurul Izzah sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Anwar," katanya.

Bagaimanapun beliau berpendapat, Ketua Pembangkang hanya layak dipegang oleh Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Mengulas kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh, Syed Ali berkata ianya merupakan peluang terbaik untuk pengundi di kawasan berkenaan menebus semula kesilapan yang mungkin mereka telah lakukan sebelum ini.

"Mungkin dulu mereka silap memilih Anwar, maka PRK kali ini saya lihat peluang terbaik kepada pengundi Permatang Pauh kembali menyokong Barisan Nasional (BN)," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kini menjadi tanggungjawab BN dan UMNO Pulau Pinang untuk berusaha merampas semula kerusi berkenaan daripada terus jatuh ke tangan pembangkang.

Bagaimanapun katanya, BN dan UMNO jangan memandang ringan terhadap keupayaan pihak lawan untuk mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang selama ini diwakili oleh Anwar.

Mengulas sikap biadap wakil rakyat pembangkang  terhadap Sultan Perak semalam, beliau berkata budaya kurang ajar sudah sebati dengan perangai pemimpin parti pembangkang.

"Saya sedih kerana yang menghina Sultan Perak bukan setakat wakil rakyat Cina dan India, tetapi turut disertai oleh wakil rakyat Melayu, di mana adat sopan dan pekerti mereka,? soal beliau.

Beliau mengingatkan pemimpin parti politik pembangkang supaya lebih bertanggungjawab dan menghormati peranan serta kedudukan Raja-Raja Melayu sepertimana sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan