“JANGAN nak salahkan polis
apabila pengarang portal berita The Malaysian Insider (TMI) ditangkap,
kalau berani buat fitnah dan laporan palsu, beranilah tanggung akibatnya,”
tegas Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Ketua UMNO Bahagian Cheras
itu berkata, TMI sengaja libatkan Majlis Raja-Raja Melayu dalam isu hudud
dengan satu loporan pembohongan dan berunsur fitnah.
“Portal berita TMI telah
menyiarkan satu laporan yang tidak tepat sehingga menjejaskan kedudukan Majlis
Raja-Raja Melayu,” katanya.
“Ini satu contoh laporan
pembohongan paling besar, penulisan fitnah yang disengajakan, yang tidak boleh
dimaafkan.
Sehubungan itu kata Syed
Ali, mereka yang terbabit dalam penyiaran berita bohong itu perlu menerima
risiko di atas perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu.
Semalam, polis telah
menahan tiga pengarang kanan TMI berhubung satu artikel berkaitan hudud yang turut
mengaitkan dengan Majlis Raja-Raja Melayu.
Tindakan polis itu
bagaimanapun mendapat kecaman daripada NGO; Centre for Independent Journalism
(CIJ) yang menyifatkan satu penyalahgunaan kuasa dan mereka perlu dibebaskan
segera.
Pengarah CIJ, Sonia
Randhawa dan Jack Kee dalam satu kenyataannya dilaporkan turut mempertikaikan
cara polis datang ke pejabat TMI dan menangkap pengarang yang terbabit.
Mengulas lanjut, Syed Ali
berkata CIJ sepatutnya ‘mendidik’ pengamal media tersebut supaya lebih beretika
dan membuat laporan berdasarkan fakta serta kebenaran.
“Mengapa CIJ hanya nampak (polis)
tangkap mereka, tetapi tidak peduli kepada soal isu hudud dan kedudukan Majlis
Raja-Raja Melayu, jadi kita sudah dapat agak apa sebenarnya niat mereka (CIJ),”
tegasnya.
Negara ini kata beliau,
masih mempunyai undang-undang dan polis akan bertindak sekiranya artikel atau
laporan pemberitaan itu cenderung kepada hasutan yang boleh memudharatkan
ketenteraman awam.
Perlu beretika & bertanggungjawab, tidak siarkan laporan
fitnah
“Kita sepatutnya beri
sokongan kepada pihak berkuasa termasuk polis yang telah bertindak tegas bagi
membendung penularan laporan berbau fitnah serta provokasi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan
pengamal media teutama media sosial perlu lebih beretika dan bertanggungjawab
dengan tidak sengaja menyiarkan berita berbau fitnah, hasutan dan provokasi.
Beliau kesal sejak akhir-akhir
ini mereka yang bertanggungjawab mengendalikan media seperti portal berita seperti
sengaja menyiarkan laporan yang meragukan dan tidak berasas.
“Banyak laporan bohong
yang sengaja disiarkan menerusi portal berita bertujuan mengajak rakyat
membenci kerajaan, ini trend yang tidak baik dan bercanggah dengan etika
kewartawanan,” tegasnya.
Syed Ali mendakwa,
parti-parti politik dan mereka yang pro- pembangkang sengaja memilih laporan
media sosial untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.
“Ini bukan bermakna
kerajaan menyekat kebebasan akhbar, tetapi cara seperti itu (laporan fitnah)
bercanggah dengan prinsip dan undang-undang,” katanya.
Malah katanya,ada pengendali
portal berita seperti ‘keras kepala’ dengan tidak mengambil peduli peringatan pihak
berkuasa seolah-olah mereka kebal daripada undang-undang.
Beliau berkata, penyiaran
berita atau laporan berbau fitnah dan tidak berasas semakin berleluasa sehingga mencetuskan
kegelisahan banyak pihak.
“Portal berita pro-pembangkang
khususnya sengaja menyiarkan berita atau laporan tidak tepat, sarat dengan
cerita bohong bagi memberi persepsi buruk kepada rakyat,” ujarnya.
Katanya lagi, kebebasan
akhbar termasuk hak bersuara tidak bermakna mereka bebas menyiarkan laporan negatif
yang boleh memudharatkan keamanan negara.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan