Halaman

Khamis, 9 April 2015

Stesen TV3 Kena Lebih Bertanggungjawab Jangan Lagakan PM dan Tun M



KUALA LUMPUR, 9 APRIL – Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan stesen TV3 agar lebih bertanggungjawab dan jangan melaga-lagakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamed.

Syed Ali melihat wujud kecenderungan stesen televisyen berkenaan mendapatkan kenyataan pemimpin–pemimpin tertinggi UMNO terutamanya untuk menghentam semula kritikan Tun Dr Mahathir yang tidak sepatutnya dilakukan terhadap mantan Perdana Menteri itu.

“Saya sebagai pemimpin yang kerdil ini meminta stesen TV3 agar jangan mengambil sikap melaga-lagakan dan jangan mengeruhkan keadaan. Saya berharap stesen televisyen berkenaan lebih bertanggungjawab dalam melaporkan isu kritikan Tun Dr Mahathir Mohamed terhadap Dato’ Seri Najib.

“Saya tidak bersetuju langkah stesen televisyen berkenaan yang menemubual pemimpin-pemimpin UMNO dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) semata-mata dilakukan untuk menghentam semula kenyataan Tun Dr Mahathir. Sampai bila pun masalah tak akan selesai.

“Bagi saya tindakan stesen televisyen berkenaan seolah-olah membuka ruang kepada pihak tidak berkenaan menghentam bekas Perdana Menteri yang banyak jasanya kepada rakyat dan negara. Sepatutnya stesen televisyen mengambil peranan ke arah menyatukan barisan kepimpinan dan bukannya memecahbelahkan,” katanya.

Beliau meminta semua pihak menghentikan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan berhubung kritikan terbuka Tun Dr Mahathir Mohamed terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Kata Syed Ali, segala perbezaan pandangan Tun Dr Mahathir terhadap Dato’ Seri Najib Razak boleh diselesaikan dengan cara musyawarah. Ini pernah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu UMNO bila berlaku sesuatu perbezaan pandangan dalam parti tersebut. Ini bermakna Anggota Majlis Tertinggi UMNO kena memainkan peranan bertemu secara empat mata dengan Tun Dr Mahathir Mohamed.

“Kita minta Timbalan, Naib-naib Presiden UMNO, anggota Ahli Majlis Tertinggi UMNO termasuk pemimpin sayap parti menyertai Dato’ Seri Najib Razak bertemu dan menerangkan kedudukan perkara sebenar kepada Tun Dr Mahathir mungkin mahu mendapatkan gambaran yang lebih tepat berkenaan isu-isu yang dibangkitkan oleh beliau baru-baru ini.

“Sebaliknya saya meminta pihak-pihak yang tiada kena mengena dengan UMNO agar jangan campurtangan isu dalaman parti ini, saya fikir tidak menjadi seruncing ini kalau tiada pihak yang melaga-lagakan. Hal dalaman UMNO biarlah pimpinan UMNO yang selesaikan. Jangan ambil sikap melaga-lagakan kedua-dua pemimpin terbabit,” katanya.

Kata Syed Ali, pihaknya berasa amat kesal apabila terdapat segelintir pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) turut mengambil langkah mengungkit-ungkit dan mengeruhkan suasana sedia ada. Malah terdapat sesetengahnya bersikap biadap dan mengecam mantan Perdana Menteri itu.

Beliau turut menegur parti Gerakan dan MCA seharusnya memberikan tumpuan pendaftaran ahli baharu dan usaha memulihkan kembali sokongan masyarakat Cina kepada BN daripada membuat kecaman kepada Tun Dr Mahathir Mohamed yang tiada kaitan langsung atau kena mengena dengan parti itu.

“Saya berpendapat ada baiknya pemimpin Gerakan dan MCA mempergiatkan usaha pendaftaran ahli baharu dari mencampuri urusan dalaman UMNO. Bagi saya UMNO sebuah parti cukup berpengalaman serta mempunyai keadah tersendiri dalam menyelesaikan masalah dalamannya.

“Kalau tujuan mahu melaga-lagakan memang tiada tempat kumpulan ini dalam UMNO. Sekarang kita kena cari jalan mendamaikan dan bukannya mengeruhkan lagi keadaan. Pada pandangan saya Tun Dr Mahathir Mohamed sudah banyak berjasa kepada UMNO pada era kepimpinannya.

“Sementara Dato’ Seri Najib sedang dan dalam melaksanakan dasar transformasi negara seperti mana termaktub dalam misi dan cita-citanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri. Beliau kena memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih besar berbanding isu titik bengek yang akhirnya merugikan UMNO.

“Tak perlulah kita mahu mengungkit-ungkit apa yang pernah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir semasa era pentadbirannya. Pada masa yang sama kita kena berganding bahu bersama-sama Dato’ Seri Najib menjayakan agenda transformasinya yang dilakukan untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Kata Syed Ali, kerajaan kini berhadapan dengan cabaran cukup besar dalam berhadapan situasi dan perkembangan politik dunia yang tidak menentu. Malaysia masih lagi dikira bertuah kerana masih mampu mempertahankan keamanan dan kestabilan rakyatnya.

“Bagi saya Perdana Menteri kena memberikan fokus dan tumpuan lebih besar ke arah membangunkan rakyat dan negara ini dari memikirkan soal persepsi rakyat. Jangan buang masa memikirkan perkara-perkara tidak berfaedah kelak kita sendiri akan rugi,” katanya.

1 ulasan:

  1. Salih said kruak memang besar punya cilaka dia ingat dia banyak pengikut ....

    BalasPadam