USAHA untuk meredakan
ketegangan hubungan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
dengan Datuk Seri Najib Tun Razak perlu disegerakan, kata Ketua UMNO Bahagian
Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Beliau bimbang jika isu
itu berlarutan akan memberi kesempatan kepada pihak berkepentingan untuk
memburukan imej pentadbiran Perdana Menteri.
“Saya telah syorkan supaya
semua pihak terutama Naib-Naib Presiden UMNO main peranan, cari jalan untuk
damaikan mereka,” katanya.
Langkah itu katanya, amat
penting bagi mengelak terhakisnya sokongan rakyat terutama orang Melayu
terhadap UMNO yang menjadi tonggak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Semua pihak dalam
kepimpinan tertinggi UMNO perlu main peranan untuk redakannya, kita mahu jalan
penyelesaian dilakukan secara baik dan penuh semangat kekeluargaan,” tegasnya.
Tambah beliau, langkah itu
bukan untuk kepuasan mana-mana pihak tetapi perlu dilihat kepada kepentingan
dan masa depan parti.
Beliau berkata, keretakan
hubungan antara kedua pemimpin yang banyak menyumbangkan jasa kepada negara hanya
akan merugikan rakyat.
“Sekarang ini tidak timbul
soal siapa sokong Najib dan siapa sokong Dr. Mahathir, kedua tokoh itu merupakan
pemimpin UMNO yang berjasa kepada negara dan rakyat terutama orang Melayu,” tegasnya.
Beliau menjelaskan,
kedudukan Najib selaku Presiden UMNO telah dipilih oleh ahli dan perwakilan berdasarkan
perlembagaan parti.
Sehubungan itu katanya, menjadi
tanggungjawab ahli parti mempertahankan kedudukan Najib selaku presiden.
Syed Ali mengulangi
pendiriannya bahawa kepimpinan Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO
perlu diberikan sokongan padu manakala Dr. Mahathir pula sebagai seorang
negarawan hendaklah dihormati.
Beliau khuatir isu
keretakan hubungan antara Dr. Mahathir dan Najib akan dimanipulasi oleh pihak
pembangkang.
Lagipun kata beliau, UMNO
khususnya BN bakal berdepan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijangka
berlaku serentak di Parlimen Permatang Pauh dan Rompin, yang dikatakan akan
diadakan pada 7 Mei ini.
Beliau tidak menafikan
kemelut hubungan antara Dr. Mahathir dengan Najib sedikit sebanyak akan memberi
kesan kepada UMNO pada PRK tersebut jika tiada penyelesaian dilakukan.
“Kita tidak boleh
ketepikan isu tersbut, mungkin pembangkang akan memutarbelitkannya bagi meraih
sokongan pengundi,” katanya.
PRK Permatang Pauh
diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan
sebagai Ahli Parlimen setelah disabit bersalah meliwat.
Anwar kini sedang
menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Manakala di Rompin pula
ekoran kematian wakil rakyatnya, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis yang terbabit
dalam nahas helikopter di Semenyih
baru-baru ini.
Dalam perkembangan
berkaitan, Syed Ali menempelak Presiden
PKR, Datin Seri Dr. Wan Aziiah Wan Ismail yang masih kemaruk untuk bertanding
di PRK Permatang Pauh.
“Inilah contoh pemimpin
tamak dan kemaruk kuasa, sanggup tawar diri untuk bertanding bagi meneruskan
perjuangan politik Anwar,” katanya.
Bagaimanapun beliau
berkata, kesediaan Wan Aziziah yang juga ADUUN Kajang itu mungkin disebabkan
PKR sudah ketiadaan calon bersih dan berwibawa untuk diketengahkan.
Bagaimanapun ujar beliau,
UMNO dan BN tidak gusar jika Wan Aziziah bertanding di Permatang Pauh kerana
yakin pengundi sudah sedia untuk melakukan perubahan.
“Selama ini pengundi di
Permatang Pauh terpedaya dengan permainan politik Anwar yang akhirnya
menyaksikan Ketua Pembangkang itu bersalah melakukan liwat,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan