UMNO khususnya Barisan Nasional
(BN) perlu meningkatkan sokongan rakyat bagi
menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang mungkin berlaku pada tahun 2017
atau 2018, kata Datuk Seri Syed Ali
Alhabshee.
Ketua UMNO Bahagian Cheras
itu menegaskan PRU ke-14 dilihat sebagai medan pertempuran paling sengit dalam
menentukan halatuju orang Melayu dan masa depan negara.
“UMNO dan BN dijangka
berdepan dengan tentangan paling getir daripada parti-parti pembangkang,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun yakin kekuatan
Pakatan Rakyat (PR) semakin lemah kerana berpendirian bahawa gabungann itu akan
berkubur sebelum PRU ke-14.
Katanya, pemenjaraan lima
tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kesalahan meliwat dan konfratasi
PAS dengan DAP bersabit pelaksanaan hukum hudud penyebab antara punca pepercahan
PR.
Lagipun dakwa beliau,
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh bukan lagi watak penting dalam
senario politik tanahair.
“Perpecahan PR memberi sedikit
kelebihan kepada UMNO dan BN, ianya perlu dimanfaat sepenuhnya bagi mendapat
sokongan rakyat,” ujarnya.
Untuk itu kata beliau, UMNO
termasuk BN perlu lebih aggresif dan
berusaha menangani beberapa isu yang mencuri perhatian rakyat.
Tidak menyebut secara
khusus isu berkenaan tetapi Ketua UMNO Bahagian Cheras itu membayangkan pelaksanaan GST, isu 1MDB dan
kenaikan kos sara hidup perlu diberikan tumpuan.
“Pemimpin UMNO disemua
peringkat kena bingkas dengan hujah dan penjelasan relevan bagi mematahkan
serangan pihak pembangkang,” katanya.
Dalam masa yang sama beliau
yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan berharap
UMNO harus bijak membangkitkian isu berkaitan pihak lawan.
“Kita boleh dedahkan
pelbagai isu yang mengaitkan parti pembangkang supaya rakyat tahu belang mereka,”
ujarnya.
Beliau menyebut saluran media
sosial menjadi alternatif pembangkang menyerang UMNO dan BN dengan fitnah, provokasi
dan tohmohan liar.
Media sosial termasuk portal
berita didakwa Syed Ali seperti mempunyai ‘kebebasan tanpa kawalan’ menyiarkan propaganda
pembangkang.
“Kita tidak tahu di mana
silapnya sehingga akar umbi turut mempersoalkan setakat mana penguatkuasaan
undang-undang sedia ada bagi menyekat penularan fitnah menerusi media sosial termasuk
terhadap Perdana Menteri,” tegasnya.
Kebesan tanpa kawalan media sosial siarkan propaganda pembangkang
sebar fitnah
Beliau tidak menafikan
pembangkang menjadikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sasaran utama serangan
fitnah dengan isu-isu yang sengaja direka.
Oleh sebab itu kata beliau,
pemimpin UMNO termasuk ketiga-tiga sayap; Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri
perlu menjadi benteng kukuh mempertahankan Perdana Menteri yang juga presiden
parti.
Beliau mengingatkan pemimpin
UMNO tidak perlu berterusan bermain dengan ungkapan retorik sehingga rakyat
terhakis keyakinan terhadap parti.
“Mereka juga tidak boleh
terlalu membiarkan Najib keseorangan menepis serangan pihak lawan, mereka kena
tampil dengan kekuatan yang ada,”
hujahnya lagi.
Selain itu, beliau
berpendapat Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan Ketua-Ketua UMNO Bahagian perlu
lebih berperanan pro-aktif mempertahankan kredibiliti parti dan kedudukan
presiden serta timbalan presiden.
“Jika selama ini kita
sentiasa mengambil pendekatan defensif terhadap serangan pembangkang, ianya
perlu diubah kepada lebih aggresif dan drastik.
Syed Ali mendakwa pembangkang
sedang menyusun pelbagai strategi menanam persepsi buruk terhadap UMNO dan
kerajaan sehingga PRU ke-14.
“Kita kena belajar
daripada sejarah, kita tidak ambil peduli bila pembangkang mula menysusun strategi
menerusi laman-laman sosial akhir tahun 1990 dengan laporan fitnah dan
persepsi,” jelasnya.
Dan kesannya kata beliau,
PRU ke-12 menyaksikan BN mengalami kekalahan yang paling buruk dalam sejarah
pilihan raya di negara ini.
Sehubungan itu kata beliau,
UMNO dan BN perlu mencipta kejayaan yang
lebih besar walaupun PRU ke-13 mampu memperolehi 133 kerusi Parlimen.
Beliau turut mengingatkan bahawa
pengundi muda menjadi garis penentu untuk mengukur kejayaan masa depan UMNO dan
BN.
“Golongan ini terdedah
dengan pelbagai input yang diperolehi menerusi media-media sosial, ini satu
trend yang perlu diberikan perhatian serius,” ujarnya.
Bagaimanapun beliau tetap
berkeyakinan UMNO akan kekal meraih sokongan majoriti daripada pengundi Melayu.
“Manakala rakan komponen
BN perlu bekerja keras untuk kembali menambat hati pengundi bukan Melayu
setelah sikap sebenar mereka terserlah pada PRU ke-13,” katanya.

.jpg)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan