Halaman

Isnin, 23 Mac 2015

PAS Sanggup 'Satu Kuburan' Dengan DAP -Kata Syed Ali



KUALA LUMPUR, 23 MAC : “Jangan mudah terperangkap dengan helah politik dan lakonan palsu PAS mahu menjalinkan kerjasama dengan UMNO,” itulah antara peringatan yang dilontarkan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee.

Kata Syed Ali, pihaknya tidak pernah sesekali mempercayai PAS dan ura-ura PAS mahu bekerjasama dengan UMNO tidak lebih hanya lakonan palsu terbaharu parti itu yang mahu memerangkap UMNO.

“Saya sama sekali tidak akan mempercayai PAS akan bekerjasama dengan UMNO memandangkan cita-cita besar parti itu mahu menggantikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan persekutuan.

“Umum mengetahui, sejak dahulu lagi PAS sentiasa benci dengan UMNO dan tidak ada satu perkara pun yang PAS bersetuju dengan UMNO. Sebaliknya PAS lebih selesa dan sanggup satu kuburan dengan DAP semata-mata mahu menumbangkan BN.

“Berdasarkan pengalaman yang lalu, PAS tidak pernah sekali pun berbantah apabila DAP memainkan isu perkauman dan agama, PAS juga tidak pernah menghalang jika DAP mahu menguburkan ketuanan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“PAS juga tidak pernah menegur DAP dan PKR tidak menghormati institusi kerajaan di negara ini termasuk badan kehakiman. Kerja PAS hanya menurut apa sahaja kata DAP dan PKR walaupun maruah dan martabat parti itu sudah tercalar,” kata Syed Ali.

Walaupun ramai berpendapat, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bersetuju dengan pindaan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II (1993) Enakmen Hudud secara sebulat suara baru-baru ini seolah-olah memberikan gambaran cerah wujud kerjasama UMNO –PAS pada masa depan, namun Syed Ali tetap menafikan parti itu akan berbaik-baik dengan UMNO.

Katanya, PAS hanya guna UMNO untuk sokong agendanya seperti Hudud. Pada ketika yang sama Kerajaan PAS Kelantan sendiri berdepan dengan krisis kepercayaan dan keyakinan rakyat selepas dilihat gagal dalam menguruskan banjir terburuk melanda negeri itu.

“Bagi saya PAS tiada pilihan terpaksa berbaik-baik dengan UMNO kerana hudud dan gagal menguruskan mangsa banjir besar melanda negeri itu.

“Saya tidak nampak PAS ikhlas dengan UMNO. Tujuan berbaik-baik dengan UMNO kerana tujuan hudud dan mahukan peruntukan dari kerajaan pusat. Sejak dahulu lagi, PAS tidak pernah bersikap tulus kepada UMNO. PAS hanya bermain wayang mahu berbaik-baik dengan UMNO,” katanya.

Menjelang Muktamar PAS pada Jun nanti, parti itu sedang berhadapan dengan perpecahan dalamannya. Sedaya upaya PAS cuba menutup kelemahan parti itu dengan mengalihkan isu hudud.

Syed Ali tidak menolak kemungkinan, menjelang pilihan raya umum akan datang PAS dan rakan sekutu DAP akan merencana serangan fitnah secara besar-besaran terhadap pentadbiran UMNO dan BN kerana agendanya menggantikan BN sebagai kerajaan.


Katanya, tidak mungkin PAS begitu mudah mahu meninggalkan DAP yang merupakan ‘teman sekelambunya’ dan akan berbuat apa sahaja demi survival politik parti itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan