Halaman

Rabu, 25 Mac 2015

PAS Terus 'Dibahalulkan' Oleh DAP



KUALA LUMPUR, 25 MAC : Cukuplah PAS diperkudakan oleh DAP selama ini, kini parti itu ‘dibahalulkan’ pula oleh Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Semalam Lim Guan Eng secara terbuka memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menyifatkan Presiden PAS sebagai seorang yang tidak bermaruah. Tindakan ini dilakukan kerana DAP tidak bersetuju PAS melaksanakan hudud di Kelantan.

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan tindakan Lim Guan Eng memutuskan hubungan dengan Hadi Awang sebagai satu tamparan yang hebat kepada PAS.

Katanya, PAS bukan sahaja dianggap parti malukut ditepi gantang juga sudah ‘dibahalulkan’ oleh DAP secara terang dan terbuka. Tindakan DAP kepada PAS cukup memalukan seluruh organisasi parti tersebut.

Seharusnya pemimpin PAS membuka mata besar dan tidak memekakkan telinga dengan pernyataan penghinaan dilemparkan oleh Lim Guan Eng terhadap Hadi Awang.

“Perbuatan Lim Guan Eng ini bukan sahaja memalukan PAS malah turut ‘membahalulkan’ seluruh anggota PAS yang seolah-olah menjadi ‘Pak Turut’ kepada DAP.

“Walaupun DAP sudah menindik hidung PAS selama ini masih lagi mahu berbaik-baik dengan parti yang selama ini mengamalkan politik perkauman yang sempit.

“Malah pemimpin PAS sanggup berbaik-baik dengan DAP yang jelas menolak ketuanan Melayu di negara ini dan bermusuh dengan UMNO yang sebangsa dan seagama,” katanya.

Syed Ali turut menyelar tindakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mahukan pemimpin Pakatan Rakyat segera bertemu dan mencari titik persamaan untuk bersama.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar pula berkata, tindakan Lim Guan Eng jelas bercanggah dengan prinsip bersama dalam majlis kepimpinan pembangkang yang diwakili pemimpin tertinggi daripada setiap parti sekutu.

“DAP sepatutnya bersedia untuk ada hubungan dengan mana-mana pemimpin PAS walaupun ada perbezaan dalam sesuatu perkara,” kata Mahfuz.

Jelas Syed Ali, kedua-dua pemimpin PAS terbabit tidak mempunyai air muka sehingga sanggup terhegeh-hegeh memujuk rayu dan menyembah DAP.

Walaupun DAP sudah menjatuhkan talak tiga kepada Hadi Awang namun kedua-dua pemimpin PAS terbabit seolah-olah sudah gila talak mahu menjernihkan hubungan PAS dan DAP.

Menurut Syed Ali, tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Hadi Awang merupakan satu signal halus kepada PAS untuk menilai mana letak duduknya parti itu selama ini dalam Pakatan Rakyat.

“Pada pandangan saya tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Hadi Awang kerana mahu memberitahu anggota PAS bahawa Presiden parti itu tidak lagi relevan mengetuai PAS dan wajar diganti pada muktamar Jun ini.

“Bila Hadi Awang diganti maka mudahlah DAP menjadi ‘abang long’ dalam Pakatan Rakyat. Apabila sudah menjadi ‘abang long’ maka mudahlah DAP membuat apa sahaja keputusan dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Kata Syed Ali, seharusnya PAS jangan mudah ‘dibaruakan’ oleh DAP yang mempunyai cita-cita besar mahu berkuasa di negara ini. Bukan sahaja hari ini malah selamanya DAP tidak akan bersetuju hudud PAS dan perkara-perkara yang melibatkan kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.


Sebelum PAS dianggap dayus oleh penyokong dan rakyat negara ini ada baiknya PAS mengambil keputusan memutuskan hubungan politik dengan DAP.

1 ulasan:

  1. Kebanyakan pemimpin PAS dah kena beli, tu fasallah sukar sangat nak bawa PAS keseluruhannya keluar dari Pakatan Rakyat tu. Mereka seolah buta hati dan perut, menurut sahaja kehendak DAP tanpa memikirkan kerugian yang bakal dialami agama, bangsa, negara dan anak cucu akan datang

    BalasPadam