Halaman

Selasa, 20 Januari 2015

Syed Ali tegur pemimpin UMNO guna media sosial burukkan sesama sendiri


PEMIMPIN UMNO diingatkan supaya menggunakan saluran parti jika terdapat ketidakpuashatian terhadap sesuatu isu, bukannya menggunakan media sosial untuk memburukkan antara satu sama lain, kata Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu melahirkan rasa kesal terhadap sesetengah pihak yang menggunakan media baru termasuk portal berita untuk menyerang sesama pemimpin parti atas beberapa isu yang berbangkit sejak kebelakangan ini.

“Sejak akhir-akhir ini sesama orang UMNO menggunakan laman-laman sosial untuk menyerang antara satu sama lain, ini perkembangan tidak baik dan merugikan parti,” tegasnya.

Beliau berkata, pemimpin UMNO boleh menyuarakan pandangan dan teguran atau rasa tidak puas hati mereka tetapi seeloknya dibuat secara berhemah dan menggunakan saluran parti.

Beliau bimbang perbezaan pendapat yang diluahkan secara terbuka itu akan dieksploitasikan oleh pihak pembangkang untuk menyerang UMNO dan sekaligus boleh mempengaruhi fikiran rakyat.

“Apabila timbul kata-mengata atau sangkaan kurang baik terhadap sesama pemimpin UMNO, sudah pasti akan memberi kesan negatif kepada masyarakat umum,” ujarnya.

Katanya lagi, walaupun pergeseran tiu dilihat hanya kecil tetapi jika dibiarkan berlarutan boleh melebarkan jurang pertelingkahan dan akhirnya membawa kepada perpecahan dalam parti.

“Inilah yang ditunggu-tunggun oleh pihak pembangkang dan kumpulan anti-kerjaaan yang sedang bertungkus lumus untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” tegasnya.

Syed Ali begitu kesal dengan perkembangan politik mutakhir yang menyaksikan tindakan sesama ahli parti yang dilihat begitu ghairah membongkar kesalahan dan kesilapan sesama pemimpin UMNO termasuk bekas pemimpin.

“Kita tidak tahu apa motif mereka berbuat demikian kerana perbuatan seperti itu hanya akan menjejaskan kredibiliti UMNO selaku parti tonggak kerajaan yang memerintah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, dalam keadaan yang tidak berapa tenteram itu ada pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk memburukkan kepimpinan Najib.

Sepatutnya kata beliau, pemimpin UMNO bersatu tenaga dan buah fikiran untuk menepis serangan dakyah serta provokasi yang giat dilakukan pembangkang.

Tambahya, adalah lebih bermakna jika pemimpin UMNO termasuk ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO membongkar segala kelemahan dan kepincangan parti lawan supaya rakyat mengetahui secara lebih jelas agenda pembangkang.

“Dalam keadaan sekarang, kita sepatutnya bersatu dan bersama presiden (Najib) mempertahankan kewibawaan UMNO dan sekaligus menyakinkan rakyat terhadap perjuangan parti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali turut melahirkan rasa terkilan beliau terhadap sesetengah pemimpin UMNO yang dilihat hanya berpeluk tubuh ketika Najib diserang hebat oleh pembangkang.

“Ada yang bertanya, kepimpinan UMNO mempunyai barisan Majlis Tertinggi (MT), Wanita, Pemuda dan Puteri, tetapi mengapa membiarkan Najib seperti keseorangan berdepan dengan serangan pihak pembangkang,” katanya.

Beliau menjelaskan, akibat sikap berdiam diri pemimpin UMNO telah memberi peluang kepada pembangkang menyebarkan tanggapan negatif kononnya ada pihak dalam parti yang tidak menyokong kepimpinan Najib.

Persespsi sedemikian kata beliau, perlu diperbetulkan supaya tidak mendatangkan kerugian kepada parti terutama ketika menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Sehubungan itu tegas beliau, pemimpin UMNO di semua peringkat sewajarnya bingkas mempertahankan parti dan kepimpinan Najib selaku presiden parti.

“Kita kena terjemahkan sokongan dan kesetiaan kepada presiden dan timbalan presiden, kita kena bangun dan tidak membiarkan mereka menjadi mangsa serangan fitnah pembangkang,” tegasnya.

1 ulasan:

  1. Sebenarnya UMNO itu sendiri sudah tidak "laku" kepada majoriti Melayu. Percayalah kepada kenyataan walau pahit.

    BalasPadam