Halaman

Khamis, 22 Januari 2015

Syed Ali : Talibarut pembangkang lagakan Dr. Mahathir - Najib


KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, gesaan pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau popular dengan gelaran Chegu Bard supaya ‘mangsa buli’ politik Tun Dr. Mahathir Mohamad bangkit menamatkan kecelaruan politik sebagai isu yang sengaja diada-adakan.

Katanya, talibarut pembangkang itu sengaja melontarkan tuduhan kononnya Dr. Mahathir menjadi punca kepada kecalaruan politik dan pentabiran bertujuan mencetuskan keresahan di kalangan ahli UMNO.

“Dia menamakan Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Anwar Ibrahim sebagai antara mangsa buli, ini semua rekaan jahat pembangkang untuk memecahbelahkan UMNO,” tegasnya.

Menerusi portal berita pro-pembangkang, malaysiakini.com, Chegu Bard turut menuduh Dr. Mahathir mempunyai strategi bagi menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengingatkan Pakatan Rakyat (PR) supaya tidak terperangkap dengan strategi tersebut.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata tuduhan jahat tersebut sengaja diada-adakan untuk mencemarkan nama baik Dr. Mahathir disamping usaha melaga-lagakan beliau dengan Najib.

“Talibarut pembangkang (SAMM) tidak habis-habis cuba menyeret Dr. Mahathir dengan pelbagai tuduhan tidak berasas kononnya tidak bersetuju dengan pentadbiran Najib,” tegasnya.

“Pembangkang sejak hari pertama Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, telah melancarkan pelbagai propaganda dan tuduhan liar memburukkann kepimpinan Najib.

Malah kata beliau, talibarut dan ‘agen’ pembangkang turut menyebarkan fitnah menerusi laman-laman sosial kononnya berlaku ketegangan hubungan antara Dr.Mahathir dengan Najib.

“Ini semua strategi jahat pembangkang untuk melemahkan kekuatan UMNO, dakwaan seperti itu sebenarnya tidak berlaku,” jelasnya.

Sebaliknya kata beliau, pembangkang sengaja memutarbelitkan setiap kali teguran atau pandangan yang disuarakan oleh Dr. Mahathir terutama menyentuh dasar kerajaan dan parti.

Menurutnya, sebagai bekas Perdana Menteri dan presiden parti, Dr. Mahathir mempunyai kebebasan dan ruang untuk memberikan pandangan dan teguran.

“Kadangkala ada teguran Dr. Mahathir agak keras, tetapi itu tidak bermakna beliau menyerang kepimpinan  Najib, ianya satu pandangan ikhlas dan membina daripada seorang negarawan,” ujarnya.

Malah kata Syed Ali, beliau percaya Najib juga  menerima pandangan dan kritikan daripada Dr. Mahathir dengan berlapang dada dan menyifatkannya sebagai membina untuk kebaikan rakyat, negara dan parti.

“Saya juga yakin bahawa Dr. Mahathir tidak akan membenci UMNO, beliau seorang pejuang parti, seorang negarawan, sudah tentu teguran dan pandangannya ikhlas demi kebaikan parti,” tegasnya.

“Yang jadi masalahnya pihak pembangkang akan spin apa sahaja disuarakan oleh Dr. Mahathir berkaitan UMNO, mereka putarbelitkan kononnya Dr. Mahathir tidak senang dengan Najib, inilah kerja pembangkang yang suka bersangka buruk.

Beliau juga menyifatkan tuduhan Chegu Bard kononnya Najib menjalin kerjasama dengan Anwar untuk menyerang Mahathir dan bekas Menteri Kewangan, Tun. Daim Zainuddin (gambar bawah) sebagai karut dan pembohongan besar.

“Apa kena mengena Najib dengan Anwar, ini semua karut dan cuba mengelirukan ahli-ahli parti, isu Daim juga tidak ada kaitan dengan Najib khususnya UMNO,” katanya.

Beliau menjelaskan, Dr. Mahathir telah berjaya membina kekuatan baru kepada negara, rakyat dan UMNO selama lebih 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

“Perjuangan dan kejayaan Dr. Mahathir mengangkat martabat orang Melayu bersama UMNO kini diteruskan pula oleh Najib, ianya satu kesinambungan perjuangan untuk masa depan,” tegasnya.

Katanya, bekas Presiden UMNO itu juga telah menjana perubahan minda dan politik orang Melayu sehinga parti terus kekal relevan dalam memacu arus pembangunan negara.

Malah katanya, Dr. Mahathir telah meninggalkan wadah kepimpinan UMNO yang lebih baik dan tersususn sehingga kejayaan itu diteruskan pula Najib selepas pengunduran Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri dan presiden parti.

Sehubungan itu beliau menyangkal keras tuduhan  pembangkang bahawa Dr. Mahathir menjadi punca kepada ‘kecelaruan politik dan pentadbiran’ negara.

Katanya, tuduhan tersebut sebagai dakwaan berniat jahat dan bertujuan memecahbelahkan perpaduan di kalangan ahli-ahli UMNO.

“Pembangkang tidak ada kerja yang lebih bermanfaat untuk rakyat selain daripada memburuk-burukkan pemimpin UMNO dan mencetuskan provokasi liar,” ujarnya.

Menurut beliau, pembangkang menyusun pelbagai strategi untuk melemahkan kekuatan UMNO dan salah satu caranya membuat fitnah dan tuduhan jahat kononnya berlaku pergeseran serta perpecahan  dalam parti sewaktu era pentadbiran Najib.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan