Halaman

Rabu, 28 Januari 2015

Syed Ali Sokong Puad Zarkarshi Siasat Portal Berita FMT, Malaysiakini, Malaysiainsider dan media talibarut



KUALA LUMPUR, 27, JANUARI : Segala usaha untuk memecahbelahkan pemimpin UMNO melalui sebarang instrumen termasuk menggunakan portal berita freemalaysiatoday (FMT), malaysiakini, malaysiainsider dan media talibarut pembangkang perlu dikekang sejak peringkat awal.

Ini dilakukan bagi mengelakkan rakyat mudah dikelirukan atau diapi-apikan dengan sebarang maklumat yang tidak tepat sehingga sampai peringkat boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Perkara ini ditegaskan, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang menyokong penuh saranan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkarshi dalam stesen TV3 semalam, agar kementerian berkaitan segera menyiasat siapa di sebalik portal berita FMT (freemalaysiatoday), malaysiakini, malaysiainsider dan media talibarut pembangkang yang disifatkan cuba melaga-lagakan pimpinan UMNO dan menanam kebencian rakyat kepada kerajaan.

Menurut Syed Ali, sebagai pemimpin UMNO beliau amat menghormati peranan dan tanggungjawab pengamal media di negara ini. Katanya, media adalah medium yang menjadi penyampai maklumat yang paling berkesan kepada rakyat. Maklumat di dalam media juga boleh dijadikan pemangkin kepada pembentukan rakyat Malaysia yang bersatu padu dan cintakan kepada negara.

Walau bagaimanapun beliau melahirkan rasa kesal kerana terdapat portal berita seperti FMT, malaysiainsider, malaysiakini dan media talibarut pembangkang yang didakwa menyampaikan berita berat sebelah atau tidak seimbang sehingga sampai peringkat yang boleh melaga-lagakan kepimpinan UMNO dan kerajaan.

“Saya tahu sebagai pengamal media masing-masing mahu mengejar rating pembaca yang tinggi. Tapi janganlah sampai kepada peringkat yang boleh menimbulkan salah faham dan perbalahan sesama pemimpin UMNO dan kerajaan.

“Sememangnya saya sering mengikuti laporan berita ketiga-tiga portal ini termasuk yang lain. Namun sejak kebelakangan ini saya melihat siaran media ini seolah-olah condong kepada pihak di luar sana atau memberi ‘political mileage’ kepada pembangkang.

“Justeru saya menasihatkan bekas pemimpin UMNO yang sering mendapat liputan portal berita ini antaranya Tun Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin agar lebih berhati-hati dalam memberikan sebarang komen bimbang kenyataan mereka diputarbelitkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Syed Ali turut memberikan contoh berlaku kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Selepas beliau memberikan penjelasan panjang lebar berkenaan surat yang dihantar kepada FBI berkenaan kes Tony Pua , tiba-tiba portal berita berkenaan mendapatkan reaksi balas bekas-bekas Menteri Dalam Negeri yang lain.

“Tindakan ini bukan sahaja melaga-lagakan malah boleh mengeruhkan lagi keadaan yang ada bila pemimpin parti pembangkang mengambil kesempatan memanipulasi isu terbabit.

“Saya menyerulah kepada ketiga-ketiga portal berita ini agar memberikan laporan yang adil dan lebih bertanggungjawab dalam menjaga perpaduan di kalangan pemimpin kerajaan dan rakyat. Kalau berlaku sesuatu perkara tidak baik kepada negara kesannya bukan hanya kepada satu pihak juga kepada pihak–pihak yang lain.

“Kalau boleh janganlah menimbulkan sebarang isu yang boleh memecahbelahkan sesama kita. Ramai pihak di luar sana cemburukan dengan pentadbiran kerajaan yang berjaya membawa pelbagai pembangunan dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut menasihatkan pemimpin UMNO agar lebih berhati-hati dalam memberikan pandangan yang tidak memecahbelahkan sesama pemimpin UMNO. Apa yang membimbangkan pihaknya, bila pihak pembangkang turut menjadi ‘batu api’ memecahbelahkan sesama pemimpin UMNO.

“Saya paling bimbang adalah pemimpin parti pembangkang yang melihat tindakan melagakan pemimpin UMNO merupakan satu taktik baru mencari pengaruh di kalangan rakyat.

“Mereka tidak perlu bersusah payah cukuplah parti itu memanipulasikan kenyataan-kenyataan Dr Mahathir atau Daim Zainuddin yang menghentam kerajaan untuk faedah dan kebaikan parti mereka,” katanya.

Syed Ali berkata, sudah tiba masanya kementerian berkaitan memantau serta menyiasat siapa di sebalik ketiga-tiga portal berita ini juga media talibarut bimbang menjadi alat pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya bimbang selepas pembangkang berasakan mereka tidak mampu untuk memecahbelahkan pemimpin UMNO dari luar, maka mereka memilih kaedah baru dengan melaga-lagakan pimpinan dalaman UMNO,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan