Halaman

Rabu, 28 Januari 2015

Keputusan liwat : Penyokong tegar Anwar dinasihatkan tidak bertindak liar – Syed Ali


DATUK Seri Syed Ali Alhabshee mahu penyokong tegar Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bertindak liar pada hari keputusan rayuan terakhir  beliau terhadap  sabitan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 10 Februari ini.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menegaskan sebarang perhimpunan haram atau rusuhan jalanan bertentangan dengan undang-undang negara ini.

“Saya berharap penyokong tegar Anwar tidak bertindak liar dan mengadakan rusuhan di jalanan terhadap apa jua keputusan mahkamah pada hari berkenaan,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau juga berharap penyokong Mohd. Saiful menerima sebarang keputusuan dengan hati terbuka dan menghormati proses undang-undang.

Beliau mendakwa, ada desas-desus mengatakan penyokong pembangkang akan mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 10 Februari ini bagi menyatakan sokongan terhadap Anwar.

“Kita tidak tahu setakat mana kebenaran berita tersebut, tetapi kita berharap polis telah bersiap sedia untuk menangani apa juga situasi yang bakal berlaku,” katanya.

Menurut beliau, insiden sebelum ini menyaksikan penyokong Anwar akan melakukan kekecohan dan provokasi disamping mengecam kerajaan jika mereka mengadakan perhimpunan jalanan.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Februari ini untuk keputusan rayuan terakhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, enam tahun lepas.

Menurut Syed Ali lagi, Anwar dan penyokong beliau harus menghormati sistem perundangan negara ini dan tidak melontarkan pelbagai tuduhan tidak berasas.

Katanya, sama ada Anwar disabit bersalah atau sebaliknya akan dibuat secara adil dan saksama tanpa campur tangan politik.

Beliau menyangkal tuduhan pembangkang kononnya sistem kehakiman dan perundangan negara ini tidak telus dan berat sebelah.

Tidak timbul PAS-UMNO akan bergabung jika Anwar dipenjara

Mengulas kenyataan Anwar bahawa beliau yakin akan dibebaskan  sepertimana tersebar di portal berita, Syed Ali berkata Ketua Pembangkang itu sengaja mencetuskan provokasi untuk menagih simpati.

“Kenyataan itu sengaja dibuat oleh Anwar untuk menaikkan moral penyokong beliau,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan tidak timbul spekulasi bahawa PAS dan UMNO hanya akan bergabung jika Anwar disabit bersalah meliwat.

“Soal kemungkinan berlaku kerjasama politik  PAS-UMNO tidak ada kaitan dengan Anwar,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, jika berlaku kerjasama politik PAS-UMNO ianya bersandarkan kepada kepentingan masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

“Sudah 30 tahun wujud bergeseran antara kedua parti tersebut, saya berpendapat sudah sampai masanya sengketa politik itu dipulihkan demi survival umat,” tegasnya.

Mengenai tuduhan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa kelemahan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak berpunca daripada perbalahan dalam UMNO, Syed Ali menegaskan dakwaan itu tidak berasas.

“Pembangkang sengaja mencipta isu dan andaian liar untuk merosakkan perpaduan UMNO,” katanya.

Beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini tiada sebarang krisis antara Najib dengan veteran UMNO khususnya mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Tidak ada krisis, ianya sekadar perbezaan pendapat yang telah sengaja diputarbelitkan oleh mereka yang berkepentingan termasuk  media alternatif pro-pembangkang,” tegasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan