Halaman

Jumaat, 2 Januari 2015

Hubungan baik UMNO-PAS Kelantan ; perintis kerjasama, penyatuan politik orang Melayu - Syed Ali



HANYA keikhlasan pemimpin yang menjurus kepada kepentingan rakyat boleh menjadi perintis kearah kerjasama antara Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dan parti pembangkang terutama PAS, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Katanya, sudah sampai masanya pemimpin kedua-dua parti politik yang mewakili sebilangan besar orang Melayu di negara ini mencari jalan terbaik bagi mengeratkan semula kerjasama politik demi masa depan rakyat dan negara.

"Walaupun sekarang ini hanya berlaku kerjasama dalam bentuk pengurusan menangani masalah bencana banjir, tetapi tidak mustahil boleh diperluaskan kepada penyatuan politik atas dasar kepentingan rakyat secara keseluruhannya," ujar beliau. 

Oleh sebab itu tegas beliau, UMNO sejak dari dahulu lagi sedia untuk mengadakan kerjasama dengan PAS sebagai langkah positif menyatupadukan orang Melayu dan umat Islam yang berpecah kerana perbezaan idealogi politik.

UMNO jelas beliau, sentiasa bersikap terbuka dan ikhlas untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak jika ianya melibatkan kepentingan rakyat.

"Oleh sebab itu pemimpin perlu ikhlas dengan mengambilkira kepentingan rakyat sebagai kerangka penting kearah mewujudkan kerjasama politik khususnya melibatkan UMNO-PAS," tegasnya.

Menurut Syed Ali, jika berlaku kerjasama politik antara UMNO-PAS di Kelantan ianya akan menjadi perintis kearah perpaduan antara kedua-dua parti di peringkat nasional.

"Kita melihat senario politik di Kelantan buat masa sekarang ada satu perubahan positif, pemimpijn UMNO-PAS boleh bekerjasama ketika berdepan dengan musibah banjir, ianya satu permulaan yang baik," ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengulas perkembangan terbaru politik di Kelantan yang mula menjadi perbualan umum kemungkinan akan berlaku kerjasama politik antara UMNO-PAS kesan daripada tragedi bencana banjir yang melanda negeri itu.

"Apa yang berlaku di Kelantan adalah satu perkembangan menarik, wujud kerjasama UMNO-PAS, perubahan itu perlu disokong dan diharapkan tidak ada pihak yang cuba mencantas hubungan tersebut kerana agenda peribadi," tegasny lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum ini menyifatkan 'kerajaan campuran' telah dilaksanakan dalam beberapa urusan terutama dalam menangani bencana banjir yang melanda negeri itu ketika ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengakui wujud kerjasama erat BN dan PAS dalam semua aspek, malah melupakan segala sengketa kerana memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat.

Manakala di Selangor, Menteri Besarnya, Mohamad Azmin Ali turut memberi jaminan bersedia untuk menjalinkan kerjasamna dan hubungan baik dengan BN demi kepentingan rakyat khususnya di negeri berkenaan.

Azmin dipetik sebagai berkata , beliau berpegang kepada prinsip iaitu wacana baharu perlu dibentuk bagi memastikan kepentingan rakyat terus terjamin dan terpelihara.

Mengulas lanjut, Syed Ali berharap walaupun permulaan kerjasama antara BN -PAS berkisar kepada kepentingan semasa ( bencaba banjir) ianya akan menjadi titik permulaan kepada hubungan politik yang lebih positif.

"Difahamkan lebih 30 tahun hubungan UMNO-PAS menjadi retak, kini saya melihat sudah sampai masanya keretakkan itu diperbaiki dan dijalin semula demi kepentingan rakyat," tegasnya.

Tambah beliau, kekuatan orang Melayu dan umat Islam di negara perlu dipelihara dan hanya menerusi wadah politik yang mampu mengekalkan status-quo orang Melayu.

Katanya, UMNO dan PAS perlu bersatu bagi mengukuhkan kuasa politik orang Melayu dan menjamin kesinambungan perjuangan dan kedudukan orang Melayu akan terus terpelihara.

"Banyak sudah iktibar yang kita boleh pelajari kesan daripada perpecahan orang Melayu, kita sudah melihat sebelum ini betapa orang Melayu dan agama Islam diperlekehkan," tegasnya.

Masalah itu berlaku kata beliau, akibat perpecahan dikalangan orang Melayu yang masing-masing cuba mempertahankan idealogi dan hak politik sehingga penguasaan itu menjadi semakin kecil.

"Mungkin bencana banjir yang melanda negara ketika ini menjadi titik permulaan untuk kita kembali bekerjasama dan seterusnya bersatu untuk membina kekuatan masa depan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan