Oleh
SYED ALI ALHABSHEE
SAYA mengambil kesempatan
ini untuk mengucapkan selamat tahun baru 2015 kepada seluruh warga UMNO
khususnya di Bahagian Cheras dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur amnya serta
mereka yang sering melayari portal berita www.umnobahagiancheras.blogspot.com.
Saya percaya dan yakin kedatangan
tahun baru 2015 akan disambut oleh setiap lapisan rakyat dengan menyematkan
berbagai azam dan tekad, yang lazimnya menjuruskan kepada usaha meningkatkan
taraf kehidupan masing-masing.
Insya Allah semoga sinar tahun 2015 akan menjanjikan harapan dan kehidupan yang lebih bahagia disamping kita
dianugerahkan oleh Allah S.W.T. dengan kehidupan lebih baik dan negara yang bertambah
makmur lagi aman damai.
Melangkah ke tahun baru,
pastinya kita akan menoleh ke belakang; merenung dan menyemak semula pelbagai
rencah peristiwa yang telah terakam sepanjang tahun 2014.
Banyak peristiwa suka duka
yang telah kita harungi sepanjang tahun lalu. Berbagai kisah menarik dan pahit
manis kita lalui yang telah menguji ketahanan diri dan minda kita, sama ada
ianya untuk kepentingan negara, bangsa, umat Islam dan diri kita sendiri.
Walau apa pun kenangan manis
dan pahit yang telah kita harungi sepanjang 360 hari yang lalu, saya percaya
bahawa kita menerima segala-galanya dengan hati terbuka dan menjadikannya
sebagai satu teladan dan kekuatan semangat untuk meneruskan perjuangan pada tahun-tahun
mendatang.
Selaku pemain politk, saya
melihat tahun 2014 menyaksikan betapa orang Melayu dan umat Islam menjadi
sasaran pihak yang berkepentingan dengan pelbagai serangan fitnah, tohmohan dan
celaan yang menyakitkan hati.
Pemimpin parti politik
pembangkang dan mereka yang tidak pernah menyenangi dasar pemerintah menjadikan agama, kaum, bahasa dan budaya serta ketuanan Melayu sebagai isu politik
untuk merobah kerajaan sedia ada, sebuah kerajaan demokrasi yang dipilih oleh
rakyat terbanyak menerusi proses pilihan raya.
Golongan ini menggunakan
kemudahan laman-laman sosial untuk membangkitkan sentimen perkauman, menyeru
kepada kejahatan supaya rakyat bangkit menentang kerajaan dan menyebar berita
palsu dan fitnah untuk memburuk-burukkan pemimpin negara khususnya Perdana
Menteri yang kita kasihi.
Pemimpin parti pembangkang
terutama yang mewakili etnik bukan Melayu berterusan melacarkan fitnah,
provokasi dan propaganda agar ketuanan Melayu dinyahkan daripada negara ini.
Sentimen perkauman dan
politik anti-Melayu inilah yang mereka
canangkan menerusi gerakan politik dan kesannya kita dapat lihat berdasarkan
kepada peratusan undi yang diperolehi oleh Barisan Nasional (BN) selaku
komponen parti pemerintah pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Inilah fenomena yang berlaku
dan merupakan realiti amat pahit untuk kita telan yang telah berlaku pada
tahun 2014. Pemimpin Melayu diperlekehkan di mana-mana termasuk kedudukan Islam
sebagai agama rasmi yang diperakui oleh Perlembagaan Persekutuan dipertikaikan
secara terbuka.
Realiti pahit itu adalah
sebahagian daripada peristiwa politik yang berlaku pada tahun 2014. Berdasarkan
itu, saya yakin orang Melayu akan bangkit dan pemimpin Melayu juga akan menjadikannya
sebagai satu pengajaran untuk mereka bangun dengan segala kekuatan untuk
mengharungi tahun 2015.
Selaku Ketua UMNO Bahagian
Cheras, saya sesungguhnya risau melihat percaturan politik membabitkan pemimpin
politik Melayu di mana ada segelintir mereka sanggup menjadi perkakas kepada pemimpin
politik bukan Melayu.
Saya amat berharap
pemimpin politik Melayu pada tahun 2015 akan kembali bersatu dengan satu
azam untuk menguatkan orang Melayu, umat
Islam dan mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat lagi
bermaruah.
Sehubungan itu, saya
menyeru kepada seluruh pemimpin politik Melayu supaya melupakan segala sengketa
lama dan kembali duduk semeja mencari alternatif terbaik demi kepentingan
bersama.
Masa sudah semakin suntuk
untuk kita masing-masing bertelagah sesama sendiri dan angkuh dengan idealogi
politik sempit. Kita perlu berubah dan menjadi satu bangsa yang kuat dan tidak
luntur asas perjuangannya.
Menjelang tahun 2015 ini,
marilah kita berpegang tangan dan sekata dalam apa jua tindakan bagi memastikan orang Melayu dan
umat Islam di negara ini tidak lagi diperlekehkan, tidak lagi dicemuh dan
dicela. Kita perlu bangun sebagai sebuah bangsa Melayu yang tidak akan luntur identiti
dan semangat perjuangan.
Kepada warga UMNO, sekali
lagi saya berharap kita semua akan berada di dalam satu saf yang besar untuk
membina ketahanan agar benteng umat Melayu tidak mudah dirobohkan oleh pihak
yang tidak bertanggungjawab.
Generasi muda Melayu perlu
kita dampingi dan naungi mereka dengan menerapkan falsafah perjuangan asal UMNO
kerana mereka adalah pewaris kepada kesinambungan perjuangan anak bangsa.
Saya amat berharap UMNO
akan terus kekal bersaing sebagai sebuah jemaah politik yang hebat, kuat, kekal
relevan dan berterusan menjadi payung berteduh untuk seluruh umat Melayu di
negara ini.
Sematkanlah sikap
bertanggungjawab untuk mempertahankan maruah Melayu kerana kita tidak rela
membiarkan generasi Melayu akan datang hanya sekadar menumpang di tanahairnya sendiri.
Akhir kata, semoga tahun
2015 akan menjadi tahun kebangkitan penuh gemilang bagi orang Melayu dan umat
Islam untuk mempertahankan hak mereka disamping mengukuhkan peradaban serta
maruah bangsa.
Selamat menyambut tahun
2015 dan salam perjuangan !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan