Halaman

Isnin, 22 Disember 2014

Syed Ali dakwa Lim Kit Siang 'sampah politik', tiupkan kebencian bukan Melayu terhadapTun. Dr. Mahathir.


ASAS politik DAP hanya  menyemarakkan sentimen perkauman secara berterusan mempertikaikan hak dan kepentingan Melayu untuk menagih sokongan masyarakat Cina, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Beliu berkata, pemimpin rasis DAP menjadikan sebahagian besar masyarakat Cina di negara ini sebagai bahan percaturan untuk menyisihkan kuasa politik orang Melayu.

"Mereka (DAP) tiupkan sentimen perkauman, mencetuskan rasa tidak hormat dan sikap kurang ajar bukan Melayu kepada ketuanan Melayu termasuk perlembagaan persekutuan dan kedudukan raja-raja Melayu," tegasnya.

Oleh sebab itu katanya, wujud satu kumpulan pelampau politik dan generasi muda Cina yang dilihat seperti tidak peduli terhadap semangat cintakan negara.

"Kita telah lihat bagaimana jalur gemilang mereka hina, raja-raja Melayu diperlekehkan dan Islam sebagai agama rasmi Malaysia dipersoalkan," ujarnya.

Malah katanya, DAP sehingga kini tetap mempertikaikan dasar pelajaran kebangsaan dan penguasaan bumipurtera dalam pelbagai bidang.

"Kita sudah boleh melihat apa sebenarnya cita-cita DAP, mereka mahu Melayu hancur dan orang Cina menguasai sepenuhnya negara ini," tegasnya.

DAP kata beliau, tidak akan 'senang duduk' selagi melihat kekebalan kuasa politik orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Justeru kata beliau, pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu terpaksa 'mengemis' untuk mendapat sokongan politik daripada golongan Cina merupakan peringatan untuk masa depan Melayu.

"Kita jangan tafsir selapis apa yang diluahkan oleh Tun Dr. Mahathir, ianya satu keluhan realiti daripada seorang negarawan yang mahu melihat bangsanya terus gagah di tanahair ini," kata beliau.

Tun Dr. Mahathir kata Syed Ali, melihat percaturan politik Melayu daripada perspektif pengekalan kuasa di masa depan dengan penuh rasa bimbang.

"Betul, Tun Dr. Mahathir kata Melayu terpaksa merayu sokongan daripada pengundi Cina, ini berlaku kerana pengundi Cina majoritinya tidak berterima kasih kepada kerajaan kerana terpedaya dengan hasutan politik rasis DAP," ujarnya.

Katanya, penurunan ketara tahap sokongan pengundi Cina terhadap kerajaan dapat dilihat pada keputusuan PRU yang lalu.

Tambah beliau, iktibar kenyataan bekas Presiden UMNO itu berupa  ingatan kepada pemimpin politik Melayu supaya bersatu untuk mempertahankan hak mereka.

Dalam hal ini, beliau menyelar veteran DAP, Lim Kit Siang yang mencabar Tun Dr. Mahathir berdebat berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri bahawa orang Melayu terpaksa merayu kepada bukan Melayu untuk kuasa politik.

Beliau menyifatkan cabaran Lim Kit Siang sebagai 'sampah politik' yang sengaja meniupkan kebencian bukan Melayu kepada pemimpin Melayu khususnya terhadap Tun. Dr. Mahathir.

"Apa halnya untuk berdebat, apa rasionalnya Lim Kit Siang mencabar Tun Dr. Mahathir kerana itulah hakikatntya bahawa kelompok Melayu telah berpecah," tegasnya.

Katanya, perkara itu tidak ada kena mengena dengan DAP kerana parti itu sendiri tidak memberi apa-apa sumbangan kepada pembangunan negara ini.

"Selama DAP wujud, apa sumbangan mereka kepada negara ini, kecuali berjaya memecahbelahkan masyarakat Cina, meniupkan sentimen politik perkauman, lakukan provokasi liar, mempertikaikan hak dan kedudukan orang Melayu," tegasnya.

Syed Ali berkata, DAP sepatutnya menghormati Tun Dr. Mahathir sebagai seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri Malaysia yang berjaya menjadikan masyarakat Cina seperti yang ada hari ini.

"Selama 22 tahun lebih Tun Dr. Mahathir jadi Perdana Menetri, apakah selama itu orang Cina telah disisihkan, tidak diberi peluang sebagaimana bumiputera lain," soal beliau.

Beliau seterusnya menasihatkan Lim Kit Siang agar tidak menjadi sampah politik yang semakin reput menunggu hari tua.

"Jangan cabar orang Melayu, tak perlu nak tipu orang Cina kononnya parti DAP berbilang kaum, " tegasnya sambil berkata UMNO, parti Melayu terbesar di negara ini tidak akan 'pejam mata' melihat kerakusan DAP.

Beliau mengecam keras kenyataan Lim Kit Siang yang menuduh Tun Dr. Mahathir menjadi pengaruh jahat dan tidak memahami polisi 1Malaysia.

"Ini semua provokasi jahat DAP supaya orangn Cina dan segelintir Melayu marahkan kepada Tun Dr. Mahathir," tegasnya.

Baru-baru ini Tun Dr. Mahathir berkata parti seperti UMNO, PKR dan PAS terpaksa “mengemis” untuk mendapatkan sokongan politik daripada golongan Cina.

“Sepatutnya, memandangkan orang Melayu membentuk 60 peratus daripada jumlah penduduk, kita sepatutnya memenangi pilihan raya.

“Namun disebabkan kita terpisah kepada tiga kumpulan, kita terpaksa menjadi pengemis, meminta pertolongan daripada kaum lain – terutama golongan Cina – untuk mendapatkan sokongan mereka

“Sama ada UMNO, PKR, PAS... mereka mengemis pada orang Cina, DAP untuk dapatkan sokongan. Dan memandangkan kita jadi pengemis, kita tidak lagi berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dalam satu seminar di Akademi Kenegaraan di Kuala Lumpur.

Berikutan kenyataan terbuka bekas Perdana Menetri itu telah menimbulkan reaksi kurang senang daripada Lim Kit Siang.

Menerusi sebuah portal berita, pemimpin veteran DAP itu mencabar Tun Dr. Mahathir berdebat berhububng isu tersebut.

Kit Siang berkata, beliau menantikan jawapan Tun Dr. Mahathir terhadap cabarannya itu kerana kenyataan beliau tidak selari dengan realiti hari ini.
Kit Siang dalam kenyataannya turut mengingatkan Tun Dr. Mahathir, sebagai mantan perdana menteri, beliau seharusnya memberikan pengaruh yang membina untuk kehidupan serta politik di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan