Halaman

Ahad, 9 November 2014

Syed Ali Kecam Kebiadapan Gerakan ‘Serang’ Dr Mahathir

KUALA LUMPUR : Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengecam kebiadapan parti Gerakan yang menyerang  bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat kritikan terhadap UMNO Selangor sepertimana dilaporkan The Malaysian Times (TMT) semalam.

Dalam laporan itu menyebut, Naib Presiden Gerakan, Datuk A. Kohilan Pillay berkata, ada juga ahli Barisan Nasional ( BN)  yang melihat komen Dr Mahathir berkenaan UMNO Selangor merupakan satu ancaman atau seolah-olah mahu memecahbelahkan BN.

Kata Syed Ali, UMNO mempunyai pendekatan tersendiri dalam menyelesaikan masalah dalamannya dan tidak perlu campurtangan Gerakan yang seharusnya memberikan tumpuan kepada usaha menarik sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) sudah terhakis sejak Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU 12) dan 13.

“Saya nasihatkan Gerakan agar melipatgandakan daya usaha mendekati pengundi Cina dan jangan cuba meraih populariti dengan membidas kenyataan Dr Mahathir berkenaan dengan UMNO Selangor. Sebagai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir merupakan seorang negarawan yang mempunyai pengalaman yang luas dan setiap teguran yang dilakukan oleh beliau kepada UMNO kerana perasaan kasih dan sayangnya terhadap parti ini,’’ katanya.

Tambahnya lagi, Gerakan tidak harus memandang serong komen yang diberikan oleh Dr Mahathir kepada UMNO Selangor yang disifatkan telus, membina dan umum. Beliau juga langsung tidak menyebut kelemahan Gerakan sehingga A. Kohilan Pillay melatah kenapa? Adakah kerana parti itu merasa pedasnya komen Dr Mahathir kerana turut menjadi penyumbang kepada kekalahan BN di Selangor dan Pulau Pinang dalam PRU 12 dan 13?

Kata Syed Ali, kritikan Dr Mahathir terhadap UMNO Selangor tiada kena mengena dalam kain Gerakan. Seharusnya Naib Presiden Gerakan A. Kohilan Pillay memberikan tumpuan dan usaha bagaimana mahu mengembalikan semula keyakinan dan kepercayaan masyarakat Cina yang semakin menjauh kepada Gerakan.

Menurutnya lagi, kegagalan BN mencapai kemenangan dua pertiga dalam PRU 12 dan 13 bukan disebabkan oleh UMNO sebaliknya salah satu faktornya kerana kegagalan parti komponen BN seperti Gerakan yang gagal meraih sokongan masyarakat Cina kepada BN.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan A. Kohilan Pillay yang menyebut UMNO Selangor boleh kuat semula sekiranya ‘mereka’ berkongsi kuasa dan bersatu padu antara satu sama lain yang  disifatkan oleh Syed Ali mengandungi makna yang tersirat.

“Saya tidak faham kenapa Naib Presiden Gerakan itu menyebut UMNO Selangor boleh kuat semula sekiranya mereka berkongsi kuasa? Padahal dasar perkongsian kuasa yang berjaya dipraktikkan selama ini oleh BN yang membuatkan rakyat pelbagai kaum di negara ini dapat hidup aman dan makmur sehingga ke hari ini. Gerakan kena fikir bahawa UMNO tidak pernah mempunyai perasaan tamak dari segi pengagihan kuasa dilakukan atas dasar kepentingan semua kaum.

“Saya berpendapat tidak perlulah A. Kohilan Pillay mengaitkan kelemahan BN dengan perkongsian kuasa kerana UMNO bukan sebuah parti yang bekerja syok sendiri atau hanya memperjuangkan kepentingan orang Melayu. Sebaliknya pimpinan UMNO sejak dulu lagi sudah berikrar bukan sahaja akan memperjuangkan kepentingan Melayu malah akan sentiasa menjaga kebajikan semua kaum di negara ini,’’  katanya.

Jelas Syed Ali lagi, pihaknya tidak nampak komen  Dr Mahathir boleh menjejas atau mengancam BN. Sebaliknya sikap pengundi Cina yang menjauhkan diri dari parti Gerakan selepas  PRU 12 dan PRU 13 sehingga kerajaan BN Pulau Pinang tumbang kepada DAP  dalam pilihan raya umum  2008  merupakan ancaman nombor satu kepada BN.

Menurut Syed Ali, seharusnya pemimpin parti-parti komponen BN  mengkagumi dasar pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak pernah bersikap pilih kasih dan mengabaikan kepentingan bukan Melayu di negara ini.

Kata Syed Ali, ada kalanya perhatian yang dinampakkan oleh Datuk Seri Najib kepada bukan Melayu berlimpah ruah sehingga kadang-kadang membuatkan segelintir orang Melayu  berjauh hati kepada Perdana Menteri. Begitu juga sebaliknya jika Perdana Menteri menunjukkan perhatian berlebihan kepada orang Melayu boleh membuatkan bukan Melayu juga mempunyai perasaan yang sama.

“Memang itulah payahnya seorang Perdana Menteri dalam memuaskan hati  rakyat pelbagai kaum yang mempunyai  berbagai ragam. Namun sepertimana kata A.Kohilan Pillay dalam TMT bahawa apa yang dilakukan oleh parti merupakan tindakan betul cuma kadang kala kita tidak berjaya memuaskan hati semua orang berlaku pada Datuk Seri Najib.

“Apa yang saya lihat sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sentiasa mahu berlaku adil dan mengamalkan dasar kebersamaan tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini. Cuma apa yang beliau harapkan semua pimpinan parti komponen BN melipatgandakan daya usaha mendekati sebarang keperluan dan isu pembelaan rakyat di bawah sana. Ini termasuklah usaha dilakukan Gerakan untuk menambah bilangan pengundi baru dalam berhadapan Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU 14),’’ katanya.

Justeru Syed Ali menasihatkan A. Kohilan Pillay agar jangan campurtangan isu dalaman UMNO termasuk membidas komen Dr Mahathir terhadap UMNO Selangor kerana pucuk pimpinan UMNO mempunyai kaedah terbaik dalam menyelesaikan segala permasalahan yang melibatkan parti dan negara khususnya.

4 ulasan:

  1. Ini pendapat saya..saya merasakn agar Tun M tidak perlu campur tangan dlm urusan BN UMNO dan pentadbiran DSN skrg ini..negara kita rosak skrg disbbkn oleh anak didik kesayangan Tun M sendiri yg benama Anwar Ibrahim..Tun M dahulu ttp degil dan keras hati apabila ramai org menasihati beliau jgn percaya kpd Anwar Ibrahim tetapi Tun M tidak mahu dgr nasihat tersebut..kini raja dan sultan melayu dihina dicaci pun disbbkn oleh Tun M kerana beliau telah menyekat kekebalan raja dan sultan melayu..agama islam juga dicabar dan kalimah Allah dipermainkn kerana yg memperjuangkan perkara ini adalah anak Tun M sendiri iaitu Marina Tun Mahathir..bangsa cina semakin naik tocang sbb pd zaman pemerintahan Tun M beliau sendiri tidak pernah nk menghapuskan sekolah jenis keb cina dan tamil mungkin Tun M takut pd bangsa cina..kemajuan yg Tun M buat kpd Malaysia mmg amat baik sekali tetapi Tun M tidak membuat kemajuan setiap negeri2 di Malaysia..kini bila DSN memerintah Tun M cuba mengganggu pentadbiran DSN dimana DSN cuba menaikkan dan memajukan negeri spt Iskandar ECER n NCER sarawak dan sabah..masa Tun M memerintah saya rasa DSN x pernah pun melawan dan beliau amat menghormati Tun M..adakah Tun M sedar siapa yg menyelamatkan keriar politik Tun M..bukankah Tun Razak yg menyelamatkan beliau..adakah melayu mudah lupa..kenapa dahulu Tun M x didik DSN sbg pengganti Tun M pd masa akan dtg..maka saya berharap agar Tun M x perlulah campur tangan dlm urusan pentadbiran BN UMNO dan DSN kerana campurtangan Tun M akan membuat Malaysia makin parah dan org cina dan india makin tepuk tangan sbb bekas PM kutuk pentadbiran PM skrg..sekali lagi kerana anak didik kesayangan Tun M yg bernama Anwar Ibrahim dan anak Tun M bernama Marina Tun Mahathir yang sekarang memporak-perandakan Malaysia..wassalam

    BalasPadam
  2. gerakan??? TAK GERAK TAK MAKAN..... PARTI MEREKA PUN TAK BOLEH CARI MAKAN DI P.PINANG ADA HATI NAK KATA PADA TUN? PUI...

    BalasPadam
  3. Pada pandangan peribadi sy,Syed Ali patut gantikan tempat Noh Omar dekat UMNO Selangor.

    BalasPadam
  4. Kohilan kena contohi Aziz Baling yang tak malu angkat beras, tetapi ada aura menarik 2000 ahli baru..

    Bukan sibuk mulut bunyi bising kerja tak jadi..Gerakan ialah parti yg pling tak Guna dalam BN..tiada sumbangan..tapi bising aj.

    BalasPadam