DATUK Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat teguran Tun
Dr. Mahathir Mohamad terhadap sesetengah pemimpin UMNO hanya berusaha memperkuatkan
kedudukan tetapi tidak memperkuatkan UMNO sebagai serius dan perlu diberikan
perhatian oleh pemimpin parti.
Ketua UMNO Bahagian Cheras
itu berkata, teguran bekas Perdana Menteri itu hendaklah dilihat secara positif
dan sewajarnya diberikan perhatian kearah penambahbaikan parti.
Beliau menegaskan, teguran
Tun Dr. Mahathir walaupun pada dasarnya dituju kepada pemimpin UMNO di sebuah
negeri tetapi apa yang tersirat ialah teguran itu ‘terkena’ kepada seluruh
warga UMNO.
Beliau turut bersetuju
dengan teguran Tun Dr. Mahathir bahawa ada di kalangan pemimpin UMNO tidak suka
menerima ahli baru yang berbakat kerana takut dicabar atau hilang jawatan atau
tidak dicalonkan sebagai calon pilihan raya.
Teguran dan peringatan
bekas Presiden UMNO itu amat serius dan perlu di ambilkira jika kita sayangkan
UMNO, tidak guna kita mengajak rakyat berubah tetapi pemimpin parti sendri takut untuk berubah,” tegasnya.
Tun Dr. Mahathir dalam
tulisan terbarunya baru-baru ini menegur sikap pemimpin UMNO yang tidak suka
menerima ahli baru yang berbakat kerana takut mereka dicabar dan tidak
dicalonkan sebagai calon pilihan raya.
Bekas Presiden UMNO itu
menyarankan pemimpin UMNO Selangor terima hakikat bahawa mereka kalah dalam PRU
ke-12 dan 13 dan memerlukan pembubaran dan penyusunan semula.
Tambah Syed Ali lagi, pemimpin
yang pentingkan kedudukan dan tidak memberi laluan kepada generasi muda hanya
akan merugikan parti apabila berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU).
“Pemimpin seperti ini sepatutnya
awal-awal lagi disingkirkan kerana amalan politik seperti itu hanya membawa
kesan tidak baik kepada UMNO”, tegasnya.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah
Persekutuan menegaskan, pemimpin datang dan pergi dalam parti merupakan
perkara biasa dan proses penggiliran kepimpinan akan tetap berlaku.
Katanya, jika seseorang
itu ikhlas terhadap UMNO, tanpa jawatan pun mereka boleh memberikan sumbangan dan
khidmat bakti kepada parti selagi terdaya.
“Oleh sebab itu, saya bersetuju
dengan Tun Dr. Mahathir, ini kerana apabila pemimpin takut dicabar dan takut
hilang jawatan, maka akan wujud budaya cantas-mencantas dalam parti,” katanya.
Lebih buruk lagi kata
beliau, akan ada kumpulan-kumpulan tertentu dalam parti dan berlaku perbuatan
sabotaj terhadap UMNO dan akhirnya UMNO tewas pada PRU.
Menurut beliau lagi, pemimpin
yang tamak dan enggan melepaskan jawatan walaupun sewajarnya berbuat demikian
akhirnya akan menimbulkan kebencian rakyat.
“Apabila rakyat terutama
pengundi di satu-satu kawasan sudah benci terhadap pemimpin UMNO, maka keputusan
PRU ternyata akan memihak kepada parti pembangkang,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau
menyarankan mana-mana pemimpin UMNO yang berasakan dirinya perlu berundur
perlulah mengambil iktibar daripada teguran Tun Dr. Mahathir demi kepentingan
dan kebaikan UMNO.
“Apabila kita berundur dan
memberi laluan kepada muka baru atau anak muda yang berbakat, ianya satu tindakan
yang akan dihormati demi kelansungan perjuangan parti,” tegasnya.
Menurut beliau lagi, majoriti
pengundi sekarang terdiri daripada golongan muda atau generasi Y dan
persekitaran politik sedemikian memerlukan pemimpin parti yang sesuasi dengan
perubahan tersebut.
“Ini bukan bermakna
menafikan sumbangan orang lama dalam parti, tetapi UMNO perlu berubah dan
diubah sejajar dengan perubahan, jika kita enggan berubah maka dikhuatiri akan memberi
kesan buruk kepada parti,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan