KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan Ahli Parlimen DAP Sibu, Oscar Ling Chai Yew cuba mencetuskan ketegangan agama apabila menyamakan sekolah agama dengan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).
Beliau menyifatkan perbuatan tersebut sebagai cuba 'menjolok sarang tebuan' dan mencabar kredibiliti dan kedudukan agama Islam di negara ini sepertimana yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliai megingatkan, cubaan untuk menggugat dan menyamakan kedudukan sekolah agama dengan SJK amat keterlaluan dan berunsur politik.
"Dia sengaja mencetuskan kemarahan penganut agama Islam dan perbuatan itu ternyata berniat jahat," tegasnya sambil mendakwa wakil rakyat berkenaan tidak sensitif terhadap kepelbagaian agama dan adat resam di negara ini.
Katanya, tuduhan tersebut dilihat sebagai satu hasutan secara halus supaya berlaku perbalahan antara kaum di negara ini.
"DAP sentiasa mencetuskan keresahan di kalangan masyarakat, ternyata parti itu bersifat rasis dan anti kepada kedudukan orang Melayu dan agama Islam di Malaysia.
Menurut beliau, tidak ada mana-mana pihak khususnya bukan Islam boleh mempertikaikan kedudukan dan peranan sekolah agama kerana penubuhan institusi berkenaan sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.
"Tindakan DAP mempersoalkan kedudukan dan peranan sekolah agama amat keterlaluan dan melanggar perlembagaan serta mencabar peranan raja-raja Melayu sebagai ketua agama," tegasnya.
Bagaimanapun jelas beliau, kerajaan tidak pernah mengabaikan kepentingan dan pembangunan SJK kerana mengambilkira rakyat negara ini yang berbilang agama dan kaum.
"Tindakan Ahli Parlimen DAP itu sengaja untuk mencetuskan kemarahan dan perbalahan antara penganut pelbagai agama dan ini sekaligus boleh meretakkan perpaduan kaum," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan mana-mana pemimpin politik pembangkang terutama DAP supaya tidak berterusan mencetuskan isu sensitif melibatkan kepentingan kaum dan agama.
"Dalam kes wakil rakyat DAP Sibu yang biadap ini, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana ia jelas berbau hasutan," ujarnya.
Beliau mengingatkan, DAP sentiasa sengaja mencabuli perlembagaan negara selagi mereka gagal melenyapkan kedudukan dan penguasaan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Syed Ali turut menafikan kewujudan sekolah agama sebagai punca perpecahan antara kaum sepertimana didakwa oleh pemimpin DAP.
Dakwaan tersebut kata beliau, langsung tidak berasas dan sengaja dibangkitkan bagi memenuhi agenda politik parti itu.
"DAP sebenarnya berniat jahat, tebal dengan semangat perkauman, mereka sentiasa mempersoalkan kredibiliti dan kedudukan orang Islam, malah turut mempertikaikan peranan raja-raja Melayu," tegasnya.
Katanya, punca berlakunya ketegangan dan perpecahan di kalangan masyarakat disebabkan oleh hasutan politik perkauman yang selama ini di lakukan oleh DAP.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan