Agenda Melayu perlu dijadikan
teras perbahasan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2014, tegas Datuk Seri Syed
Ali Alhabshee.
Ketua UMNO Bahagian Cheras
itu berkata, perjuangan politik orang Melayu masa kini berada di persimpangan cukup
getir dan mencabar.
UMNO katanya, berdepan
dengan fenomena kerisis keyakinan dan kepercayaan daripada pengundi melayu.
Beliau mendakwa, parti
pembangkang begitu aggresif menyogok pelbagai dakyah dan fitnah bagi mengelirukan
pengundi Melayu.
Pihak lawan kata beliau,
menggunakan pelbagai kaedah termasuk laman-laman sosial untuk melemahkan keyakinan
orang Melayu terhadap UMNO.
“Mereka cipta pelbagai isu
yang disensasikan supaya nampak seperti benar disamping provokasi secara
terancang,” katanya.
Di pihak UMNO, Syed Ali
mengaku jentera parti dilihat seperti lemah dan lambat menangkis dan menyerang
balas terjahan pembangkang.
“Kita kadangkala
membiarkan orang Melayu bermain dengan persoalan ya atau tidak, kita membiarkan
pengundi Melayu terperangkap dengan persepsi,” ujarnya.
“Situasi seperti itu tidak
sepatutnya berlaku, UMNO perlu lebih pantas dan tuntas menyanggah dan
menyalurkan maklumat jelas kepada rakyat.
Menurut beliau lagi, penurunan
tahap sokongan dan keyakinan pengundi Melayu terhadap UMNO dapat dikesan pada
PRU ke-12 dan 13 yang lalu.
“Keadaan menjadi bertambah
rumit apabila berlaku pertembungan persepsi menyebabkan tercetus keraguan
terhadap kewibawaan UMNO,” ujarnya.
Selain serangan
pembangkang, beliau berkata sikap pemimpin UMNO juga menjadi sebahagian daripada
penyebab keraguan tersebut.
Katanya, ingatan Presiden
UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya parti dan pemimpin berubah menjawab
kepada permasalahan tersebut.
“Kita kena berubah dan
diubah sejajar dengan peredaran masa, untuk UMNO menjadi kuat, ia memerlukan
kepada transformasi secara total,” tegasnya.
Tambah beliau, untuk
melakukan anjakan perubahan memerlukan pengorbanan dan keikhlasan ahli dan pemimpin
parti.
Sehubungan itu katanya,
menjadi tanggungjawab ahli dan pemimpin UMNO untuk menyemarakkan semula roh
perjuangan parti.
“Perhimpunan Agung UMNO tahun
ini merupakan perhimpunan terpenting untuk menyemak dan mengangkat semula
agenda Melayu,” tegasnya.
Syed Ali optimis para
perwakilan dan pembahas pada perhimpunan tersebut akan bersikap jujur terhadap perjuangan
parti.
“Saya yakin mereka akan
menyuarakan hasrat dan keluhan akar umbi dan saya juga percaya pemimpin di atas
akan mengambilkira pandangan tersebut.
Menurut beliau, perjuangan
UMNO menjadi terus releven sehingga kini kerana padunya sokongan diperingkat
akar umbi.
Justeru tambah beliau,
walaupun apa juga usul yang bakal dikemukakan tetapi agenda perjuangan Melayu
perlu dijadikan teras perbahasan.
Katanya, UMNO perlu
dipertahankan dengan kuasa yang ada bagi menjamin status-quo orang Melayu
terus kekal serta terbela.
“Jika perlu, kita sepatutnya
segarkan semula ungkapan bahawa Melayu itu UMNO dan UMNO itu Melayu,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan