Halaman

Selasa, 11 November 2014

Guan Eng hilang kredibiliti, perlu letak jawatan KM – Syed Ali


LIM Guan Eng sudah hilang kredibiliti sebagai Ketua Menteri Pulau Pinag dan sewajarnya meletakkan jawatan secara terhormat, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Menurutnya, ini berikutan usul daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP supaya jawatan Ketua Menteri dihadkan dua penggal bagi memberi peluang kepada pemimpin lebih berkebolehan.

“Jika Ketua Menteri cemerlang perkhidmatannya, tentu tidak ada usul mahu jawatan itu dihadkan, ini menunjukkan ada yang tidak kena dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang dibawah pimpinan Lim Guan Eng,” tegasnya.

Lagipun kata beliau, usul tersebut dikemukakan oleh wakil rakyat DAP bukannya dibawa oleh ADUN Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

Serentak itu, Syed Ali mahu Lim Guan Eng melepaskan jawatan Ketua Menteri secara terhormat bagi memenuhi kehendak pemimpin DAP yang mula meragui kepimpinan beliau.

“Apabila usul itu dikemukakan wakil rakyat DAP, bermakna pentadbiran Lim Guan Eng tidak cemerlang, gagal memuaskan hati rakyat hingga memerlukan kepada tempoh penggiliran jawatan ketua Menteri,” tegasnya.

Katanya lagi, Lim Guan Eng tidak boleh mendakwa usul tersebut sebagai konspirasi politik dilakukan oleh BN.

Usul tersebut katanya, telah dikemukakan oleh ADUN DAP Tanjong Bungah, The Yee Cheu, yang seperti memberi gambaran seolah-olah berlaku keretakkan dalam DAP Pulau Pinang.

“Ini juga memberi persepsi bahawa wakil rakyat DAP Pulau Pinang tidak sehaluan dengan Lim Guan Eng,” ujarnya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan BN/UMNO Wilayah Persekutuan

ADUN Tanjong Bungah itu mencadangkan penggiliran jawatan ketua Menteri dengan mengehadkannya kepada dua penggal.

The Yee Cheu berkata cadangan tersebut jika direalisasikan akan memberi peluang kepada pemimpin lain termasuk wanita untuk mentadbir Pulau Pinang.

“Ini satu cadangan yang baik dari sudut demokrasi dan berharap semua pihak dapat menyokong usul ini,” kata beliau pada sesi perbahasan persidangan DUN Pulau Pinang semalam.

Bagaimanapun usul berkenaan ternyata tidak disenangi dan mendapat tentangan keras oleh ADUN Air Hitam, Wong Hon Wai yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali menjelaskan DAP ternyata gagal membawa sebarang perubahan sejak menguasai Pulau Pinang.

Beliau berkata, pemimpin DAP hanya sibuk berpolitik dan berusaha untuk mengekalkan kedudukan sehingga mengetepikan kepentingan rakyat.

Mengulas mengenai hubungan DAP dan PAS, beliau berkata hubungan itu sekadar ‘atas angin’ hanya untuk kepentingan politik masing-masing.

“DAP dan PAS tidak pernah sehaluan, pakatan mereka bersifat sementara dan tidak menjanjikan sebarang manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan