Halaman

Khamis, 13 November 2014

Pengaruh golongan muda penting untuk masa depan UMNO - Syed Ali


KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pengaruh golongan muda dalam perkembangan politik tanah air semakin penting dan bakal mencorak masa depan negara.

"Mereka adalah aset penting untuk masa depan UMNO, pengaruh mereka akan mewarnai hala tuju perjuangan parti," ujar beliau.
 

Katanya, senario politik masa kini telah membangkitkan semangat golongan muda aktif berpolitik sama ada memihak kepada parti pemerintah atau bersekongkol dengan pembangkang.

"Pada pemerhatian saya, anak muda termasuk golongan profesional menyertai parti politik kerana sememangnya minat berpolitik dan ada yang menjadikan landasan untuk menyatakan protes terhadap kerajaan," tegasnya.

Bagaimanapun beliau melahirkan rasa bimbang apabila ada segelintir anak muda bertindak secara radikal dengan turut melibatkan diri dalam perhimpunan haram, rusuhan dan demontrasi politik jalanan.

"Mereka menjadi aggresif dan radikal kerana terpedaya dengan dakyah dan sogokkan fakta yang mengelirukan dilakukan pihak  yang memusuhi parti pemerintah, " tegasnya.

Beliau menyebut contoh insiden golongan mahasiswa turut terbabit dalam perhimpunan pro-pembangkang sehingga bertindak secara kekerasan.

"Kejadian di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini adalah contoh bagaimana anak muda diperalatkan oleh pihak pro-pembangkang hanya kerana ingin menyuarakan sokongan terhadap individu tertentu," katanya. 

Sehubungan itu kata beliau, UMNO sebagai parti tulang belakang kerajaan yang memerintah bertanggungjawab untuk mengambil pendekatan berhemah dan memahami aspirasi golongan muda.

Katanya lagi, langkah itu penting kerana keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 baru-baru ini jelas turut dipengaruhi oleh pengundi muda yang dilihat memihak kepada parti pembangkang.

"Kita sudah melihat pengaruh dan keberkesanan peranan golongan muda dalam menentukan masa depan negara, maka UMNO perlu melakukan sesuatu supaya mereka memahami corak dan kaedah perjuangan parti," tegasnya.

Untuk itu kata beliau, golongan muda perlu diberikan peluang dan ruang untuk 'bersuara' menerusi platform politik UMNO dengan tidak membataskan pengelibatan mereka.

Menurutya, golongan muda sekarang ini mewakili pelbagai latar belakang sama ada golongan profesional, berpendidikan tinggi dan agama.

"Mereka ini merupakan aset penting kepada masa depan negara, maka UMNO perlu mendekatai mereka dan memberikan mereka peluang untuk bersama parti," katanya.

Tambah Syed Ali lagi, penyertaan golongan muda bersama UMNO sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat  tidak perlu disekat kerana tindakan sedemikian akan 'membunuh' minat mereka.

"Apabila suara mereka disisihkan, pengelibatan mereka disekat kerana khuatir kehadiran mereka akan menggugat kedudukan pemimpin sedia ada, akhirnya golongan ini akan beralih  kepada pembangkang," tegasnya.

Katanya lagi, gerakan untuk mendekati golongan muda perlu dilakukan UMNO secara pro-aktif menerusi pelbagai cara termasuk penggunaan laman-laman sosial.

Justeru beliau menyarankan organisasi UMNO khususnya daripada Pergerakan Pemuda dan Puteri perlu lebih aggresif merencanakan pendekatan yang lebih berkesan memikat hati golongan muda.

"Golongan muda perlu didekati, mereka mahukan pengitirafan dan ruang untuk melontarkan idea dan pendapat," ujarnya.

Tambah beliau, suara golongan muda tidak boleh dipinggirkan kerana kuasa dan pengaruh mereka dalam politik mewakili jumlah penduduk yang yang bukan sedikit.

Berdasarkan perangkaan, sebanyak dua juta pengundi pada PRU ke-13 ialah mereka yang berumur antara 21 hingga 29 tahun dan tiga juta belia berumur antara 30- hinggga 39 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan