Najib,ketika berucap menutup Perhimpunan Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) di Kota Kinabalu, semalam (Ahad) menegaskan, pentingnya kedua-dua kaum itu termasuk kaum lain memiliki sikap ‘mutual respect’ atau saling hormat-menghormati antara satu sama lain berdasarkan kepada tunjang Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial.

Perdana Menteri turut menegaskan, Malaysia percaya kepada konsep kepelbagaian serta integrasi kaum dan bukannya asimilasi, khususnya kaum Cina yang diberikan hak mengamalkan budaya, identiti, sekolah dan bahasa ibunda mereka.

“Sebagai pulangannya, kita mahu mereka (kaum Cina) memahami kepada keperluan bersatu dalam negara ini. Seperti mana kita (orang Melayu) sensitif tentang kaum Cina, masyarakat Cina juga perlu sensitif terhadap orang Melayu, itu kita rujuk kepada mutual respect (hormat-menghormati).

“Apabila kita ada mutual respect, akan wujud negara yang aman dan harmoni. Kita mungkin tidak perlu kepada satu undang-undang (Akta Keharmonian Nasional), kita perlu hormat-menghormati antara satu sama lain. Tentu juga kita perlu kepada undang-undang, tetapi pentingnya atau amat penting kepada nilai-nilai keharmonian dalam masyarakat,” katanya.