Halaman

Jumaat, 14 November 2014

Isu pulangkan Bible; Syed Ali mahu Islam dihormati, henti pesongkan akidah umat


BUKAN Islam sewajarnya menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini dan tidak melakukan sebarang percubaan untuk memesongkan akidah penganutnya.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata sebarang percubaan termasuk menggunakan versi bahasa Melayu dalam sebarang bahan bercetak untuk mengembangkan ajaran bukan Islam akan mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

"Apabila bahan bacaan atau kitab bukan Islam sengaja menggunakan versi bahasa Melayu dan diedarkan secara terbuka, ia seperti sengaja dilakukan untuk memesong akidah umat Islam terutama golongan yang cetek dalam agama," tegasnya.

"Motifnya sudah jelas apabila digunakan versi bahasa Melayu, kita sudah boleh menjangka siapa sasaran sebenarnya, ini yang kita tentang dan mahu kerajaan bertindak.

Beliau mempersoalkan apakah niat sebenarnya menggunakan versi bahasa Melayu sedangkan sejak sekian lama bahawa orang Melayu itu majoritinya beragama Islam.

"Mengapa tidak diterjemahkan ke dalam bahasa lain selain daripada bahawa Melayu, ini membuktikan pihak tertentu mempunyai agenda untuk menyesat dan memurtadkan orang Islam," tegasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan melakukan pemantauan terhadap semua bahan bercetak yang memuatkan ajaran atau doktrin agama bukan Islam bagi memastikan tidak ada usaha secara halus untuk memesongkan akidah umat Islam.

Beliau berkata, pemimpin Islam khususnya UMNO memandang serius terhadap sebarang percubaan pihak tertentu yang cuba memesong akidah umat Melayu dan umat Islam khususnya golongan remaja.

"Hari ini kita berdepan dengan masalah murtad, ini isu besar yang kita sedang tangani. Oleh sebab itu kita tidak boleh berdiam diri jika ada mana-mana pihak atau pertubuhan yang sengaja menyebarkan dakyah dan doktrin agama selain kesucian agama Islam," tegasnya.

Bagaimanapun jelas beliau, Islam menghormati kebebasan beragama dan ini digunapakai dan diperakui oleh semua kaum di di negara ini berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan. 

"Penganut dan pertubuhan bukan Islam sepatutnya lebih menghormatinya kerana Islam adalah agama rasmi negara ini, tidak boleh diganggu-gugat, dicela atau diperlekehkan," ujarnya.

Sehubungan itu, Syed Ali berkata isu rampasan Bible versi bahawa Melayu yang turut terkandung kalimah "Allah"di Selangor yang diselesaikan secara baik hari ini adalah teladan yang perlu diberikan perhatian semua pihak khususnya penganut Krsitian.

Katanya, penyerahan semula 351  Bible versi bahasa Melayu yang dirampas setahun lalu oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS) hari ini membutikkan ajaran Islam sentiasa bertolak ansur dan mempraktikan  amalan kesederhanaan.

"Walaupun isu itu amat sensitif kepada penganut agama Islam, tetapi ternyata sikap tolak ansur dan menghormati agama lain, masalah itu akhirnya diselesaikan secara baik," katanya.

Penyerahan semula Bible versi bahawa Melayu yang dirampas itu kepada Pengerusi ACS, Datuk Bolly Lapok, turut disaksikan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, Mufti Negeri Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid dan Pengerusi JAIS, Ahmad Zaharin Mohd. Saad.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan bahawa naskhah Bible yang dipulangkan kepada Persatuan Gereja Sarawak hari ini tidak boleh diedarkan di negeri Selangor.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata ia merupakan syarat utama bagi pemulangan balik naskhah tersebut, yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia pada Januari lalu.

“Pemulangan kembali Bible mengandungi kalimah 'Allah' ini dibuat dengan syarat yang ketat bahawa Bible mengandungi kalimah 'Allah' tidak diedarkan di negeri Selangor,” kenyataannya dipetik.

Beliau juga menegaskan bahawa naskhah berkenaan hanya untuk kegunaan orang Kristian di Sarawak.

Mohd Adzib juga berkata, Sultan Selangor berharap agar cetakan Bible dengan kalimah “Allah” tidak lagi dijalankan di negeri itu.

Katanya, perbuatan tersebut merupakan kesalahan mengikut Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

“Baginda Sultan Selangor berharap agama lain juga menghormati dan memelihara sensitiviti agama orang Islam di negara ini, terutama di negeri Selangor,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan