Halaman

Selasa, 25 November 2014

Bahas usul secara berhemah &konsisten, tidak pujian melampau kepada pemimpin - Syed Ali


DATUK  Seri Syed Ali Alhabshee berharap perwakilan akan memanfaatkan sepenuhnya perhimpunan agung UMNO yang bermula hari ini untuk memperkasakan agenda perjuangan orang Melayu.

Beliau percaya perwakilan akan memberi tumpuan serius terhadap usul yang bakal dibahaskan terutama berkaitan ekonomi, pendidikan, keselamatan dan agama.

“Saya yakin perwakilan kali ini lebih bersemangat  terhadap usul yang menyentuh kedudukan dan masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini,” tegasnya.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menambah, agenda tersebut amat penting sebelum UMNO berdepan dengan PRU ke-14.

“Usul yang dibahaskan itu kelak akan menjadi momentum kepada UMNO bagi meraih kemenangan lebih bermakna pada pilihan raya tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu tegas beliau, para perwakilan termasuk pembahas disarankan mengupas isu yang diketengahkan dengan penuh berhemah dan konsisten.

Beliau mengingatkan, ungkapan berupa ‘puji-pujian melampau’ yang boleh ditafsirkan sebagai ‘mengipas’ pucuk pimpinan sewajarnya dielakkan.

“Harus diingat golongan akar umbi sudah muak dengan nada retorik dan membodek, mereka mahu pemimpin parti lebih telus, bertanggungjawab dan amanah kepada perjuangan,” tegasnya.

Lagipun jelas Syed Ali, UMNO sedang diperhatikan rakyat sejauhmana keupayaannya mendepani isu yang berhubungkait dengan kepentingan orang Melayu.

“Pada hemat saya, isu ekonomi, pendidikan, keselamatan dan agama antara isu penting yang akan diberikan perhatian oleh perwakilan,” tegasnya.

Beliau menyebut contoh isu keselamatan tidak lagi hanya  tertumpu kepada aspek konvensional malah turut berkait dengan perkembangan media baru yang dijana menerusi teknologi internet.

Bagaimanapun katanya, keselamatan dari segi konvensional tetap penting kepada negara tetapi serangan alam siber merupakan ancaman terbaru rakyat Malaysia.

“Secara konvensional kita berdepan dengan musuh yang boleh dikenalpasti samada di sempadan dan di laut, tetapi serangan siber jika tidak dibendung boleh meruntuhkan ketahanan generasi muda,” jelasnya.

Syed Ali berkata, kerajaan perlu bertindak lebih aggresif membenteras ancaman perperangan siber kerana sasarannya melangkau sempadan.

“Di sinilah perwakilan UMNO kena berani bersuara, mereka bertanggungjawab untuk mendesak kerajaan bertegas dalam hal ini dengan menguatkuasa sepenuhnya undang-undang sedia ada,” tegasnya,.

Isu agama juga menurutnya, perlu diberikan perhatian oleh perwakilan UMNO kerana mutakhir ini ianya bukan lagi sekadar tertumpu kepada penyebaran fahaman atau ajaran sesat.

Katanya, penyebaran ajaran sesat sudah berlaku sekian lama tetapi yang membimbangkan sekarang ini ialah serangan agama dilakukan pihak tertentu dengan bertopengkan fahaman  liberalisma.

“Berselindung disebalik pembaharuan agama, ada pihak cuba menerapkan budaya songsang seperti hubungan seks sejenis dan ayat-ayat al-quraan diterjemahkan secara putarbelit bertujuan merosakkan akidah umat Islam,” katanya.

Tambah beliau lagi, pembaharuan agama disebarkan menerusi laman-laman sosial secara berleluasa sehingga mencetuskan kekeliruan terutama membabitkan generasi muda.

“Gejala ini amat membimbangkan dan menjadi tugas perwakilan UMNO untuk membahaskannya dan mencari alternatif  membendung permasalahan tersebut,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali yakin amanat Presiden UMNO pada perhimpunan agung kali ini akan menjadi pemangkin kepada usaha memantapkan lagi perjuagan parti.


“Usaha merakyatkan UMNO perlu dilakukan secara berterusan dan kerana itu, saya percaya amanat Presiden akan menyentuh kelangsungan perjuangan orang Melayu dan umat Islam di negara ini menerusi wadah UMNO,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan