KUALA LUMPUR, 25 NOVEMBER : Parti UMNO merupakan satu-satunya parti yang selama ini mengiktiraf dan menghargai jasa serta peranan wanita di negara ini.
Kejayaan beberapa pemimpin Wanita UMNO menjadi menteri kabinet, timbalan menteri dan Ahli Dewan Negara (Senator) kerana kepercayaan pucuk pimpinan negara kepada kebolehan dan kemampuan wanita.
Sehubungan itu Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee menafikan dakwaan Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari dalam mStar Online semalam mengatakan parti lain termasuk pembangkang lebih mengiktiraf kaum hawa dalam bidang politik kalau melihat barisan kepimpinan tertingginya.
Tambah Syed Ali kenyataan Rosni Zahari adalah bohong dan jelas tidak berfakta. Kononnya cadangan pertambahan kerusi Naib Presiden UMNO mendapat sokongan 89 peratus atau 171 daripada 192 bahagian Wanita UMNO seluruh negara hanya datang dari anggota pergerakan itu semata-mata dan bukannya merupakan persetujuan sebulat suaran keseluruhan dari anggota parti terutamanya.
Antara lain Rosni berkata, “Sekarang ini jawatan Naib Presiden PKR pun turut diberikan kepada golongan wanita. MCA juga begitu. Malah jawatan Presiden PKR juga dipegang oleh wanita. Kenapa UMNO tak nak beri pengiktirafan kepada golongan wanita?”
Kata Syed Ali, pihaknya sentiasa bersikap terbuka jika terdapat mana-mana pemimpin Wanita UMNO terutamanya mahu menyandang apa-apa jawatan dalam parti termasuk Naib Presiden UMNO tetapi dengan syarat mereka bertanding dalam parti itu.
Ini adalah kerana parti UMNO sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan tidak menghalang mana-mana pihak yang mendapat mandat perwakilan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.
“Kalau Wanita UMNO mahu menjadi Naib Presiden UMNO maka mereka kena bertandinglah secara sihat. Kalau mereka mempunyai calon yang layak, berkebolehan serta mendapat kepercayaan seluruh anggota perwakilan maka tawarkan diri bersama-sama calon lelaki untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO atau naib ketua bahagian.
“Buat apa nak meminta-minta atau mohon pucuk pimpinan agar mempertimbangkan kerusi tambahan bagi jawatan Naib Presiden UMNO bakal ditandingi kalangan Wanita UMNO. Kalau minta kerusi tambahan ini bermakna parti terpaksa ‘menyediakan’ satu kerusi Naib Presiden UMNO yang khusus untuk wanita.
“Saya menafikan UMNO bersikap zalim dan tidak mengiktiraf wanita sebagai tulang belakang parti. Ya, buat masa sekarang buat julung-julung kalinya memang tiada pemimpin Wanita UMNO dilantik sebagai menteri penuh. Tapi anggota pergerakan kena tanya sendiri Ketua Pergerakan Wanita UMNO kenapa perkara ini berlaku?
“Kalau wanita mahu jawapan dari saya memang saya tidak mempunyai jawapan tersebut. Tetapi seharusnya Rosni Zahari bertanya sendiri dengan Ketua Wanita kenapa parti tidak melantik mana-mana pemimpin Wanita UMNO sebagai menteri? Mungkin perkara ini boleh dibahaskan semasa Perhimpunan Pergerakan Wanita UMNO nanti,” tegasnya.
Kata Syed Ali, jawatan Naib Presiden UMNO merupakan jawatan yang amat penting dalam organisasi parti. Dan Wanita UMNO tidak boleh menyamakan UMNO dengan MCA atau mana-mana parti pembangkang kerana parti UMNO mempunyai kaedah dan acuannya dalam menentukan barisan kepimpinannya.
“Bagi saya wanita tidak perlu merendahkan martabat pergerakan itu dengan meminta-minta jawatan Naib Presiden UMNO sehingga terpaksa menyindir sana dan menyindir sini. Wanita juga tidak harus memberikan tekanan kepada pucuk pimpinan parti kerana pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak pernah memperkecil atau merendahkan martabat wanita di negara ini.
“Tidak benar mengatakan UMNO tidak mengiktiraf wanita. Selama ini UMNOlah yang nampak serius dan tegas dalam memperjuangkan kepentingan wanita di negara ini. Kalau UMNO sendiri sifatnya memperjuangkan kepentingan rakyat semua kaum maka tiada sebab parti itu harus meminggirkan kaum hawa di negara ini.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Perhimpunan UMNO pada tahun lalu mengiktiraf wanita sebagai tulang belakang parti,” katanya.
Syed Ali turut menasihatkan Wanita UMNO agar jangan menyamakan UMNO dengan mana-mana parti lain dalam memperjuangkan kepentingan wanita di negara ini. Tegasnya, UMNOlah satu-satunya parti yang banyak memberikan ruang wanita sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen kalau mahu dibandingkan dengan PKR.
“Kini dalam PAS hanya mempunyai seorang Senator wanita berbanding Wanita UMNO. PKR langsung tak ada sejak parti itu ditubuhkan lagi. Masihkah lagi mengatakan UMNO tidak mengiktiraf kaum hawa?” soal Syed Ali.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan