Halaman

Rabu, 15 Oktober 2014

Polis Wajar Bertindak kempen 'Rakyat Hakim Negara' solidariti Untuk Anwar -Syed Ali



KUALA LUMPUR, 15 OKTOBER : Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee berkata, pihak polis wajar bertindak tegas kempen ‘Rakyat Hakim Negara
solidariti untuk Anwar yang bakal dianjurkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dijadual berlangsung di Istana Kehakiman, Putrajaya pada hari pendengaran rayuan kes fitnah 11 Anwar Ibrahim pada 28 sehingga 29 Oktober ini.

Apa yang difahamkan, kempen tersebut diadakan AMK khusus menuntut keadilan untuk Ketua Umum Keadilan, Anwar Ibrahim yang kononnya menjadi mangsa kerakusan kerajaan.

Kata Syed Ali, tidak wajar mana-mana pihak menganjurkan mana-mana kempen atau himpunan jalanan khusus menuntut keadilan kepada mana-mana pihak apatah lagi Anwar Ibrahim yang kini didakwa salah laku moral, liwat II.

Menurut Syed Ali, Anwar Ibrahim bukannya individu istimewa yang kebal pada undang-undang. Kalau benar beliau melakukan jenayah seks tersebut maka mahkamah mempunyai bidang kuasa menjatuhkan hukuman kepada pemimpin terbabit.

“Tindakan AMK menganjurkan kempen seumpama ini seolah-olah mempersenda badan kehakiman di negara ini perlu diambil tindakan sewajarnya. Bagi saya sistem undang-undang di negara ini adil dan saksama.

“Tiada mana-mana pihak yang boleh mempersoalkan integriti sistem kehakiman negara ini. Jadi semua pihak kena akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh mahkamah dalam kes rayuan fitnah II Anwar Ibrahim,” katanya.

Syed Ali turut menyelar mana-mana pihak termasuk AMK yang sanggup mempergunakan atau mempengaruhi rakyat supaya bersetuju dengan kempen menuntut keadilan untuk Anwar.

Pada saya tindakan AMK menganjurkan kempen seumpama ini adalah tidak lain bertujuan memberikan tekanan kepada mahkamah sebelum membuat keputusan kes rayuan liwat II Anwar.

Tegas Syed Ali, pihak berkuasa terutamanya polis kena memantau kempen ini dipercayai sudah bermula selama 14 hari dari tarikh perbicaraan tersebut. Acara kemuncaknya bakal berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 ini.

Menurut Syed Ali, penganjuran kempen seumpama ini membuktikan Anwar Ibrahim sudah muflis idea sehingga sanggup menjadikan AMK sebagai kuda tungganganya.

Syed Ali menasihatkan rakyat negara ini agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kempen-kempen yang boleh mengheret rakyat ke jalanan sepertimana kempen ‘Rakyat Hakim Negara’ bertujuan menuntut keadilan untuk Anwar tidak sepatutnya dilakukan ketika mahkamah dalam fasa membuat keputusan kes rayuan liwat II.

Beliau mahu pihak polis memantau kempen seumpama ini termasuk bakal dianjurkan oleh AMK 28 dan 29 Oktober ini.

“Saya melihat Anwar akan melakukan apa sahaja termasuk menghalalkan cara bagi membolehkan dia menjadi Perdana Menteri. Kini beliau mempergunakan AMK bagi memberikan tekanan dan mempengaruhi rakyat agar tidak menghormati sistem keadilan di negara ini.

“Saya harap sebelum rakyat terpengaruh dengan kempen AMK boleh mengheret rakyat ke jalanan ada baiknya pihak polis bertindak awal termasuk merampas risalah-risalah fitnah terhadap kerajaan dalam isu Akta Hasutan 1948, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kenaikan harga minyak yang akan diedarkan semasa kempen tersebut,” katanya.

Menurut Syed Ali, cukup-cukuplah Anwar bersama parti sekutu DAP dan PAS menghancurkan perpaduan Melayu dengan menerapkan politik kebencian kepada pemerintah dan budaya merusuh di jalanan.

Kata Syed Ali, Anwar dan parti sekutu Pakatan Rakyat terlalu sakit hati melihat kegigihan dan ketabahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membangunkan rakyat dan negara.

Kesungguhan dan keikhlasan Datuk Seri Najib Razak dalam membela kepentingan rakyat semua kaum amat menggusarkan Anwar. Dia bimbang cita-citanya mahu ke Putrajaya terkubur bila rakyat memberikan sokongan dan menyokong segala dasar transformasi Datuk Seri Najib dalam membangunkan rakyat dan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan