Halaman
▼
Khamis, 16 Oktober 2014
Jangan Berfikiran Kolot, Pertikai Permata Program 'Shortcut' -Syed Ali
KUALA LUMPUR, 16 OKTOBER : Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee menyifatkan pemimpin PKR yang mempertikaikan Program Permata Negara (PERMATA) sebagai program ‘shortcut’ untuk golongan berada sebagai berfikiran kolot dan tidak sedar betapa pentingnya nilai ilmu pengetahuan sekarang ini.
Katanya, dunia sedang berlumba-lumba melahirkan masyarakat berilmu di negara mereka. Malangnya di negara ini masih ada pemimpin PKR yang kolot pemikiran mereka sehingga mempertikaikan peruntukan PERMATA merupakan salah satu projek melahirkan insan terbilang dan pewaris di negara ini yang tinggi kesahsiahannya.
Menurut Syed Ali PERMATA yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor merupakan program yang pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa serta dikagumi pemimpin negara luar.
Sebagai contoh International Information Technology Universiti (IITU) menganugerahkan Profesor Kehormat kepada Datin Seri Rosmah Mansor atas pembabitan beliau secara berterusan bagi memperkasa wanita dan meningkatkan pembangunan kanak-kanak dan belia.
PERMATA juga berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila disenaraikan sebagai program pendidikan terbaik dalam Persidangan Pendidikan Global yang berlangsung di New Delhi, India.
PERMATA yang ditubuhkan pada 2007 merupakan program asuhan dan didikan awal bagi kanak-kanak berbakat dan berkebolehan bawah umur bawah lima tahun yang tinggal di luar bandar yang pendapatan keluarga di bawah RM1,500 sebulan berpeluang menikmati pendidikan awal yang berkualiti.
Ini ditegaskan oleh Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee yang membidas kenyataan Ahli Parlimen Ampang (PKR), Zuraida Kamaruddin semalam yang mendakwa PERMATA merupakan program ‘shortcut’ golongan kanak-kanak keluarga kaya dan berada.
Zuraida mencelah ucapan Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 di Parlimen semalam.
Syed Ali turut melahirkan rasa kesal sikap Ketua Wanita PKR tersebut yang disifatkan kolot kerana mendakwa PERMATA merupakan satu diskriminasi terhadap kanak-kanak dari keluarga miskin.
Menurut Syed Ali, seharusnya pemimpin PKR tidak mempolitikkan projek PERMATA yang disifatkan besar manfaatnya kepada kepentingan negara pada masa depan.
“Sebagai Ketua UMNO Bahagian Cheras saya berasa sedih kerana setiap tahun diumumkan bajet PERMATA maka orang ramai termasuk pemimpin PKR akan mengaitkannya dengan projek isteri Perdana Menteri.
“Sepatutnya kita berbangga mempunyai isteri Perdana Menteri yang cukup prihatin dengan pendidikan awal kanak-kanak. Setakat ini terdapat lebih 600 pusat PERMATA yang beroperasi di seluruh negara.
“Ini membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Datin Seri Rosmah dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan awal kanak-kanak di kawasan luar bandar.
“Saya masih ingat lagi semasa Datin Seri Rosmah Mansor merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Zakat Hari Raya Aidilfitri 2014, anjuran Yayasan Pendidikan Cheras di Pusat Rekreasi Cheras, beliau ada menyebut pasal tohmahan dan fitnah orang ramai termasuk pemimpin pembangkang mengaitkan peruntukan PERMATA dengan diri beliau.
“Dalam program itu beliau ada menjelaskan program PERMATA dinaungi beliau bukan untuk kepentingannya sebaliknya untuk anak-anak kita semua. Kata beliau, peruntukan PERMATA adalah untuk program pendidikan awal kanak-kanak dan bukannya diberikan kepada beliau.
“Saya berharap pihak pembangkang terutamanya harus rasional. Jangan sampai peringkat kita menabur fitnah dan memperkecilkan peranan PERMATA yang besar manfaatkan kepada kepentingan negara pada masa depan.
“Bagi saya ada banyak isu lain boleh kita ketengahkan tetapi jangan sampai menidakkan program yang mendatangkan kebaikan kepada anak-anak kita.
“Kalau pemimpin negara luar boleh mengiktiraf PERMATA sebaliknya pemimpin pembangkang mahu menanamkan rasa benci rakyat kepada isteri Perdana Menteri dengan tohmahan yang jelas tidak berasas berkenaan peruntukan PERMATA,” katanya.
Syed Ali turut menafikan wujudnya diskriminasi projek PERMATA untuk golongan kaya dan berada merupakan satu fitnah oleh pemimpin PKR. Jelasnya, program PERMATA dikhususkan kepada anak-anak bawah lima tahun yang tinggal di kawasan luar bandar menikmati pendidikan yang berkualiti dan mempunyai jati diri yang kuat pada masa depan.
Katanya, projek PERMATA khusus untuk semua rakyat tanpa membeza agama dan kaum, kaya atau miskin wajar mendapat pendidikan sempurma seperti bangsa-bangsa lain di dunia.
Sementara itu Syed Ali turut mengalu-alukan langkah Bahagian Program Permata Negara (PERMATA) Jabatan Perdana Menteri yang membuat laporan polis terhadap akhbar milik PKR, portal Keadilan Daily berkenaan satu artikel yang dikeluarkan pada Ahad lalu disifatkan tidak benar dan mengelirukan orang ramai.
Artikel berkenaan menyebut Naib Ketua Wanita PKR, Haniza Talha mendakwa, Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan wang berjumlah RM771 juta kepada PERMATA yang dinaungi oleh isterinya.
Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail pula mendakwa wujud kepentingan dalam pemberian bajet tersebut memandangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan merupakan suami kepada Rosmah.
Sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan ,Datuk Ahmad Maslan menyebut, jumlah peruntukan RM771 juta itu adalah angka keseluruhan peruntukan bagi pendidikan pra-sekolah.
Kata Ahmad Maslan, “PERMATA hanya berkongsi peruntukan berkenaan dengan Kementerian Pendidikan, Tadika Kemas dan Tadika Perpaduan.”
Mengulas perkara ini, Syed Ali menasihatkan pemimpin PKR agar melihat program PERMATA sebagai program memberikan manfaat kepada kepentingan rakyat.
Kenyataan kedua-dua pemimpin PKR itu jelas mengandungi fitnah yang dilakukan semata-mata untuk mengaibkan isteri Perdana Menteri turut menyumbang tenaga dalam usaha melahirkan pemimpin pelapis terbilang pada masa depan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan