Halaman

Rabu, 15 Oktober 2014

Rekrut Pelajar Militan, Pihak Polis Kena Ambil Tindakan Dalang -Syed Ali


KUALA LUMPUR, 15 OKTOBER : Sebarang usaha pihak terbabit yang menjadi dalang dalam merekrut pelajar sebagai anggota militan di negara timur tengah yang bergolak di Syria perlu diambil tindakan tegas.

Sehubungan itu pihak polis kena mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang menjadi penganjur atau terbabit memujuk pelajar dan orang awam menjadi militan di negara Syria.

Bercakap tentang perkara ini, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee tidak menolak kemungkinan wujud dalang tidak bertanggungjawab terbabit dalam usaha merekrut pelajar berkenaan sebagai militan.

Menurut Syed Ali kalau benar sepertimana dilaporkan kerja-kerja memujuk dan merekrut pelajar diaplikasi melalui Facebook maka Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kena menyekat tindakan kerana melanggar akta hakcipta 1987 dan kandungan laman download tersebut .

“Kerajaan mempunyai cukup instrumen dalam menangani isu militan ini saya anggap amat berbahaya dan perlu dicegah sebelum lebih ramai rakyat terpengaruh dengan kumpulan tidak bertanggungjawab ini.

“Jika benar pergerakan kumpulan ini menggunakan laman Facebook maka SKMM kena mengambil tindakan menghalang dan menyekat laman-laman sosial yang didakwa menggunakan potongan ayat-ayat suci AlQuran yang diambil separuh bagi menghalalkan perbuatan seumpama ini kena disekat.

“Saya percaya wujud pihak tertentu yang menjadi dalang dalam hal ini. Sehubungan itu, UMNO Bahagian Cheras mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas kepada pihak menjadi dalang ini,” katanya.

Baru-baru ini Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan usaha merekrut gadis Malaysia menyertai kumpulan militan di negara bergolak di Syria atas nama jihad.

Tiga kumpulan militan yang disertai oleh rakyat Malaysia di Syria iaitu Islamic State (IS), Jabhat Al Nusra dan Ajnad Al Sham. Kumpulan ini menyasarkan usia 15 dan 30 tahun memandangkan mereka mudah terpengaruh.

Setakat ini, sebanyak 22 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita dikesan berada di Syria menyertai kumpulan militan. Manakala 23 individu ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti ini.

Kata Syed Ali, rakyat negara ini tidak harus terbabit atau campurtangan dalam pergolakan negara luar termasuk alasan jihad dan sebagainya boleh memudaratkan nyawa. Mereka kena faham maksud dan alasan jihad dalam ertikata yang sebenar-benar dan tidak dengan memahami melalui sepotong ayat Al-Quran.

Pelajar sekolah terutamanya harus menumpukan perhatian kepada pelajaran serta tidak mudah terpengaruh dengan gesaan-gesaan menyertai kumpulan ektremis tertentu dengan alasan jihad dan seumpamanya.

Syed Ali turut melahirkan rasa kebimbangan, aktiviti militan ini menular di negara ini jika tidak dicegah di peringkat awal. Jika hari ini mereka sanggup berjihad di negara luar maka tidak mustahil jika tidak dicegah akan menular di negara ini.

“Saya melihat isu militan adalah isu serius yang tidak boleh didiamkan oleh pihak berkuasa. Pihak yang menjadi dalang kena diburu sehingga ke lubang cacing. Kita tidak mahu Malaysia menjadi markas sebarang aktiviti yang boleh mengancam keselamatan rakyat dan negara,” katanya.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan