Halaman
▼
Isnin, 8 September 2014
Jika benar PKR, DAP Tak Hormat Raja Berpelembagaan, PAS Wajar Keluar Pakatan- Syed Ali
KUALA LUMPUR, 8 SEPTEMBER: Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee memberi kata dua kepada PAS, sama ada keluar dari Pakatan Rakyat atau terus bersekongkol dengan dua parti iaitu PKR dan DAP yang sudah terbukti tidak menghormati Raja Berpelembagaan.
Kata Syed Ali, sebagai sebuah parti yang mempunyai prinsip dalam perjuangan seharusnya PAS berani membuat keputusan nekad keluar dari parti sekutu Pakatan Rakyat ternyata sudah tergelincir dari matlamat perjuangan sebenar parti itu.
Malah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa sesi dailog bersama ahli PAS di Rusila, Marang, Terengganu antara lain berkata, “Kita kena berpegang bahawa Pakatan Rakyat berpijak di atas asas-asas yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Yang pertama, mendukung demokrasi. Yang kedua, memegang konsep dan prinsip Islam agama Persekutuan. Yang ketiga ialah Raja Berpelembagaan. Bukan sahaja dilihat Islamnya, termasuk raja berpelembagaan.’’
Menurut Syed Ali, kalau benar kenyataan Hadi Awang bahawa PAS berpegang kepada tiga prinsip di atas maka inilah masa yang sesuai parti itu mengumumkan keluar dari Pakatan Rakyat yang secara jelas melanggar prinsip Raja Berpelembagaan dalam isu menyenaraikan lebih dua nama sebagai Menteri Besar (MB) Selangor.
Semasa sesi dialog itu juga, Hadi turut menempelak Wan Azizah tidak memenuhi kriteria sebagai seorang pemimpin. Tegasnya, Wan Azizah tidak mampu untuk mengendalikan pemerintahan Kerajaan Negeri Selangor memerlukan seorang yang kuat untuk menjaga negeri ini.
Antara lain Hadi berkata, “Dia nak lantik pemimpin ini banyak syarat-syarat dia. Antaranya pemimpin itu sendiri mesti ada kebolehan, kelayakan untuk jadi pemimpin.
“Kalau daripada awal lagi dia tidak ada kebolehan untuk jawab soalan di Parlimen, untuk soal di Parlimen, soal dalam sidang Dewan Undangan Negeri pun tak boleh, macam mana hendak jadi pemimpin? Bila tak lepas syarat bagaimana mahu menjadi pemimpin.”
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Hadi Awang secara jelas membuka mata semua pihak tindakan PKR dan DAP terutamanya mahukan Wan Azizah sebagai Menteri Besar (MB) Selangor kerana mahu menjadikan Presiden PKR itu sebagai ‘MB boneka’ yang remote controlnya dikawal oleh suaminya Anwar Ibrahim dan DAP yang sememangnya sudah mengetahui kelemahan dan kekurangan pasangan suami isteri ini.
“Kalau PAS benar-benar sebuah parti ada prinsip, ada maruah maka parti itu kena memuktamadkan keluar dari Pakatan Rakyat. Buat apa PAS buang masa bersekutu dengan dua parti yang jelas tidak menghormati Raja Berpelembagaan?
“Sepatutnya sejak krisis MB Perak lagi, PAS sudah membuat keputusan keluar dari Pakatan Rakyat. Selama ini pun DAP sudah menampakkan keangkuhan tidak mahu menerima hukum hudud (hukum Islam) dan sikap pemimpin tertentu PKR yang mengamalkan sikap bermuka-muka dalam hukum hudud.
“Bagi saya kalau Hadi Awang mempunyai kuasa dan budi bicara untuk mencadangkan nama calon MB Selangor daripada PAS tanpa merujuk kepada Jawatankuasa PAS Pusat maka pendirian yang sama harus dilakukan membawa PAS keluar dari Pakatan Rakyat demi kepentingan Melayu.
“Kalau PAS tidak keluar dari Pakatan Rakyat sudah tentu rakyat akan terus mempersoalkan pendirian parti itu yang terus bergabung dengan PKR, DAP jelas tidak menghormati Raja Berpelembagan dalam isu calon MB Selangor. Sudah tentu rakyat menjadi keliru dengan pendirian PAS yang tahu kelemahan PKR, DAP tetapi masih bersama dengan kedua-dua parti itu’’ kata sambil memuji tindakan Hadi Awang tidak tunduk kepada PKR dan DAP.
Menurut Syed Ali, sejak dulu lagi pihaknya sudah menjangkakan Pakatan Rakyat sebuah parti yang rapuh kerana hanya mahu memuaskan nafsu politik dan cita-cita besar Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Kini baharulah PAS tahu siapa PKR dan DAP yang sanggup menidakkan semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat semata-mata mahu mengejar kuasa.
Tindakan PKR dan DAP yang mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang mengosongkan kerusi bagi memberikan laluan kepada Wan Azizah bertanding di kerusi tersebut sudah jelas membelakangkan semangat pemuafakatan dalam Pakatan Rakyat seperti mana didakwa Hadi Awang.
Lalu soal Syed Ali, adakah PAS sanggup melanggar prinsip perjuangan dan imej parti itu apabila sudah ditipu bulat-bulat oleh PKR dan DAP dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang?
Terbukti PKR dan DAP langsung tidak menghormati, keputusan Majlis Syura Ulama dan keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos berkenaan calon MB Selangor.
“Adakah PAS rela sehidup semati dengan PKR, DAP yang jelas dan nyata cuba mengasingkan parti itu dalam membuat keputusan isu calon MB Selangor dan kepentingan Islam iaitu hukum hudud?
“Ternyata PKR dan DAP cuba ‘menindik’ hidung PAS dengan menerima calon MB yang dibuat oleh kedua-dua parti itu sekaligus mengingkari arahan Sultan Selangor yang mahukan Pakatan Rakyat mengemukakan lebih dua nama sebagai calon MB?
“Saya nak tanya di sini sampai bila PAS mahu mengyeskan segala tindakan PKR dan DAP yang kadang-kadang dilihat langsung tidak mempedulikan pendirian PAS.
“Kadang-kadang saya melihat PAS sebagai tunggul dalam Pakatan Rakyat sehingga tidak boleh bersuara dan membuat keputusan dalam parti itu.
“Seolah-olah parti itu terpaksa tunduk dengan segala arahan atau perancangan Anwar Ibrahim yang mencipta ‘Langkah Kajang’ dengan lain tujuan mahu meletakkan isterinya sebagai MB Selangor,’’ katanya.
Tegas Syed Ali, Wan Azizah sememangnya tidak layak menjadi MB Selangor kerana tidak mempunyai kewibawaan dan kelayakan yang sepatutnya sebagai pemimpin.
“Sudah tentu pemimpin yang lemah seperti Dr Wan Azizah tidak lebih hanya menjadi ‘MB suruhan’ Anwar dan DAP kalau berjaya menerajui negeri itu.
“Kalau benar PAS sebuah parti yang bermaruah dan mempunyai prinsip dalam perjuangan, maka parti itu kena meninggalkan PKR dan DAP yang jelas mencabul semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat,’’ katanya.
Tambah Syed Ali, inilah masa yang paling sesuai dua parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan PAS bergabung bagi menyatukan orang Islam dan Melayu di negara ini.
Katanya, perpaduan Melayu kian terancam oleh perbuatan dan tindakan sesetengah pemimpin tertentu Pakatan Rakyat tidak bertanggungjawab memainkan isu agama, kaum dan istana.
Hanya UMNO dan PAS mampu memartabatkan Islam dan Melayu di negara ini sambil memberikan keadilan kepada bukan Melayu di negara ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan