Halaman

Isnin, 8 September 2014

PKR, DAP Biadap, Derhaka dan Menghina Sultan Selangor -Syed Ali




KUALA LUMPUR, 8 SEPTEMBER : Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan, tindakan PKR dan DAP mengemukakan satu nama (Wan Azizah) kepada Sultan Selangor sebagai calon Menteri Besar (MB) sebagai biadap dan derhaka.

Kedua-dua parti ini seharusnya dihukum oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU 14) kerana mengingkari perintah baginda supaya PKR dan DAP mengemukakan lebih dua nama untuk dipertimbangkan sebagai MB Selangor.

Ini merupakan satu bentuk penghinaan PKR dan DAP yang jelas tidak menghormati Raja Berpelembagaan di negara ini. Tindakan kedua-dua parti ini boleh menjadi contoh kepada individu lainnya agar sewenang-wenangnya memainkan sentimen perkauman, agama dan tidak menghormati sistem beraja di negara ini.

Berikutan kedegilan dan keangkuhan PKR dan DAP itu, hari ini Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui titah yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulitnya, Datuk Mohamad Munir Bani bertitah,
Tindakan parti PKR dan DAP ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor.”

Sehubungan itu, menurut Mohamad Munir Bani barkata,
Memandangkan kuasa melantik MB Selangor terletak kepada budi bicara Sultan Selangor, maka baginda akan meneliti nama-nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain daripada Pakatan Rakyat yang berkelayakan dan pada fikiran Sultan Selangor mendapat kepercayaan majoriti ADUN.”



Tegas Syed Ali, sepatutnya PKR dan DAP tidak mengundang dukacita Sultan Selangor yang sudah mengarahkan kedua-dua parti itu menyenaraikan lebih dua nama sebagai calon MB bagi memudahkan baginda membuat pilihan mana-mana calon yang layak bersandarkan pengalaman, mempunyai integriti, kewibawaan, rekod kepimpinan yang bersih, mendapat sokongan majoriti ADUN dan paling penting bukannya ‘MB Boneka’.

“Apa yang saya lihat tindakan PKR dan DAP mengemukakan hanya satu nama calon MB iaitu Wan Azizah membuktikan kedua-dua parti itu cuba bersikap angkuh dan mahukan istana tunduk kepada kehendak mereka tanpa mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat Selangor.


“Saya berpendapat Sultan Selangor berhak dan mempunyai wibawa untuk melantik mana-mana ADUN yang lain dalam Pakatan Rakyat sebagai MB Selangor. Ini bagi memberikan pengajaran kepada PKR dan DAP agar jangan bersikap biadap dan derhaka kepada Sultan.

“Negeri Selangor tidak perlu ‘pemain import’ yang bakal mengkucar kacirkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Kestabilan politik yang harmoni di negeri Selangor akan menjadi bercelaru kalau ‘MB Boneka’ dilantik di negeri itu. Secara tidak langsung Anwar akan menggunakan kuku untuk meluaskan pengaruh politik Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Menurut Syed Ali, rata-rata rakyat semakin jijik dengan ‘permainan politik’ PKR dan DAP yang sanggup membelakangkan arahan Sultan Selangor dan tunduk kepada Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang mahu meletakkan kroni sebagai MB dan melunaskan cita-cita besar beliau mahu menjadi Perdana Menteri.

Syed Ali menasihatkan Anwar agar memberikan tumpuan kepada isu mahkamahnya (kes liwat 11) dari mencampuri urusan melantik MB Selangor yang terletak kepada budi bicara Sultan.

“Bagi saya Sultan Selangor berhak menolak nama yang disenaraikan oleh PKR dan DAP sebagai MB. Kedua-dua parti ini memang tidak layak menjadi kerajaan di negeri Selangor kerana derhaka dengan perintah Sultan Selangor,” katanya.

Walau bagaimanapun menurut Syed Ali, pelantikan MB perlu dilihat daripada sudut undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor sama ada membolehkan ADUN yang bukan rakyat Selangor dilantik menyandang jawatan tersebut.

Beliau sekali lagi menegaskan pendirian, lakonan Anwar untuk ‘merampas’ kerusi MB Selangor untuk diberikan kepada isterinya, Wan Azizah sebagai satu tindakan tidak bertamadun yang cuba mencabar institusi DiRaja.

“Perbuatan Anwar jelas mencaburi prinsip demokrasi dan merupakan satu tindakan tidak bertamadun cuba menafikan peranan Sultan Selangor,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan