Halaman

Jumaat, 18 Julai 2014

Pesawat MH17 terhempas; insiden menyayat hati, amat tragis - Syed Ali


UMNO Bahagian Cheras merakamkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi pesawat MAS, MH17 yang terhempas di Timur Ukraine, semalam.

Ketuanya, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang terkejut dengan berita tersebut menyifatkan insiden itu sebagai amat tragis, menyayat hati dan amat malang kepada keluarga mangsa.

"Ianya satu tragedi menyedihkan kepada negara kita, amat tragis dan memilukan seluruh rakyat negara ini," katanya.

Beliau berkata, penyiasatan di peringkat antarabangsa perlu dilakukan segera bagi mencari punca sebenar kejadian samada pesawat berkenaan ditembak atau sebaliknya.

Jika benar ditembak katanya, pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.

"Jika benar MH17 ditembak, ianya satu perbuatan terkutuk, tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh dimaafkan" katanya.

Syed Ali melahirkan rasa kecewa kerana konflik Ukraine dengan Rusia telah menyebabkan orang awam menjadi korban.

Beliau berharap keluarga mangsa yang terbabit dalam  tragedi malang itu supaya bersabar.

"Ianya satu tragedi amat menyedihkan dan kita berserah kepada Allah SWT," ujarnya.

Sementara itu, agensi berita BERNAMA hari ini melaporkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon menggesa penyiasatan penuh dilakukan terhadap tragedi tersebut.

Ban Ki-Moon dipetik sebagai berkata terdapat keperluan bagi penyiasatan penuh dan telus di peringkat antarabangsa.

Pesawat MAS, MH17 membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Pihak berkuasa Ukraine percaya Boeing 777 itu telah ditembak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan