Halaman

Jumaat, 20 Jun 2014

TPM letak jawatan : Jangan mudah percaya khabar angin - Syed Ali


RAKYAT tidak seharusnya mudah percaya khabar-khabar angin yang disebar menerusi laman sosial kononnya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshe.

Beliau menyifatkan berita khabar angin itu sebagai tidak berasas dan usaha pihak tertentu melaga-lagakan hubungan baik Muhyiddin dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mungkin ada pihak cuba mengeruhkan keadaan supaya timbul keresahan di kalangan ahli-ahli parti," ujarnya.

Ahli-ahli UMNO kata beliau, perlu meneliti kesahihan laporan tersebut dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan imej parti.

"Kita tidak tahu siapa yang memulakan penyebaran khabar angin menerusi laman-laman sosial, penyebaran itu tidak benar," tegasnya.

Muhyiddin bagaimanapun telah membuat penafian berhubung khabar angin beliau akan meletakkan jawatan.

Tambah Syed Ali lagi, Najib yang juga Presiden UMNO tidak akan melakukan tindakan yang boleh menjejaskan pentadbirannya.

"Saya berkeyakinan penuh Muhyiddin tetap menghormati Najib selaku Perdana Menteri dan kedua mereka tidak ada masalah," katanya.

Beliau mendakwa kemungkinan ada pihak tertentu sengaja mencetuskan isu Muhyiddin berundur ekoran desas-desus akan berlaku rombakan kabinet dalam masa terdekat.

Katanya, spekulasi dan khabar angin itu juga dilihat sengaja dilakukan untuk menjejaskan reputasi UMNO sebagai tonggak kuasa kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, beliau mahu ahli-ahli UMNO supaya tidak mudah percaya dengan  khabar angin tersebut.

"Jangan terpedaya sehingga boleh menjejaskan perpaduan ahli parti," tegasnya.

Mengenai rombakan kabinet yang didakwa banyak pihak akan dilakukan Najib hari ini (Jumaat), Syed Ali berkata apa juga keputusan terletak di tangan Perdana Menteri.

"Tidak perlu kita buat ramalan  tidak berasas,  wakil MCA atau Gerakan mungkin ada sepertimana pernah dikatakan Najib," ujarnya lagi.

Syed Ali turut menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa Datuk Seri Nazri Aziz akan menggantikan Datuk Seri  Dr Ahamd Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri (KDN).

"Ada portal berita kata Zahid akan ditukarkan kementerian, itu cuma ramalan dan sesiapa sahaja boleh berbuat demikian," katanya.

Lagipun katanya, pertukaran potfolio menteri kabinet merupakan amalan biasa.

"Yang penting barisan kabinet itu akan membantu dan melicinkan lagi pentadbiran Najib," ujarnya.

Bagaimanapun menurut beliau, terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukan barisan jemaah menteri dalam kabinet beliau.

Mengulas saranan tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin supaya Najib 'berundur' daripada Menteri Kewangan, beliau menjelaskan Perdana Menteri tahu apa yang hendak dilakukan.

"Kita hargai saranan tokoh wartawan itu, tetapi tdak semestinya pandangan beliau perlu digunapakai.

Syed Ali juga melahirkan rasa kesal kerana Kadir dalam beberapa tulisannya sebelum ini banyak mengkritik dan mengecam kepimpinan Najib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan