UMNO Bahagian Cheras menyambut baik cadangan Barisan Nasional (BN) mewujudkan unit tentera siber, Blue Wave Army (BWA) bagi mengekang serangan fitnah dan tohmahan jahat Red Bean Army (RBA).
Ketuanya, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, cadangan tersebut kena pada masanya ketika pembangkang semakin ganas melancarkan serangan fitnah terhadap BN dan UMNO.
"Cadangan menubuhkan BWA amat baik, selain mengekang ancaman fitnah RBA, ia juga mampu melumpuhkan penularan fitnah pembangkang menerusi laman-laman sosial," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, unit itu sepatutnya sudah lama diwujudkan terutama ketika berdepan dengan ancaman pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Tanmbah Syed Ali, cadangan BWA itu dilihat sebagai senjata berkesan untuk menangkis serangan pembangkang termasuk RBA.
Katanya, media sosial telah digunapakai oleh pembangkang sejak tahun 2010 untuk menyerang BN dan ketara berlaku pada PRU ke-12.
"Pada PRU ke-12, keputusan kemenangan BN begitu merosot, ini membuktikan peranan perang siber amat penting," tegasnya.
Bagi menjayakan penubuhan BWA, beliau mencadangkan setiap bahagian UMNO dan komponen BN memupunyai laman blognya tersendiri.
"Kita ada lebih 190 bahagian UMNO, jika setiap bahagian memiliki laman blognya sendiri, maka saya yakin ia mampu memberi sumbangan besar kepada BWA," ujarnya.
Dengan jumlah itu kata beliau, ia berkemampuan untuk menyekat dan menangkis apa jua bentuk serangan propaganda, provokasi dan fitnah pembangkang.
Tambah beliau, penubuhan BWA sewajarnya diperluaskan ke peringkat bahagian dan negeri dengan diselaraskan di peringkat nasional.
"Kita harus serius dalam hal ini kerana penyebaran maklumat menerusi teknologi maklumat seperti laman-laman sosial begitu pantas.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan bahawa BN bercadang mewujudkan unit tentera siber, BWA dalam usaha melawan fitnah dan tohmahan jahat RBA.
Menurut beliau, unit tentera siber itu akan menggalas peranan penting dalam mengemukakan fakta sahih dan penjelasan terbaik kepada masyarakat bagi menjawab serta mematahkan sebarang hasutan RBA di ruang siber.
Jelasnya, konsep itu sememangnya telah lama wujud dalam
rangkaian-rangkaian media sosial BN dan peluasan peranan BWA itu diserahkan
tanggungjawabnya kepada Jabatan Unit Sosial parti yang diketuai Datuk Seri
Ahmad Shabery Cheek.
"Namun begitu, kita jangan terikut-ikut cara mereka (RBA)
memfitnah, kita ceritakan kebenaran. Jika RBA menyerang kita, kena jawab semua itu dan
jangan biarkan serangan tidak berjawab.
"Yang penting, kita jangan menipu, mengelirukan dan
memfitnah (seperti RBA)," kata Ahmad kepada pemberita pada Konvensyen UMNO
Bahagian Cheras, pagi semalam.
Menguas lanjut, Syed Ali berkata blog UMNO harus berani menyerang balas serangan pembangkang dan memberi penjelasan yang betul kepada rakyat.
Sebagai contohnya kata beliau, kehilangan pesawat MAS MH370 telah dimanipulasikan oleh pembangkang untuk agenda politik mereka.
"Mereka putar belitkan fakta dengan memberi persepsi negatif seolah-olah kerajaan menyembunyikan cerita sebenar.
Beliau juga mengingatkan pengendali blog UMNO dan BN supaya jangan takut untuk meyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan