Halaman

Rabu, 16 April 2014

Hudud : Jika bermaruah, PAS perlu tinggalkan DAP, PKR - Syed Ali


JIKA Pas berpegang kepada prisip perjuangan Islam, sepatutnya parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) kerana sekutunya, DAP dan PKR menentang keras cadangan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshe, tindakan DAP dan PKR menentang cadangan tersebut membuktikan mereka tidak menghormati asas perjuangan Pas.

Beliau turut menyelar Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdiam diri ekoran penentangan parti itu terhadap cadangan tersebut.

"Tindakan Lim Kit Siang menentang keras cadangan tersebut memang sudah diduga sebab penasihat DAP itu bukannya beragama Islam," tegasnya.

Sebaliknya kata beliau, Anwar yang selama ini banyak 'berkhutbah' sepatutnya menyatakan pendirian secara terbuka menyokong cadangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud.

Tambahnya, ini membuktikan Anwar tidak ikhlas terhadap perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.

"Jelas Pas bukan parti yang dihormati oleh DAP dan PKR walaupun bersekongkol dalam PR," ujarnya.

Kata Syed Ali lagi, selama ini PAS sanggup bersubahat dengan agenda politik rasis DAP dan PKR, sekarang masanya amat sesuai untuk parti itu keluar daripada PR.

"Jalan terbaik bagi PAS ialah tinggalkan DAP dan PKR jika parti itu (Pas) mempunyai maruah," tegasnya.

Katanya lagi, jika benar asas perjuangan Pas berasaskan Islam maka tidak sewajarnya tunduk kepada tekanan.

Sehubungan itu beliau berkata, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang perlu membuktikan kepada rakyat khususnya di Kelantan bahawa parti Pas tegas untuk melaksankana hukum hudud.

"Kita harap Presiden Pas tidak bermain politik apabila cadangan tersebut ditentang keras oleh DAP dan PKR," tegasnya.

Syed Ali menyatakan demikian dalam reaksinya terhadap kenyataan Haji Hadi bahawa Pas tidak akan mempedulikan bantahan sekutunya, PKR dan DAP sebaliknya akan tetap mengemukakan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.

Malah Haji Hadi secara tegas menyatakan, tiada sebarang perjanjian dalam pakatan pembangkang yang boleh menghalang Pas daripada berbuat demikian.

Oleh itu tegas beliau terpulang kepada PKR dan DAP untuk membantah kerana itu tidak akan menggugat pendirian Pas yang konsisten untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Bercakap kepada pemberita ketika sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini hari semalam, Haji Hadi juga menarik perhatian langkah bagi melaksanakan hudud yang diperjuangkan Pas sudah bermula sebelum kewujudan pakatan pembangkang lagi.

Yang pertama, kita sokong kerajaan Kelantan (untuk laksanakan hukum Hudud). Kedua, isu hudud di Kelantan telah mendahului Pakatan Rakyat (pakatan pembangkang) sejak awal 1990-an lagi.

(Masa itu) tak ada lagi pakatan pembangkang. Ini benda (hukum hudud) yang terlebih awal daripada pakatan pembangkang. Dengan sebab itu kita tak ada masalah untuk kemukakan (rang undang-undang persendirian bagi laksanakan hudud)," katanya.

Haji Hadi mengulas penentangan keras yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP berhubung hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, parti itu akan mematuhi perjanjian yang dimeterai dalam Majlis Pimpinan Pakatan pada 2011 yang antara lain tidak akan melaksanakan hudud demi menghormati penentangan konsisten oleh DAP.

DAP pula menegaskan, kesemua 38 ahli Parlimen parti itu telah menyatakan secara terbuka bahawa mereka tidak akan menyokong sebarang usul rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat Jun ini.

Sebelum itu, Timbalan Menetri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim seperti dilaporkan Bernama menjelaskan, Pas perlu mendapatkan sokongan 40 anggota Parlimen bukan Islam termasuk DAP dan PKR agar persetujuan dua pertiga di Dewan Rakyat diperolehi bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Bercakap di Muar, beliau berkata, 30 anggota Parlimen PAS dan 79 (UMNO) ketika ini masih belum cukup kerana untuk mendapatkan majoriti dua pertiga memerlukan 148 undi.

Kerajaan PAS Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah(2) 1993 selewat-lewatnya Disember depan,.

Keputusan Kerajaan Kelantan itu merupakan susulan kesediaan Kerajaan Persekutuanh yang memberi laluan kepada mana-mana negeri bagi menguatkuasakan hukum hudud di negeri masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan