
TIADA jaminan bahawa orang Melayu akan terbela masa depan mereka jika bernaung di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Ini tegas beliau, berikutan pengakuan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bahawa parti tersebut bukan ekslusif untuk kaum Melayu.
Azmin juga kata beliau, memberitahu kepada umum bahawa Keadilan (PKR) bukan parti Melayu.
Berikutan itu katanya, orang Melayu yang masih lagi setia bersama PKR akan terus terpinggir apabila majoriti pucuk pimpinanya dikuasai bukan Melayu.
"Akhirnya PKR akan menjadi sebuah parti mirip DAP, kepentingan orang Melayu akan terus ditenggelamkan dan mereka tidak mempunyai hak untuk bersuara," ujarnya.
Tambah Syed Ali lagi, penegasan Azmin itu membuktikan bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memperalatkan orang Melayu untuk kepentingan agenda politik beliau.
Selama ini katanya, orang Melayu hanya dijadikan alat oleh Anwar dan konco-konconya bagi menjayakan politik reformasi dan demontrasi jalanan.
Sebaliknya tegas beliau, perjuangan politik UMNO jauh bezanya dengan PKR, parti politik jalanan yang mengumpul kekuatan dengan cara menghasut rakyat.
Katanya, perjuangan dan masa depan orang Melayu menjadi agenda utama UMNO disamping tetap menghormati hak kaum lain menerusi gagasan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, sejarah telah membuktikan bahawa UMNO telah berjaya meletakkan orang Melayu sebagai satu bangsa yang mempunyai hak dan keistimewaan di negara ini.
"Dengan pengakuan Azmin itu, saya berharap segelintir orang Melayu yang masih lagi bernaung di bawah PKR supaya segera keluar daripada parti itu," katanya.
Azmin ketika melancarkan kempen Keadilan Raya bagi mempertahankan jawatannya selaku timbalan presiden parti di Dewan MBPJ, Petaling Jaya malam tadi (Rabu) menjelaskan PKR bukan parti Melayu tetapi untuk seluruh anak Malaysia.
Beliau bakal berdepan dengan saingan sengit dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.
Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak menjelaskan demikian bagi menepis dakwaan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa PKR merupakan parti berteraskan Melayu.
Azmin yang mempertahankan jawatannya dicabar oleh Saifuddin, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan ahli PKR cawangan Hulu Selangor, Datuk K. Ramachandran.
Dalam ucapannya malam tadi, Azmin turut mempertahankan kepimpinan Anwar dan menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang itu.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata pengakuan Azmin itu juga membutikan PKR tidak mempunyai hala tuju perjuangan politik.
"Parti itu tidak pernah konsisten untuk membela rakyat, hanya untuk mengekalkan kuasa politik Anwar," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kesediaan Anwar mencabar kedudukan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail bagi jawatan Presiden PKR sekadar gimik dan sandiwara politik.
"Ini semua tak masuk akal, suami beria-ia nak lawan isteri bagi jawatan dalam parti," ujarnya sambil menyifatkan sesiapa yang menerajui parti itu tidak memberi kesan kepada UMNO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan