Halaman

Isnin, 17 Februari 2014

PRK DUN Kajang : bukan gelanggang untuk agenda peribadi - Syed Ali


PILIHAN Raya Kecil Dewan Undangan Negeri  (DUN) Kajang 23 Mac ini bukan gelanggang untuk mana-mana pihak bertanding kerana agenda peribadi, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Sri Syed Ali Alhabshee.

"Sesiapa pun boleh bertanding jika berasakan layak, tetapi soalnya untuk apa ? apakah kerana agenda peribadi atau untuk memikul amanah serta tanggungjawab pengundi," tegasnya.

Sebaliknya jelas beliau, PRK DUN Kajang merupakan kesinambangungan kepada tanggungjawab terhadap pengundi yang telah dikhinati oleh wakil rakyat pembangkang yang meletakkan jawatan tanpa sebab munasabah.

"Apabila mandat pengundi DUN Kajang telah dikhianati oleh wakil rakyatnya, maka mahu tidak mahu wakil rakyat baru perlu dipilih semula menerusi  proses Pilihan Raya Kecil bagi meneruskan pembelaan terhadap masa depan pengundi," ujarnya.

Beliau berkata, walaupun peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membolehkan mana-mana individu menyertai PRK DUN Kajang tetapi bukan bermakna penyertaan tersebut kerana agenda peribadi atau dendam politik.

"Pentas PRK DUN Kajang bukan untuk seronok-seronok atau balas dendam politik, ini amanah dan tanggungjawab kepada pengundi," ujarnya.

Oleh sebab itu kata beliau, Barisan Nasional (BN) amat berhati-hati dalam menentukan pemilihan calon yang bakal bertanding di DUN Kajang dengan mengambilkira keselesaan dan kehendak masyarakat setempat.

"Menyertai PRK DUN Kajang bukan kerana ada yang ingin memuaskan nafsu politik kerana benci kepada seseorang atau sebagainya.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan akhbar hari ini yang menyebut bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang menawarkan diri bertanding calon Bebas pada PRK DUN Kajang, 23 Mac ini.

Zahid dipetik sebagai berkata keputusan itu bagi memastikan usaha menyingkirkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan mengangkat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai kerajaan negeri tidak berjaya.

Bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan (KITA) itu juga turut mendakwa jika memenangi DUN Kajang beliau mampu menstabilkan keadaan politik di Selangor serta membawa pembangunan di Kajang.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata Zahid yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu bebas untuk menyertai PRK dan  penyertaannya tidak ada kaitan dengan BN.

"Sebagai warganegara, dia bebas bertanding tetapi soal menentukan kemenangan terletak pada tangan pengundi DUN Kajang," katanya.

Bagaimanapun katanya, penyertaan Zahid pada PRK DUN Kajang ternyata disebabkan kemarahannya terjadap Anwar dan dalam masa yang sama cuba menagih tempat dalam senario politk Selangor dengan memihak kepada Khalid.

Menurut beliau, berdasarkan kepada kenyataan Zahid itu telah memberi peluang kepada pengundi di DUN Kajang untuk membuat pilihan tepat siapa wakil rakyat yang bakal mereka pilih.

"Inilah permainan politik berteraskan kepada agenda peribadi, bukannya bermatlamat untuk membela nasib rakyat sepertimana dilakukan oleh BN," katanya.

Syed Ali turut menegaskan  penyertaan Zaid pada PRK DUN Kajang tidak memberi impak besar kepada BN khususnya UMNO.

"Kita sudah masak dengan permainan politk Zahid, dia hanya mencari tempat untuk bertapak bagi meneruskan agenda peribadi," tegasnya.

Menurut beliau, BN sudah pastinya akan meletakkan calon berwibawa yang mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali tidak menolak pendapat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan peluang BN untuk memenangi kerusi DUN Kajang adalah 50-50.

Dr Mahathir dilaporkan  berkata peluang tetap ada kepada BN tidak kira siapa calon yanvg menjadi pilihan BN untuk menentang Anwar.

"Biarpun peluang untuk nenang 50-50, perkara itu bukan satu masalah tetapi PRK kali ini BN perlu bertanding," katanya kepada media selepas merasmikan Kejohanan Kanu kebangsaan Putrajaya ke-12 di Putrajaya semalam.

"Sebagai bekas Presiden UMNO dan orang yang cukup masak dengan perjalanan pilihan raya di negara ini, pandangan Dr Mahathir adalah positif," kata Syed Ali sambil mengingatkan BN perlu bekerja keras untuk mencapai kemenangan.

Katanya, pemimpin BN bagaimanapun diingatkan tidak perlu terlalu optimistik terhadap kemenangan kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku sepanjang tenmpoh berkempen PRK DUN Kajang.

"Kita mungkin berada pada keadaan 50-50, tidak terlalu sukar untuk meraih kemenangan tetapi asasnya seluruh komponen BN perlu bekerja keras dan turun  padang," tegas beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun kata beliau, kemangan dilihat bakal berpihak kepada calon BN jika berdasarkan kekecewaan pengundi DUN Kajang yang telah 'ditipu' oleh wakil rakyat pembangkang sebelum ini.

Soal penentuan calon ujar beliau lagi, terletak kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN Pusat.

"Siapa calon bakal mewakili BN kita akan sokong dan turut bekerja keras bagi memastikan kemenangan memihak kepada BN," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan