Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) didesak mengambil tindakan segera terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang dikaitkan dengan isu klip video berbau sindiran pada sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Menurut Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, kelambatan SKMM menjalankan siasatan berhubung isu tersebut dikhuatiri akan memuncakkan lagi kemarahan orang orang ramai.
"Pembikinan klip video sememangnya dirancang oleh pihak tertentu dengan niat jahat, bukannya satu kebetulan atau tidak disengajakan," tegasnya.
Oleh sebab itu jelas beliau, apa juga permohonan maaf daripada pihak berkenaan tidak boleh diterima kecuali dikenakan tindakan undang-undang setimpal dengan perlakuan mereka supaya menjadi pengajaran.
"Isu klip video itu membabitkan soal perkauman dan penghinaan yang amat ketara yang didakwa dilakukan oleh Teresa Kok, saya harap penyiasatan perlu disegerakan oleh SKMM.
Katanya, kelewatan atau sikap 'pandang ringan' SKMM berhubung isu klip video tersebut juga secara tidak langsung akan menimbulkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.
Tambah beliau lagi, jika tindakan tidak diambil oleh SKMM berhubung klip video berkenaan akan menggalakkan lebih banyak lagi pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kebebasan laman-laman sosial untuk tujuan tertentu.
"Apa yang kita khuatir laman-laman sosial seperti Youtube kini telah dijadikan saluran penyebaran propaganda dan provokasi berbau perkauman, penghinaan dan hasutan yang boleh memudaratkan perpaduan antara rakyat.
Syed Ali berkata, SKMM tidak perlu bertindak setelah mengambil masa terlalu lama atau menunggu 'puluhan ribu' laporan polis yang dibuat terhadap penyalahgunaan media siber.
"Apabila ada laporan polis atau kekesalan orang ramai berhubung sesuatu isu sensitif yang menyentuh kaum tertentu, sepatutnya SKMM segera bertindak, bukannya menunggu terlalu atau setelah ada desakan daripada menteri yang bertanggungjawab," tegasnya lagi.
Sehubungan itu katanya, SKMM perlu bertindak tegas berikutan pengesahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa polis setakat ini telah menerima 40 aduan berhubung isu klip video tersebut.
Zahid memberitahu media semalam, siasatan terperinci video sempena Tahun Baharu Cina yang tersebar luas dalam Youtube Isnin lepas itu dilakukan oleh SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Ini adalah bidang kuasa SKMM, jika hasil siasatan itu mendapati ada isu melibatkan Akta Hasutan, tindakan mahkamah akan diambil sebaik sahaja siasatan selesai," kata Zahid.
Dalam video klip yang berdurasi 12 minit itu, Teressa Kok dikatakan 'berlakon' sebagai pengancara yang menemuramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baharu Cina tahun ini dan tetamu undangannya pula mengeluarkan kenyataan menyindir dalam beberapa perkara, antara ialah sistem pendidikan dan isu keganasan di Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan