KUALA LUMPUR : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna digesa supaya kerap turun padang dan melakukan pemantauan secara berkala bagi memastikan peniaga menurunkan harga barangan keperluan harian sepertimana arahan kerajaan baru-baru ini.
Naib Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Md. Nasir Ghani menegaskan, kedegilan peniaga tersebut membuktikan berlakunya ketidakcekapan agensi penguatkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang sedia ada.“Kerajaan telah memberikan amaran, tetapi nampaknya mereka tidak gentar, ini mungkin kerana penguatkuasaan kita dilihat begitu lemah,” tegasnya..
Serentak itu, beliau mencadangkan supaya pasukan Rela, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bergabung tenaga dengan kementerian berkenaan untuk memerangi kenaikan harga barangan.
“Kementerian berkenaan tidak boleh lagi memberi alasan tidak cukup kakitangan penguatkuasaan untuk membendung gejala tersebut yang semakin mencengkam kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, penurunan harga barangan itu adalah sejajar dengan penurun harga minyak yang berlaku sebanyak dua kali selepas harga minyak mentah di pasaran dunia jatuh merosot,” ujarnya.
Menurut beliau, tindakan peniaga menaikan harga barangan dengan alasan peningkatan harga minyak mentah dunia telah menyusahkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
“Minyak dah turun sebanyak dua kali dalam tahun ini, tetapi yang menjadi tanda tanya ialah kenapa peniaga tempatan masih lagi berdegil dengan harga lama, ini seolah-olah pihak berkuasa tidak bertindak tegas,” ujarnya.
Sehubungan kata beliau, kementerian berkenaan perlu lebih kerap turun padang secara menyeluruh dan bukannya hanya tertumpu kepada pasar-pasar besar atau hyper-market dan dibuat seperti melepas batuk di tangga.
“Di kedai-kedai biasa peniaga mengambil kesempatan mengenakan harga yang tinggi kerana mereka berasa selamat kerana tidak ada pemantauan dilakukan oleh agensi penguatkuasa,” jelasnya lagi.
Md. Nasir berkata, isu kenaikan harga barangan keperluan adalah perkara serius dan cukup sensitif kepada rakyat berpendapatan rendah dan mereka menunding jari kepada kerajaan
Katanya, rakyat akan mempersalahkan kerajaan kerana mengabaikan kepentingan mereka walhal perbuatan itu (kenaikan harga barangan) dilakukan oleh peniaga disamping agensi pengutakusaan yang tidak tegas.
Beliau juga menyarankan kepada pengguna supaya memboikot daripada membeli barangan yang difikirkan tidak menjadi keperluan utama.
“Kalau harga naik melambung, adalah wajar pengguna memboikot barangan tersebut dan menggunakan simpanan tunai untuk kegunaan yang lebih berfaedah,” katanya.
sikap 'cakap tak serupa bikin' lagi sesuai digunakan dari 'melepas batuk ditangga'...pemikiran pengundi2 baru lebih bijak dan realistik dan tak mudah dipujuk dengan sehelai kain batik atau kain pelikat. SENDIRI MAU INGAT LA!!
BalasPadam